Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Dari kisah dongeng ke sejarah, wayang boneka sarat seni tradisi

SHAH ALAM, 27 JAN: Wayang boneka sejenis persembahan kebudayaan masyarakat Cina yang terkenal suatu ketika dahulu terutama dalam majlis perkahwinan dan upacara agama.

Popular dalam kalangan etnik Teochew, pertunjukannya seakan-akan wayang kulit tetapi dimainkan di hadapan pentas. Wataknya terdiri daripada teraju utama iaitu lelaki, perempuan, individu berwatak garang dan pelawak.

Seramai empat orang menggerakkan setiap watak dengan memainkan beberapa suara mengikut karakter sambil dibantu beberapa pemuzik. Lazimnya suara watak wanita lebih nyaring dan bernada tinggi berbanding lelaki.

Setiap watak digerakkan mengikut jalan cerita sama ada berkaitan rakyat, dongeng, percintaan dan sejarah. Jika ceritanya berkaitan peperangan dan ada perlawanan pedang, pemain membawa watak dengan memegang senjata serta bergerak pantas seperti berperang.

Persembahan boneka diiringi muzik menggunakan peralatan tradisi antaranya gong, dram, seruling, gendang dan Yangqin. Menurut Pengarah Seni Boneka Teochew & Pentas Opera Goh Hooi Ling, penceritaan lebih jelas dan berkesan apabila dibantu latar belakang muzik.

Goh Hooi Ling ketika mengadakan bengkel Princess Baihua Bestows Her Sword di Black Box Publika Solaris Dutamas, Kuala Lumpur pada 15 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Tiada spesifik pemilihan penceritaan jika dimainkan pada sambutan Tahun Baharu Cina kerana setiap cerita disampaikan ada mesej tersendiri,” katanya.

Beliau juga menjelaskan bahagian kepala watak sesebuah boneka diperbuat daripada tanah liat manakala tubuhnya daripada kayu. Pemakaian boneka pula dipadankan mengikut jalan cerita.

Seni boneka juga ada pantang larang tertentu. Semua pemain termasuk pemuzik perlu mematuhinya antaranya larangan makan daging kerana pemain dikhuatiri tidak boleh menyanyi.

Mengikut kepercayaan, pemain juga dilarang membawa makanan laut bercengkerang ke pentas bagi memastikan persembahan berjalan lancar.

Si Tanggang

Namun pada masa ini, Hooi Ling mengakui pengikut seni boneka kian berkurangan khususnya kalangan generasi muda. Beliau tidak menolak kemungkinan ia disebabkan pertunjukan tersebut kerap dimainkan dalam upacara agama.

Selain itu, persembahan boneka ada disuntik elemen baharu termasuk saduran kisah kaum lain, umpamanya Si Tanggang bagi menarik minat mereka. Boneka akan dipakai seperti orang Melayu termasuk baju kurung, kain sarung manakala lagu tradisi Melayu dimainkan, contohnya rasa sayang.

Menurut Pengarah Kreatif Pusat Kajian dan Dokumentasi Pementasan Tradisional Melayu (Pusaka) Pauline Fan, usaha memartabat seni tradisi bukan mudah kerana ia kian dilupakan masyarakat moden.

“Pengikutnya seni persembahan tradisi masih ada tetapi amat kurang. Oleh sebab itu, kita bawa pelbagai persembahan tradisi kepada masyarakat supaya ia dapat diangkat semula,” katanya.

Terbaru, persembahan boneka Teochew dijayakan di pusat beli-belah Publika, Kuala Lumpur dengan membawa cerita sejarah Dinasti Yuan berjudul Hadiah Pedang Puteri Baihua.

Goh Hooi Ling membuat persiapan akhir sebelum bermulanya persembahan Princess Baihua Bestows Her Sword di Black Box Publika Solaris Dutamas, Kuala Lumpur pada 15 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pauline juga menjelaskan seni persembahan tradisi tidak hanya tertumpu kepada sesebuah masyarakat sebaliknya disaksikan pelbagai kaum termasuk penonton negara luar antaranya Australia, Jepun dan Kanada.

“Walaupun mereka kurang faham kerana penggunaan bahasa tetapi masih berminat untuk menontonnya,” kata Pauline.

Selain itu, Pusaka bercadang untuk membawa kira-kira 20 persembahan tradisi antaranya wayang kulit, makyong, dikir barat, kuda kepang, reog Ponorogo, boneka dan tarian Portugis Melaka.

“Untuk bulan depan, Pusaka membawa persembahan menora dari Kelantan dan reog Ponorogo berasal dari Johor kepada masyarakat di Publika, Kuala Lumpur,” katanya.