Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Permainan sohor kini jadi pilihan dalam Selangor Xtiv Virtual

SHAH ALAM, 17 JUN: Kegilaan anak muda terhadap permainan video ganas dalam talian seperti PUBG dan Mobile Legends ketika ini menyebabkan Selangor Xtiv Virtual E-Sport mendapat penyertaan tertinggi dalam Selangor Xtiv Virtual 2021.

EXCO sukan berkata sejak Mac lalu sehingga semalam, kategori itu merekodkan 99,020 penyertaan iaitu lebih 95 peratus daripada 103,859 individu mendaftar.

“Fenomena permainan itu dalam kalangan anak muda menyebabkan ia menjadi pilihan. Sekalipun tidak dipertandingkan, permainan ini tetap dipilih kerana sohor kini.

“Kita yakin jumlah peserta kategori ini akan terus meningkat tambahan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dikuat kuasa menyebabkan pergerakan terbatas,” kata Mohd Khairuddin Othman kepada SelangorKini.

Kategori berkenaan meliputi permainan PUBG, Mobile Legends Bang Bang, Call of Duty Mobile, Pro Evolution Soccer 2021 dan FIFA Pro Club.

Mohd Khairuddin berkata pihaknya yakin penganjuran sukan secara maya itu melepasi sasaran iaitu lebih 450,000 peserta.

Selangor Xtiv Virtual 2021 mempertandingkan tujuh jenis permainan bermula Mac hingga Disember dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM411,680.

Tahun lalu, program berkenaan mendapat sambutan luar jangka membabitkan 250,631 penyertaan dan 18 juta tontonan di platform media sosial.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Tawar hadiah RM250,000, e-sukan Selangor sasar sejuta peserta

SHAH ALAM, 7 FEB: Pertandingan Selangor Xtiv Virtual e-Sport dijadual bermula pada Mac menyasarkan penyertaan sejuta belia dari dalam dan luar negara.

EXCO sukan berkata sasaran itu melibatkan 10 fasa pertandingan sehingga Disember dengan tawaran hadiah terkumpul RM250,000.

“Sukan secara maya ini menyediakan permainan meliputi Mobile Legends, PlayerUnknown’s Battlegrounds (PuBG), Call of Duty, Pro Evolution Soccer (PES21) dan FIFA21,” kata Mohd Khairuddin Othman kepada SelangorKini.

Beliau menambah kejohanan kali ini menumpukan aspek pembangunan bakat dan pengetahuan mendalam berkaitan sukan elektronik.

“Ia termasuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai pengurusan ulasan permainan (game casting) yang dibuat dalam talian,” katanya.

Selangor satu-satunya negeri berjaya menganjurkan pertandingan sukan secara maya berskala besar berserta hadiah.

Langkah itu seiring dengan kehendak golongan muda masa kini selain menjadi medan menonjolkan bakat e-sukan.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor Xtiv Virtual e-Sport bermula 8 Disember, tawar hadiah RM46,000

SHAH ALAM, 2 DIS: Selangor Xtiv Virtual e-Sport fasa lapan yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM46,000 bakal berlangsung pada 8 hingga 31 Disember.

EXCO sukan berkata pertandingan tersebut melibatkan permainan PUBG Mobile, Mobile Legends Bang-Bang, Call of Duty Mobile, Fifa 2021 dan Pro Evolution Soccer 2021.

“Peminat e-sukan yang berminat menyertai pertandingan boleh mendaftar menerusi pautan disediakan dalam Facebook Selangor Xtiv Virtual 2020.

“Kejohanan ini menjadi platform kepada semua peminat e-sukan untuk menonjolkan bakat mereka,” kata Mohd Khairuddin Othman kepada SelangorKini hari ini.

Program Selangor Xtiv Virtual 2020 menerima pengiktirafan Majlis Sukan Negara (MSN) apabila menjadi satu-satunya negeri berjaya menganjurkan pertandingan sukan secara maya berskala besar beserta hadiah.

Pada 21 Oktober, Mohd Khairuddin berkata Selangor Xtiv Virtual diteruskan tahun depan selepas program julung kali merekodkan 178,081 penyertaan sejak dilancarkan pada Mei.

Pertandingan tersebut yang berlangsung lapan fasa bakal berakhir pada 31 Disember.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Lebih 40,000 sertai Selangor Xtiv Virtual e-Sport

SHAH ALAM, 6 JUN: Lebih 40,000 mendaftar bagi menyertai Selangor Xtiv Virtual e-Sport dalam tempoh lebih tiga minggu sejak ia diperkenalkan, kata EXCO pembangunan generasi muda dan sukan.

Mohd Khairuddin Othman berkata peserta bukan sahaja dari Selangor malah di peringkat antarabangsa turut sama melayari e-sukan maya anjuran Kerajaan Negeri ini.

“Ini pencapaian agak luar biasa apabila penyertaan bukan sahaja datang dari warga Selangor tetapi beberapa negara lain turut sertai e-sukan ini.

“Malah, penonton juga mencecah lebih 500,000. Saya difahamkan belum ada negeri yang menganjurkan e-sukan sebesar ini,” kata beliau menerusi siaran langsung Covid-19 : Cabaran Generasi Muda Pasca Pandemik di Facebook Institut Darul Ehsan.

Selangor menganjurkan aktiviti sukan dalam talian membabitkan tiga sub-program iaitu Selangor Xtiv Virtual e-Sport, Selangor Xtiv Virtual Run dan Selangor Martial Art Xtiv Virtual dengan hadiah keseluruhan RM431,000.

Sukan secara maya itu dianjurkan bagi menggalakkan masyarakat terutama belia bergiat aktif ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Berikut adalah maklumat program:

1. Selangor Xtiv Virtual e-Sport
• Permainan video dalam talian (Mobile Legends Bang Bang, PUBG Mobile, Fifa 2020, Pro Evolution Soccer 2020 dan Dota)
• Bermula sejak 4 Mei hingga 31 Disember (lapan fasa)
• Penyertaan dari usia 13 hingga 40 tahun
• Fasa pertama menerima penyertaan 4,255 pasukan membabitkan 20,833 peserta manakala 60 peserta berjaya menggondol hadiah terkumpul RM45,000
• Fasa kedua bermula 8 Jun hingga 27 Jun (menawarkan hadiah RM26,000)

2. Selangor Xtiv Virtual Run
• Larian 10 kilometer
• Sasaran 16,000 peserta
• Fasa satu bertema #irunathome (1 Mei hingga 31 Mei, 1,500 peserta)
• Fasa dua mulai 1 Jun dengan tema #thankyoufrontliners
• Tawaran hadiah t-shirt, medal dan cabutan bertuah

3. Selangor Martial Art Xtiv Virtual
• Silat, Wushu, Taekwando, Silambam, Muay Thai, Karate-Do, Judo secara maya
• Terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia, semua peringkat usia
• Hadiah terkumpul RM51,000 dan sijil penyertaan
• Sasar 2,000 penyertaan
• Mulai 8 Jun hingga 31 Julai
• Peserta diminta menghantar video kreatif solo masing-masing ke talian WhatsApp/Telegram 010-444 3441 atau e-mel [email protected]