Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Cycling Selangor terbit buku panduan asas aktiviti berbasikal

SHAH ALAM, 15 SEPT: Cycling Selangor menerusi Selangor Youth Community (SAY) menerbitkan sebuah buku panduan berbasikal ‘Selangor Smart Cycling’.

Pelancaran buku itu disaksikan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dalam sesi dialog ‘Selangor Youths Have A SAY: Visi Sukan Negara Townhall’ yang diadakan secara maya hari ini.

Buku panduan berbasikal edisi pertama itu diterbitkan dengan kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI sebagai rujukan dan panduan asas untuk permulaan aktiviti berbasikal.

Empat perkara utama yang menjadi fokus dalam penerbitan ‘Selangor Smart Cycling’ ialah laluan berbasikal, penjagaan basikal, pengambilan nutrisi dan keselamatan berbasikal.

Cycling Selangor merupakan inisiatif diasaskan Raja Muda Selangor untuk menggilap dan mengembangkan juara dunia berbasikal yang berasal dari Selangor.

Cycling Selangor juga memainkan peranan penting dalam memfasilitasi dan menghubungkan pelbagai komuniti berbasikal dengan agensi kerajaan dan syarikat swasta untuk meningkatkan impak dalam program berbasikal di Selangor.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

SAY lahir 50 usahawan OKU, bantu kembang niaga

SHAH ALAM, 26 MAC: Selangor Youth Community (SAY) berjaya melahirkan kira-kira 200 usahawan menerusi program SAY Lead.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nurul Azwa Rodzi berkata  daripada jumlah itu 50 individu merupakan orang kelainan upaya (OKU).

“Menerusi program itu mereka diberi bimbingan dan latihan selama enam bulan untuk mengembangkan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas kunjungan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah ke Wisma Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) di sini semalam.

Pada majlis sama, Nurul Azwa berkata kerjasama julung kali Say Lead dan Kohijrah untuk membantu usahawan memasarkan produk mereka.

“Kerjasama ini juga bertujuan memberi pendedahan dan bantuan kepada usahawan ini daripada aspek pinjaman dan kaedah pemasaran produk di Kohijrah Mart secara fizikal atau dalam talian,” katanya.

Say Lead adalah program Keusahawanan Selangor di bawah naungan DYTM Tengku Amir Shah bertujuan menghubungkan usahawan dan agensi di Selangor kepada peluang perniagaan.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

SAY anjur kayuhan 600km sempena sambutan Hari Malaysia

KUALA LANGAT, 13 SEPT: Organisasi Selangor Youth Community (SAY) menganjurkan program berbasikal Selangor 600: ‘Our Community, Our Home’ sempena sambutan Hari Malaysia 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif SAY, Nurul Azwa Rodzi berkata format berbasikal yang dipilih tahun ini diilhamkan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah susulan perkembangan pandemik Covid-19.

“Sepanjang lima hari berlangsung bermula 8 September di Shah Alam, kita telah pergi ke setiap daerah dan mengunjungi rumah kebajikan seperti rumah warga emas, anak yatim serta orang kelainan upaya (OKU) selaras keperluan mereka.

“Keseluruhan program ini ilham daripada Tuanku Raja Muda supaya tahun ini kita menyambut Hari Malaysia dalam cara berbeza, walaupun ada pandemik Covid-19 tetapi tetap sokong sesama kita,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutup program di Perkampungan Budaya Mah Meri, Pulau Carey di sini semalam.

Keberangkatan tiba DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah disambut oleh anak-anak orang asal sempena acara penutup kayuhan Selangor 600: Our Community, Our Home di Perkampungan Budaya Mah Meri Pulau Carey, Kuala Langat pada 12 September 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau menjelaskan program itu juga bertujuan memberi bantuan kepada petugas hadapan dan golongan memerlukan di sembilan daerah di Selangor.

Katanya, inisiatif berbasikal yang dikendalikan Cycling Selangor turut memfokuskan penglibatan wanita supaya mengamalkan gaya hidup sihat menerusi penampilan tiga pelumba iaitu Mariana Mohammad, Adila J Sam dan Agnes Lim.

Nurul Azwa berkata sepanjang 600km berbasikal, tiga pelumba berkenaan melalui kawasan Sekinchan, Bukit Fraser, Kuala Lumpur, Sepang dan berakhir di Perkampungan Budaya Mah Meri.

