Categories
SELANGOR

Kejohanan Sepak Takraw MPSJ tawar wang tunai RM7,700

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 10 JULAI: Orang ramai berpeluang merebut wang tunai RM7,700 dalam Kejohanan Sepak Takraw 2016 peringkat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Bertempat di Stadium MPSJ Serdang Jaya, pemenang juga berpeluang membawa pulang piala, medal dan hadiah saguhati daripada penaja iaitu Mu’min, 100 Plus dan Gajah Emas.

imageLebih istimewanya, kejohanan julung kalinya itu terbuka kepada semua golongan muda dan veteran bertujuan mencungkil bakat masyarakat sekitar perbandaran MPSJ.

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 10 Ogos ini dan orang awam boleh menghubungi Ahmad (019-2794001), Redzuan (016-6203394) dan Isma (011-11608630) untuk sebarang pertanyaan juga maklumat lanjut.

Program belia dan sukan itu adalah inisiatif berterusan MPSJ bagi merancakkan lagi pembangunan modal insan serta komuniti sekitar perbandarannya.

Masyarakat disaran menyambut baik inisiatif sedemikian dalam usaha melahirkan masyarakat Selangor yang aktif dan berdaya saing dalam semua bidang.

-NFN

Categories
SELANGOR

Sepak takraw dipertanding Liga Sukan Selangor Plus 2016

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA SELANGOR, 7 DIS: Sepak takraw bakal dipertandingkan dalam Liga Sukan Selangor Plus 2016 bagi menarik minat dan mencungkil bakat baharu di kalangan golongan muda.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata dengan cara itu membolehkan sukan terbabit digerakkan secara aktif dan meluas di seluruh Selangor.

Sepak takraw“Kita akan masukkan sepak takraw dalam Liga Sukan Selangor Plus tahun hadapan.

“Dengan adanya sepak takraw, dirasakan kita menambah pertandingan lebih kompetetif di peringkat akar umbi,” katanya kepada Selangor Kini di sini, semalam.

Liga Sukan Selangor Plus tahun ini mempertandingkan futsal, bola jaring dan bola keranjang dibuat di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam usaha mencungkil bakat baharu di kalangan anak negeri.

Dalam pada itu, Adun Dusun Tua, Razaly Hassan menyarankan Selangor sebagai negeri cemerlang dalam sepak takraw ketika dahulu, sewajarnya langkah memperkasakan kembali dibuat bagi mengulangi pencapaian.

“Selangor dahulu terkenal tetapi sekarang dilihat pembangunannya tidak begitu terdedah, contohnya di peringkat daerah tiada usaha memperbanyakkan pertandingan mencungkil bakat baharu.

“Disarankan sepak takraw ini diperkasakan kembali kerana kini banyak negara berminat membabitkan diri dalam permainan ini di peringkat antarabangsa,” kata mantan pemain Selangor itu.

Sebelum ini, Adun Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kekurangan penganjuran kejohanan sukan di peringkat belia di DUN terbabit menjadi antara inti pati utama Kejohanan Sepak Takraw Piala Adun Kajang diadakan.

“Tidak seperti dahulu, sepak takraw kini kurang diminati. Oleh sebab itu kita anjurkan kejohanan ini yang antara lainnya adalah untuk mempromosi kembali sukan tradisi ini di kalangan belia,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Popularkan sukan sepak takraw cungkil bakat baru

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 30 NOV: Kerajaan Negeri disaran memperbanyakkan pertandingan sepak takraw di peringkat daerah bagi mempopularkan sukan terbabit serta menarik minat belia menyertainya.

Adun Dusun Tua, Razaly Hassan, berkata sebagai sebuah negeri pernah cemerlang dalam sukan itu pada ketika dahulu, sewajarnya langkah memperkasakan kembali dibuat bagi mengulangi pencapaian lampau.

Sepak takraw“Selangor dahulu terkenal tetapi sekarang dilihat pembangunannya tidak begitu terdedah kerana apa saya perhatikan contohnya di peringkat daerah tiada usaha memperbanyakkan permainan atau pertandingan bagi mencungkil bakat baharu.

“Disarankan sepak takraw ini diperkasakan kembali kerana kini banyak negara berminat membabitkan diri dalam permainan ini di peringkat antarabangsa,” katanya kepada Selangor Kini.

Mantan pemain negeri itu berkata, dengan segala kemudahan tersedia dan populasi tinggi di kalangan golongan muda, Selangor boleh memulakan pendekatan itu sebagai perintis demi kebaikan pasukan sepak takraw negara.

Katanya, dahulu pasukan negara digeruni musuh tradisi, Thailand tetapi sekarang saingan lebih terbuka dan luas dengan pembabitan aktif Korea, China serta negara Asia lain selain negara Timur Tengah begitu berminat dengan sukan ini.

“Kita berharap kalau kerajaan mahu mengekalkan nama negara dalam sukan sepak takraw maka perlu difikirkan pemberian imbuhan munasabah kepada pemain bersesuaian dengan keadaan masa kini,” katanya.

Sebelum ini, Adun Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kekurangan penganjuran kejohanan sukan di peringkat belia di DUN terbabit menjadi antara inti pati utama penganjuran Kejohanan Sepak Takraw Piala Adun Kajang.

“Ini adalah permulaan, selepas ini kita akan memperhebatkan lagi kejohanan sukan lain dalam menyemarakkan budaya hidup sihat.

“Tidak seperti dahulu, sepak takraw kini kurang diminati. Oleh sebab itu kita anjurkan kejohanan ini yang antara lainnya adalah untuk mempromosi kembali sukan tradisi ini di kalangan belia,” katanya.

EZY