Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor Xtiv Virtual terus dapat sambutan, 160,000 turut serta

SHAH ALAM 28 JULAI: Selangor Xtiv Virtual 2021 yang bermula Mac lalu terus merekodkan peningkatan dengan kira-kira 160,000 peserta setakat Julai ini.

EXCO sukan berkata jumlah itu mencapai 35 peratus daripada sasaran 450,000 penyertaan menjelang akhir tahun ini dan mendapat sambutan memberangsangkan daripada generasi muda.

“Kerajaan Negeri yakin program dan rekod ini menjadikan Selangor sebagai peneraju selain ia selaras dengan agenda pendigitalan iaitu pemangkin negeri pintar ulung Malaysia,” kata Mohd Khairuddin Othman dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan sambutan baik diterima itu merupakan modul terbaik program Kerajaan Negeri ketika rakyat hanya duduk di rumah demi memutuskan rantaian Covid-19.

“Malah, dengan penganjuran program seperti ini membuktikan Selangor tidak ketinggalan untuk mengadaptasi teknologi Internet Pelbagai Perkara (IoT) terutama ketika pandemik,” katanya.

Selangor Xtiv Virtual 2021 mempertandingkan tujuh jenis permainan bermula Mac hingga Disember dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM411,680.

Dua acara iaitu Selangor Xtiv Virtual Ride dan Selangor Xtiv Virtual Jump Rope Challenge dijangka bermula pertengahan bulan ini.

Tahun lalu, program berkenaan mendapat sambutan luar jangka membabitkan 250,631 penyertaan dan 18 juta tontonan di platform media sosial.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Permainan sohor kini jadi pilihan dalam Selangor Xtiv Virtual

SHAH ALAM, 17 JUN: Kegilaan anak muda terhadap permainan video ganas dalam talian seperti PUBG dan Mobile Legends ketika ini menyebabkan Selangor Xtiv Virtual E-Sport mendapat penyertaan tertinggi dalam Selangor Xtiv Virtual 2021.

EXCO sukan berkata sejak Mac lalu sehingga semalam, kategori itu merekodkan 99,020 penyertaan iaitu lebih 95 peratus daripada 103,859 individu mendaftar.

“Fenomena permainan itu dalam kalangan anak muda menyebabkan ia menjadi pilihan. Sekalipun tidak dipertandingkan, permainan ini tetap dipilih kerana sohor kini.

“Kita yakin jumlah peserta kategori ini akan terus meningkat tambahan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dikuat kuasa menyebabkan pergerakan terbatas,” kata Mohd Khairuddin Othman kepada SelangorKini.

Kategori berkenaan meliputi permainan PUBG, Mobile Legends Bang Bang, Call of Duty Mobile, Pro Evolution Soccer 2021 dan FIFA Pro Club.

Mohd Khairuddin berkata pihaknya yakin penganjuran sukan secara maya itu melepasi sasaran iaitu lebih 450,000 peserta.

Selangor Xtiv Virtual 2021 mempertandingkan tujuh jenis permainan bermula Mac hingga Disember dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM411,680.

Tahun lalu, program berkenaan mendapat sambutan luar jangka membabitkan 250,631 penyertaan dan 18 juta tontonan di platform media sosial.

Categories
AGENDA EXCO NASIONAL SELANGOR

Tawar hadiah RM411,680, e-sukan Selangor dimeriah tujuh permainan

SHAH ALAM, 23 MAC: Pertandingan e-sukan, Selangor Xtiv Virtual 2021 bermula bulan ini hingga Disember menawarkan hadiah keseluruhan RM411,680.

EXCO sukan berkata tujuh jenis permainan ditawarkan iaitu Selangor Xtiv Virtual Esports, Selangor Xtiv Virtual Marathon, Selangor Martial Art Xtiv Virtual dan Selangor Xtiv Virtual Youth Busking.

Turut dipertandingkan adalah Selangor Xtiv Virtual Chess, Selangor Xtiv Virtual Ride dan Selangor Xtiv Virtual Jump Rope Challenge.

“Pertandingan ini menambah tiga lagi jenis permainan berbanding empat pada tahun lalu dengan sasaran 450,000 penyertaan.

“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berhubung program berkenaan di Facebook Selangor Xtiv Virtual 2021 menerusi pautan https://www.facebook.com/selangorxtiv2020,” kata Mohd Khairuddin Othman.

Beliau berkata pada sidang media selepas merasmikan pertandingan e-sukan itu di lobi Dataran Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Program yang julung kali diadakan tahun lepas mendapat sambutan luar jangkaan apabila menerima 250,631 penyertaan serta 18 juta tontonan di platform media sosial.

Ia turut menarik penyertaan luar negara antaranya Singapura, Indonesia, Brunei, Jepun, India dan Amerika Syarikat.

Selangor satu-satunya negeri yang berjaya menganjurkan pertandingan program sukan secara maya berskala besar beserta hadiah.