Lebih menarik, Tengku Amir Shah turut menyertai kayuhan hari terakhir sepanjang 80km selain melawat Pusat Aktiviti Warga Emas Pelangi Impian, Perpustakaan Budiman di Pantai Cunang sebelum mengakhiri program dengan menyempurnakan majlis penutup di Perkampungan Budaya Mah Meri, Pulau Carey.

Selain itu, mereka turut mengenalpasti beberapa lokasi menarik untuk dipromosikan sebagai pusat pelancongan sepanjang program yang berakhir semalam.

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Tiga organisasi RMS beri manfaat kepada lebih 145,000 belia

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Lebih 145,000 belia Selangor mendapat manfaat daripada tiga organisasi bawah naungan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, sejak 2016.

Antara tiga organisasi terbabit adalah Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS), Selangor Youth Community (SAY) dan Akademi Bola Sepak Selangor.

Tengku Amir turut perkenan berkongsi segala aktiviti dilakukan belia terlibat di hadapan hampir 300 ‘stakeholder’, penyokong dan penaja organisasi terbabit di Hotel Sunway Putra, di sini.

Pada masa sama, Tengku Amir turut melancarkan SAY IGNITE 2018 bagi meraikan belia pelbagai latar belakang, bakat dan kebolehan yang bakal diadakan di Taman Tasik Shah Alam, pada 11 November .

Sementara itu, berkongsi berkenaan YRMS, baginda bertitah, sehingga kini lebih 2,000 pelajar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) mengikuti kursus itu di Malaysia.

Baginda optimis supaya lebih ramai rakan kongsi dan penaja industri turut sama terlibat supaya YRMS dapat membantu lebih ramai komuniti pada masa akan datang.

Manakala, baginda turut berkongsi berkenaan kejayaan SAY dengan empat fokus utama iaitu Seni dan Budaya, Sukan dan Kesihatan, Keusahawanan serta Perkhidmatan Masyarakat.

Menyentuh bidang sukan, baginda bertitah, Akademi Bola Sepak Selangor pula kini sudah mencatat 900,000 pemain dan ia adalah liga amatur pertama mendapat pengiktirafan khas dari Liga Bola Sepak Malaysia.

Hal itu membuktikan bahawa Tengku Amir komited membantu belia di Selangor untuk merealisasikan impian mereka.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

RMS lancar ‘SAY Ignite 2017’, cungkil bakat anak muda

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG, 16 FEB: Bagi meningkatkan pembabitan belia dalam kegiatan berasaskan komuniti aktiviti seni dan budaya, hiburan, keusahawan, sukan dan kesihatan, Selangor Youth Community (SAY) mengambil inisiatif menganjurkan ‘SAY Ignite 2017’ pada April nanti.

Pengasas dan penaung SAY, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, bertitah program itu terbahagi kepada usaha mencungkil bakat di peringkat akar umbi dan menyediakan wadah untuk golongan belia membentangkan idea dalam pelbagai isu membabitkan generasi muda.

IMG_20170215_173404-800x533“SAY adalah satu platform untuk belia daripada pelbagai latar belakang dan bangsa serta akar umbi masyarakat ke arah golongan yang lebih berdaya maju untuk bersama membantu antara satu sama lain mencapai kemajuan dan inilah sebabnya mengapa saya memulakan SAY,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pelancaran Selangor IGNITE 2017, di Hotel Sunwar Resort Hotel & Spa di sini, petang semalam.

Jelasnya, SAY juga menjalin berkerjasama rapat dengan rakan strategiknya iaitu kerajaan, sektor korporat dan golongan belia bagi memastikan program bengkel dan ceramah motivasi mencapai matlamatnya.

Titah baginda, anak muda bukan sahaja pemimpin dan harapan masa hadapan, malahan mampu menjadi pemimpin baik hari ini sekiranya mendapat bimbingan betul.

Manakala, program mencari bakat iilhamkan daripada program ‘Britain Got Talent’ iaitu program ‘SAY Ada Gaya’ pula bakal melibatkan peserta berusia di antara 18 hingga 35 tahun, sama ada dilahirkan, menetap atau bekerja di Selangor.

Belia berminat dikehendaki menghantar video dan sepuluh peserta terbaik berpeluang membuat persembahan di peringkat separuh akhir sebelum tiga peserta terbaik bakal mengadakan persembahan pada SAY Ignite 2017.

-nR-