Categories
SELANGOR

Sidang DNS Selangor lulus usul kutuk serangan pengganas Christchurch

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 20 MAC: Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini meluluskan usul mengutuk serangan pengganas di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac lalu sehingga mengorbankan 50 nyawa termasuk kanak-kanak.

Usul tergempar terbabit dibentangkan Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib.

Saari dalam pembentangan usul itu berkata, asas kepada kutukan terbabit kerana perlakuan penyerang yang tidak bertamadun sehingga sanggup menyerang individu tidak bersenjata di dalam rumah ibadat.

“Ini adalah perbuatan keji dan tidak bermaruah, golongan ekstremisme ideologi dan radikalisme agama dilihat akan merebak sekiranya ia tidak ditangani,” katanya ketika Sidang DNS, di sini, hari ini.

Saari berkata, justeru, Kerajaan Negeri diseru supaya memperkukuhkan dasar dan keharmonian hidup di antara agama, bangsa dan budaya di negeri ini terus kukuh.

“Masjid dan surau di seluruh Selangor juga boleh menjadi landasan untuk menyebarkan mesej keamanan dan persaudaraan serta menghilangkan prejudis yang menebal terhadap agama dan bangsa lain.

“Kefahaman hidup bertoleransi serta kesederhanaan dalam hubungan masyarakat perlu diperkukuhkan dalam konteks masyarakat Malaysia yang berbilang agama, bangsa dan budaya,” katanya.