Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Larian Menjunjung Kasih 2020 dibuat secara maya, sasar 15,000 peserta

SHAH ALAM, 29 NOV: Kerajaan Negeri menganjurkan acara Larian Menjunjung Kasih 2020 secara maya bersempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

EXCO pembangunan generasi muda dan sukan berkata acara berlangsung di kediaman masing-masing selaras tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Mohd Khairuddin Othman berkata larian tersebut kesinambungan program Selangor Xtiv Virtual Run yang menerima 12,000 penyertaan sejak dianjurkan Mei lalu.

“Kerajaan Negeri menjangka lebih 15,000 penyertaan dalam acara Larian Menjunjung Kasih 2020 sebagai kemuncak program Selangor Xtiv Virtual Run yang akan melabuhkan tirai pada 31 Disember.

“Orang ramai khususnya rakyat Selangor dijemput memeriahkan acara ini yang menjadi platform terbaik bagi menunjukkan rasa hormat dan sayang kepada institusi diraja yang juga lambang kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata setiap peserta akan menerima kemeja-T larian, medal dan sijil serta berpeluang menjadi salah seorang daripada 20 pemenang bertuah untuk memenangi pelbagai hadiah menarik.

Mereka yang berminat boleh menghubungi talian 011-56371424, layari Facebook Selangor Xtiv Virtual atau rujuk laman sesawang www.irun.my.

Acara tahunan dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Selangor memasuki tahun keenam sejak diperkenalkan pada 2015.

Categories
EXCO SELANGOR

Selangor XTIV Virtual Run 2020 dapat sambutan ramai – EXCO

SHAH ALAM, 15 MEI: Seramai 700 individu menyertai program Selangor XTIV Virtual Run 2020 anjuran Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan sejak pendaftaran dibuka 1 Mei.

EXCO Mohd Khairuddin Othman berkata acara larian secara maya setiap bulan sehingga Januari tahun depan itu bagi menarik minat generasi muda menyertai aktiviti berfaedah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Program lapan fasa menyasarkan 16,000 peserta dan mereka hanya perlu melengkapkan larian 10 kilometer (km) di rumah masing-masing.

“Setiap peserta yang melengkapkan cabaran akan menerima baju-T dan medal selain berpeluang memenangi cabutan bertuah yang diadakan setiap fasa.

“Antara hadiah menarik seperti gajet senaman serta telefon pintar,” katanya dalam kenyataan.

Fasa pertama larian bertemakan #irunathome akan melabuhkan tirai pada 31 Mei dan keputusan akan diketahui keesokan harinya manakala fasa kedua bermula 1 Jun berkonsepkan #thankyoufrontliners.

Orang ramai yang berminat boleh mendaftar menerusi pautan http://t2u.asia/e/18555 atau https://irun.yzza.io/63d7 dan yuran serendah RM30 dikenakan bagi setiap penyertaan.