SHAH ALAM, 29 MAC: Penduduk di 30 kawasan di Selangor diminta bersedia menghadapi gangguan bekalan air susulan kerja penyenggaraan paip mulai pagi esok di Persiaran Selangor Seksyen 15 di sini.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan minggu lepas berkata gangguan bekalan air berjadual selama 48 jam akan berlaku mulai jam 9 pagi 30 Mac.
“Tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan terjejas adalah berbeza bergantung kepada kuantiti bekalan air, jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan.
“Air Selangor ingin menasihatkan pengguna yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh gangguan berjadual ini,” kata syarikat berkenaan.
Ketua Komunikasi Korporat Elina Baseri menjelaskan penyenggaraan tersebut bertujuan agihan bekalan air di masa depan pada tahap baik.
Maklumat gangguan bekalan air di Petaling, Klang dan Shah Alam seperti berikut:
– Kerja pengalihan dan penyambungan paip pada 30 Mac, jam 9 pagi hingga 9 malam
– Membabitkan lima kawasan di wilayah Petaling, Klang (14) dan Shah Alam (11)
– Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 9 pagi 1 April
Gangguan bekalan air secara berjadual ini sudah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Senarai kawasan terjejas boleh didapati melalui semua media sosial Air Selangor termasuk Facebook, laman sesawang http://www.airselangor.com atau hubungi pusat perhubungan di talian 15300.