Categories
AGENDA NASIONAL

6,000 usahawan digital baharu wujud ketika PKP – Shopee

SHAH ALAM, 7 SEPT: Seramai 6,000 usahawan digital baharu wujud hasil usaha sama Kerajaan Negeri dan Shopee dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Wakil platform jualan dalam talian itu berkata mereka dilahirkan dalam tempoh dua bulan sahaja ketika Kempen Selangor e-Bazar Raya pada Mei lalu.

“Krisis Covid-19 membuktikan betapa pentingnya e-dagang sebagai jaringan kepada penduduk dan juga usahawan. Malah ia menjadi pendapatan utama usahawan ketika PKP.

“Menyedari pentingnya perkara berkenaan, Shopee sebagai pemain industri terbesar di Malaysia menjalin kerjasama dengan Selangor untuk membantu usahawan mendigitalkan perniagaan mereka. Dan Selangor e-Bazaar adalah contoh kerjasama paling berjaya membantu usahawan berkenaan,” katanya pada Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Pada Mei lalu, Kerajaan Negeri melancarkan Selangor e-Bazar Raya bersama Shopee bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana serta usahawan mikro memulihkan perniagaan mereka yang terjejas akibat penularan Covid-19.

Menerusi kerjasama itu, platform terbabit memberi sokongan bernilai RM1 juta dalam bentuk alat pemasaran termasuk siaran langsung, Jualan Kilat Shocking Sale dan penghantaran percuma RM19 untuk penjual baharu.

Categories
SELANGOR

Selangor e-Bazar Raya berjaya lonjak pendapatan usahawan

SHAH ALAM, 29 JULAI: Selangor e-Bazar Raya bersama Shopee berjaya melonjakkan pendapatan usahawan yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19.

Pengusaha pakaian muslimah, Zaharah Aris, 55, berkata beliau memperoleh anggaran pendapatan berjumlah RM50,000 dalam tempoh dua bulan kempen berlangsung.

“Terima kasih Kerajaan Negeri dan Shopee kerana memberi saya peluang menceburi bahagian digitalisasi.

“Saya sebenarnya ada butik secara konvensional tetapi apabila PKP dilaksanakan saya buntu dan terus ambil keputusan menyertai Selangor e-bazar,” katanya ketika sidang media di Bilik Gerakan Negeri hari ini.

Beliau berkata tawaran baucar pembelian RM1 juta yang diperuntukkan Kerajaan Selangor berjaya menarik pelanggan untuk berbelanja dan menggalakkan usahawan lain untuk menceburi perniagaan secara dalam talian.

Bagi usahawan produk makanan kering, Humaira Mohd Khorie, 39, pula berkata pendapatannya meningkat tiga kali ganda menerusi e-bazar.

Katanya sebelum ini beliau hanya memasarkan produk menerusi media sosial Facebook dan tidak pernah menggunakan aliran perniagaan seperti Shopee.

“Memang banyak perbezaan kerana dengan perniagaan dalam talian memudahkan capaian kita dengan pelanggan.

“Produk kami sudah dikenali di utara (semenanjung) tetapi kita nak pasarkan luar utara dan Alhamdulillah setakat ini reaksi pengguna sangat baik,” katanya.

Sementara itu, Nurul Hikmatul Khasanah, 23, berkata penyertaan Selangor e-Bazar Raya ini berjaya memperkenalkan produk makanannya kepada pengguna di seluruh Malaysia.

“Melalui Shopee saya pernah memperoleh 590 tempahan dalam masa sehari dan produk menjadi tumpuan adalah sambal pecal, sambal goreng Jawa dan kerepek peria,” katanya.

Kempen Selangor e-Bazar Raya bersama Shopee yang berakhir 4 Julai lalu merupakan kerjasama julung kali antara Kerajaan Negeri dengan pengendali laman e-dagang terkemuka bagi membantu peniaga terjejas ketika PKP akibat penularan Covid-19.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Selangor e-Bazar Raya bantu 5,000 usahawan

SHAH ALAM, 5 MEI: Selangor e-Bazar Raya membuka penyertaan kepada 5,000 usahawan tempatan menjana semula ekonomi susulan pandemik Covid-19 dengan sasaran jualan RM8 juta dalam tempoh dua bulan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha digitalisasi seiring hasrat ke arah Negeri Pintar 2025 mampu mendorong usahawan perniagaan kecil sederhana (PKS) dan mikro beralih dari kaedah konvensional apabila pengguna kerap membeli-belah secara dalam talian..

“Laman mikro ini akan membolehkan pengguna mengakses sekitar 9,000 produk daripada pelbagai jenis juadah raya, perkakas rumah, baju raya dan banyak lagi dari Mei hingga Jun ini.

“Produk jualannya berbeza setiap minggu bagi memperkenalkan barangan dan penjual baharu seterusnya memastikan ia kekal menarik,” katanya ketika sidang media Bilik Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTES) hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan Selangor e- Bazaar Raya di Bilik MTES SUK, Shah Alam pada 5 Mei 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata seramai 1,500 usahawan mendaftar sejak diumumkan dua minggu lalu dan bimbingan percuma juga diberi kepada peniaga untuk mematangkan pengusaha perkhidmatan penghantaran demi memastikan produk sampai kepada pengguna.

Bagi membantu Kerajaan Negeri mencapai matlamat ini, Shopee akan memberikan sokongan bernilai RM1 juta kepada penjual dalam bentuk alat pemasaran termasuk siaran langsung, Jualan Kilat Shocking Sale dan penghantaran percuma RM19 untuk penjual baharu di bawah Pakej Bantuan Peniaga Shope.

Mereka yang berminat untuk menyertai Selangor e-bazar Raya di Shopee boleh mendaftar secara percuma di http://tiny.cc/selangorebazar .

Untuk membeli-belah keperluan Ramadan dan Aidilfitri pengguna boleh melayari https://shopee.com.my/m/selangor-E-Bazar-raya .