Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

KEADILAN Selangor, PAS Selangor senada mahu Politik Muafakat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 14 JUL: Gesaan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man supaya parti pembangkang kembali bersatu untuk ke meja rundingan mencari formula bersama menentang Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) disambut baik KEADILAN Selangor dan PAS Selangor.

Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Shuhaimi Shafiei, berkata parti politik menentang BN haruslah berusaha keras bagi mengukuhkan hubungan politik sebelum menjelang PRU-14 nanti.

????????????????????????????????????

“KEADILAN Selangor mendukung penuh hasrat Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang bersetuju agar semua parti pembangkang di peringkat persekutuan mengukuhkan perpaduan sesama sendiri serta mengelakkan pertembungan.

“Menginsafi bahawa rakyat adalah tumpuan dalam pembangunan politik Malaysia, Penerangan KEADILAN Selangor mengesyorkan konsep Politik Muafakat dan ‘Smart Politic Partnership’ bagi mengukuhkan hubungan pakatan politik dengan mana-mana gabungan parti yang membawa agenda Reformasi dengan memberikan perhatian terhadap beberapa aspek pembangunan ekonomi, potensi masa depan pendidikan dan keperluan sosial rakyat.

“Politik Muafakat yang bersifat ‘Smart Politic Partnership’ ini wajar diteruskan dengan tekad mengelakkan pertembungan pandangan mahupun pendirian politik yang keterlaluan di media massa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, KEADILAN Selangor turut menyeru supaya rakan Pakatan Harapan, Amanah dan DAP turut sama menjayakan pelan Politik Muafakat ini bersama gabungan parti pembangkang di peringkat persekutuan yang akan melibatkan pelbagai latar parti, NGO dan bekas pimpinan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, pembangkang haruslah mengambil teladan gabungan dan kerjasama kukuh dibentuk di atas nama Pakatan Rakyat sehingga membolehkan mereka membentuk kerajaan di Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang.

RAKYAT SELANGORKatanya, kejayaan itu turut membuktikan bahawa tanpa Umno-BN, indeks pembangunan ekonomi serta infrastruktur meningkat dengan bangganya di tiga negeri terbabit meninggalkan negeri yang masih ditadbir Umno-BN.

“Usaha sedaya mampu melakukan perubahan ‘Islah Mas Tata’tum’ ini mampu kita lakukan hasil daripada muafakat politik pada PRU-13 yang lepas dan natijahnya, rakyat mendapat kesejahteraan hasil perkongsian kekayaan ekonomi negeri secara saksama melalui program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), rezab negeri terus meningkat melebihi empat billion dan pengagihan kek ekonomi lebih adil kepada golongan sasaran,” katanya lagi.

Katanya lagi, kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil Sungai Besar baru-baru ini bukanlah kerana kekuatan mereka sebaliknya mengambil kesempatan atas kegagalan Pakatan bersatu.

“Mereka menang bukan kerana mereka kuat atau rakyat telah menerima mereka. Semua pihak tahu UMNO Selangor sangat lemah! Mereka meraih kemenangan itu secara mudah dengan ‘menahan lukah di pergentingan’. Mereka bergantung pada kehebatan ‘menangguk di air keruh’ untuk mencapai sasaran kemenangan,” ujarnya.

????????????????????????????????????

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Iskandar Abdul Samad dalam kenyataan medianya semalam turut menyokong gesaan Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man agar parti pembangkang menumpukan usaha untuk menumbangkan BN dan bukan bertelagah sesama sendiri.

“Jika suasana hari ini berlarutan kemungkinan BN akan terus memerintah Malaysia dan Selangor akan dapat dirampas semula oleh mereka pada pilihan raya umum yang akan datang,” katanya.

Iskandar menambah, keadaan ini akan menyebabkan rakyat terus tersiksa hidup di bawah pentadbiran BN berbanding rakyat Selangor ketika ini yang menikmati pelbagai manfaat sejak Mac 2008.

-nR-