Categories
SELANGOR

Selangor Synergies: Bincang perkembangan ‘Selangor Maritime Gateway’

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG JAYA, 11 APRIL: Selangor Synergies yang memasuki siri ketujuh kali ini membincangkan langkah penambahbaikan untuk meningkatkan kedudukan negeri itu sebagai ‘Smart State’.

Forum perniagaan bertajuk ‘Selangor Maritime Gateway’ (SMG) itu menyaksikan pemegang taruh, kerajaan dan industri swasta membincangkan inisiatif menghidupkan kembali Sungai Klang serta kawasan sekitarnya menerusi projek berkenaan.

Forum sorotan anjuran Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor itu turut membincangkan kesan SMG kepada industri perumahan, pengangkutan, komersial, sosial, industri dan perkembangan peruncitan di negeri ini.

Antara panel yang menyertai forum yang dihadiri kira-kira 100 peserta itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Knowledge Economic City Madinah, Dato’ Mahmud Abbas; Ketua Pegawai Eksekutif Business Sweeden di Malaysia, Sara Hedin; Ketua Pegawai Eksekutif Landasan Lumayan Sdn Bhd, Syaiful Azmen Nordin dan Ketua Pegawai Eksekutif Westport Holdings Berhad, Datuk Ruben Emir Gnanalingam.

Forum yang berlangsung hampir dua jam di Hotel Dorsett Grand Subang itu dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IBR Asia, Dato’ Beatrice Nirmala.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif MBI Selangor, Raja Shahreen Raja Othman.

Categories
SELANGOR

Sasar hapus jurang digital

OLEH NORHAYATI UMOR dan HAFIFA AWANG

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Kerajaan Negeri komited merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar ke arah anjakan Revolusi Industri 4.0.

Ketua Pegawai Eksekuti Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor, Raja Shahreen Raja Othman berkata, pelbagai usaha dan kajian akan dipertingkatkan supaya perkembangan teknologi masa kini dinikmati setiap lapisan.

“Antara isu utama yang masih perlu diperbaiki ialah sistem perhubungan dan komunikasi jalur lebar yang kini hanya tertumpu kepada beberapa kawasan iaitu Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Ampang, Bangi, Subang, dan Shah Alam.

“Justeru, pada tahun ini, kita mahu mempertingkat dan memperluaskan perkhidmatan rangkaian jalur lebar, WiFi Smart Selangor (WiFiSS) sebagai rangkaian perhubungan digital yang efisien bagi memenuhi keperluan asas penduduk masa kini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Forum Perniagaan Selangor Synergies: Infrastruktur Digital, di Hotel Saujana, di sini.

Katanya, permintaan bagi perkhidmatan jalur lebar di negeri itu semakin meningkat, malah kini tidak dapat menampung walaupun memiliki akses jaringan yang kuat.

Beliau berkata, pihaknya turut menyasarkan perkhidmatan itu dinikmati bukan sahaja di Lembah Klang, malah di luar Selangor.

“Hal ini kerana perkhidmatan jalur lebar menjadi ‘basic’ dalam kehidupan seharian bukan hanya air dan elektrik sahaja, justeru kita akan memastikan semua rakyat atau penduduk di negeri ini akan saling terhubung tanpa meninggalkan mana-mana pihak atau kawasan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, Kerajaan Negeri turut mendapat kerjasama baik daripada syarikat telekomunikasi dalam menyediakan perkhidmatan itu dan infrastruktur lain.

“Terima kasih kerana menyediakan perkhidmatan yang terbaik di negeri ini, bagaimanapun menjadi cabaran masa akan datang apabila jumlah penduduk semakin meningkat menjelang 2030,” katanya.

Untuk rekod, rakyat Malaysia antara masyarakat dunia yang tertinggi berhubung secara digital dengan kira-kira 80 peratus mempunyai akses internet dan sebahagiannya melalui rangkaian mudah alih.

 

Categories
SELANGOR

Selangor Synergies siri 6, bincang infrastruktur digital

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Selangor Synergies yang memasuki siri keenam kali ini membincangkan berkenaan langkah penambahbaikan yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan kedudukan Selangor sebagai ‘Smart State’.

Melalui forum bertajuk Infrastruktur Digital, pemegang taruh, kerajaan dan industri membincangkan pengukuhan serta peningkatan asas teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), selain isu keselamatan digital ke arah penduduk pintar.

Forum sorotan anjuran Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor itu bertujuan memperkenalkan, memaklumkan dan mencari idea baru dalam usaha merealisasikan Gagasan Smart Selangor.

Antara panel yang menyertai forum yang dihadiri kira-kira 100 peserta itu adalah Pengarah Urusan SmartSel Sdn Bhd, Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir dan Ketua Pegawai Eksekutif PIKOM Malaysia, Alan Fung.

Selain itu, Pengarah Eksekutif Alphaque, Dinesh Nair dan Ketua Pegawai Peruncitan Tenaga Nasional Berhad, Ir Megat Jalaluddin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IBR Asia, Dato’ Beatrice Nirmala bertindak selaku moderator, manakala Naib Presiden Strategic Research Cyber Security Malaysia, Sazali Sukardi, sebagai penyampai keseluruhan.

 

Categories
SELANGOR

Selangor Synergies 3, bincang isu Sustanaible Synergies

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 3 MEI: Selangor Synergies yang memasuki siri ketiga membincangkan mengenai kemajuan pengurusan sisa, air dan tenaga yang digunapakai di negeri itu.

Forum sorotan itu diadakan bagi memperkenalkan, memaklumkan dan mencari idea baru dalam usaha merealisasikan Gagasan Smart Selangor.

Selangor Synergies 3: Sustainable Synergies in Selangor itu turut membantu meningkatkan daya tarikan Selangor sebagai hab pelaburan.

Antara panel menyertai forum yang dihadiri kira-kira 100 peserta itu adalah Pengarah Urusan KDEB Waste Management, Ramli Tahir dan Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium, Faizal Othman.

Selain itu, Ketua Fizikal Landskap dan Sistem Analisis Mampan, Sime Darby Plantations, Lee Ming Enn serta Pengurus Besar Bahagian Alam Sekitar Worldwide Holdings, Zamri Abdul Rahman.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IBR Asia, Dato’ Beatrice Nirmala selaku moderator.

Pengarah Urusan, Bureau Veritas, Bernard Sagaiyaraj pula sebagai penyampai keseluruhan.

Forum anjuran Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dengan kerjasama Kumpulan IBR Asia itu mempunyai lima siri.

Terdahulu, siri pertama dan kedua forum terbabit dilaksanakan bermula tahun lalu di Hotel Saujana Kuala Lumpur.