Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pemulihan bekalan air di Sepang, Kuala Langat capai 55 peratus

SHAH ALAM, 19 OKT: Pemulihan bekalan air di beberapa kawasan di Sepang dan Kuala Langat mencapai tahap 55 peratus setakat jam 7 malam tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata tempoh pemulihan di setiap kawasan adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan.

Katanya, senarai kawasan yang pulih boleh didapati di laman web www.airselangor.com

“Air Selangor ingin menyarankan para pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

“Air Selangor berharap agar para pengguna yang mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” katanya menerusi Facebook.

Sementara itu, berdasarkan perkongsian jadual di Facebook, peratusan pemulihan di Sepang adalah 69 peratus, manakala Kuala Langat sebanyak 40 peratus.

Terdahulu, kerja kecemasan dan pembaikan insiden paip pecah berhampiran Kampung Chinchang Salak Tinggi, Sepang siap jam 2 petang tadi, empat jam lebih awal daripada sasaran.

Air Selangor berkata bekalan air ke 145 kawasan di Sepang dan 11 lagi di Kuala Langat disalurkan secara berperingkat mulai jam 2.30 petang tadi.

Menurutnya, bekalan air dijangka pulih jam 10 pagi esok dan tempoh pemulihan di kawasan terbabit berbeza bergantung lokasi serta tekanan air pada sistem agihan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air pulih 28 peratus setakat 7 pagi

SHAH ALAM, 15 OKT: Bekalan air bersih ke 998 kawasan terbabit dengan kerja naik taraf aset Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mencapai 28 peratus setakat jam 7 pagi tadi.

Air Selangor memaklumkan Kuala Selangor mencatat pemulihan tertinggi dengan 75.6 peratus diikuti Hulu Selangor (60.7 peratus), Petaling (60.4 peratus), Shah Alam (40.4 peratus) dan Klang (0.9 peratus).

Kawasan terlibat di Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat belum menerima bekalan air.

Demi keselesaan pengguna, Air Selangor menyelenggara aset kritikal di loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) pada Rabu lalu setelah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Beberapa kawasan berdekatan loji itu mula menerima bekalan air jam 7 petang semalam.

Pengguna di kawasan terbabit boleh menyemak kawasan masing-masing dan bila bekalan kembali pulih di laman web hentitugas.airselangor.com.

Dalam tempoh 13 hingga 16 Oktober, Air Selangor menyediakan kemudahan 18 pili awam dan 105 lori tangki ke premis penting seperti hospital, pusat dialisis dan pengebumian.

Empat stesen pengisian air setempat juga dibuka kepada pelanggan komersial untuk membeli bekalan menggunakan lori tangki.

Selain laman sesawang dinyatakan, maklumat terkini bekalan air boleh disemak di semua wadah komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter dan Instagram.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerja ganti injap tiga lokasi siap, bekalan air mula disalur

SHAH ALAM, 29 SEPT: Kerja-kerja penyenggaraan penggantian injap di Taman Sri Indah Balakong, Inlet Cheras dan di hadapan pencawang pembahagi utama The Mines siap dilaksanakan jam 6 pagi tadi.

Susulan itu, Air Selangor menerusi Facebook memaklumkan, bekalan air mula disalur kepada pengguna secara berperingkat.

Menurut Air Selangor, tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

Pengguna yang telah mendapat bekalan air diingatkan supaya menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan.

Semalam, Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri memaklumkan beberapa kawasan di Wilayah Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air berjadual berikutan kerja-kerja penyenggaraan berkenaan pada 9 malam tadi.

Kawasan terjejas melibatkan Balakong; Green Park Resident; SL 6, SL9, SL10 dan SL 11 di Bandar Sungai Long; Taman Bukit Palma; serta Jalan Putera, Jalan Puteri, Jalan Bendahara dan Jalan Mahkota di Bandar Mahkota Cheras.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui semua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Pengguna juga boleh merujuk kepada pautan hentitugas.airselangor.com.