Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong, Permaisuri doa negara pulih daripada musibah Covid-19

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Menzahirkan harapan tahun baharu 2021 akan lebih baik, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berharap vaksin Covid-19 yang bakal diterima kelak akan melandaikan keluk pandemik, sekali gus memutuskan transmisi koronavirus di Malaysia.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan harapan agar rakyat terus cekal dan sabar mengharungi pelbagai ujian ekoran wabak Covid-19 serta berdoa supaya musibah yang melanda pulih.

Penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia dan negara sejak awal tahun ini telah memaksa rakyat menjalani kehidupan harian di luar kebiasaan dalam pelbagai aspek malah mengancam keselamatan diri dan menjejaskan kesejahteraan ekonomi negara serta sosioekonomi rakyat.

“Seri Paduka Baginda berdua turut mengambil kesempatan ini menzahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya, Malaysia sentiasa dirahmati nikmat keamanan dan perpaduan meskipun sepanjang 2020, negara yang kita cintai bersama ini dilanda pelbagai ujian,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara hari ini.

Menzahirkan ucapan selamat menyambut Tahun Baharu 2021 kepada seluruh rakyat Malaysia, Seri Paduka berdua menasihati rakyat supaya sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan diri serta keluarga dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Ahmad Fadil berkata Seri Paduka berdua amat prihatin terhadap nasib rakyat dan turut sama berasakan segala keperitan hidup rakyat, terutamanya yang kehilangan orang tersayang mahupun punca pendapatan, akibat penularan wabak Covid-19 ini.

“Sesungguhnya, Seri Paduka Baginda berdua sentiasa inginkan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat jelata terpelihara dan ini amat bergantung kepada kestabilan politik dan pentadbiran negara,” katanya.

Dalam usaha mengekalkan kestabilan itu, Seri Paduka Baginda berdua sekali lagi menasihati semua pihak, khususnya ahli-ahli politik supaya mengurangkan agenda dan ketegangan politik dengan bersama-sama berganding bahu dan memberi tumpuan membela kebajikan rakyat serta mengutamakan proses pemulihan ekonomi negara.

“Seharusnya, kita semua perlu sentiasa bermuhasabah untuk mengambil iktibar serta teladan daripada peristiwa dan cabaran yang telah dilalui pada tahun lalu untuk memperbaiki diri, keluarga, komuniti dan negara secara keseluruhannya,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berdoa agar keamanan dalam negara dapat dikekalkan serta keharmonian hubungan antara kaum, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat yang sentiasa berpegang pada prinsip rukun negara dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

“Allah SWT sentiasa membantu orang-orang yang berusaha, dengan semangat perpaduan dan daya tahan yang jitu kita mampu bersama menghadapi segala cabaran dan ujian.

“Semoga tahun 2021 dikurniakan oleh Allah SWT dengan keadaan lebih baik berbanding tahun-tahun yang lalu,” titah Seri Paduka.

Mengajak seluruh rakyat bersama-sama mendoakan negara sentiasa dilindungi daripada segala bentuk ancaman serta dikurniakan perpaduan dan kemakmuran berkekalan, Seri Paduka berdua mendoakan pemerintah, pemimpin dan rakyat di negara ini terus dirahmati dan diberkati Allah SWT .

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong perkenan kurnia pingat PGB kepada Baharuddin, Norihan

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menganugerahkan Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) kepada mendiang Sarjan Baharuddin Ramli dan Sarjan Norihan Tari, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata penganugerahan itu sebagai mengenang jasa dan pengorbanan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terlibat dalam kejadian berbalas tembakan di sempadan Malaysia-Thailand pada Selasa (24 Nov).

“Saya bagi pihak kerajaan menjunjung kasih ke bawah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas perkenan baginda untuk menganugerahkan Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) kepada kedua-dua anggota terlibat,” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri.

Hamzah berkata Kementerian Dalam Negeri juga memperakukan supaya mendiang Baharuddin dinaikkan pangkat kepada Sarjan secara posthumous dan Norihan juga dinaikkan pangkat kepada Sarjan secara medan.

Katanya kerajaan sentiasa mengiktiraf jasa dan pengorbanan anggota keselamatan yang berkhidmat dengan jujur, ikhlas dan berani dalam mempertahankan keselamatan, keamanan dan kesejahteraan negara.

Mengenai insiden berkenaan, Hamzah berkata hingga kini, Polis Diraja Malaysia telah menahan 19 suspek membabitkan 15 warganegara dan empat rakyat Thailand.

Beliau berkata pihak berkuasa Thailand pula menahan empat suspek warganegara Thailand, termasuk tiga yang cuba mendapatkan rawatan di hospital akibat kecederaan terkena tembakan.

“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat,” katanya.

Susulan itu, Hamzah berkata kementeriannya sedang merangka pelan strategik secara holistik bagi memperkasakan lagi kawalan keselamatan dan keupayaan anggota pasukan keselamatan yang bertugas di sempadan, melibatkan perolehan aset serta fasiliti moden dan terkini seperti dron, Armoured Personnel Carrier (APC), Night Vision Goggles (NVG) dan GPS Tracker.

Hamzah berkata demikian semasa menjawab soalan Abdul Latif Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) mengenai perincian insiden serangan terhadap dua anggota PGA itu dan langkah terkini kerajaan dalam memperketatkan lagi kawalan sempadan antarabangsa agar sindiket penyeludupan lumpuh sepenuhnya.

Pada Selasa, Baharuddin maut manakala Norihan cedera parah ditembak selepas diserang kumpulan penyeludup ketika menjalankan risikan di kawasan Pintu A3, Pos Tembok Sempadan 9 (TS9), Padang Besar.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong zahir takziah kepada keluarga Hasbullah

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Ahli Parlimen Gerik Allahyarham Datuk Hasbullah Osman yang meninggal dunia malam tadi.

Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Hasbullah dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi suasana pilu itu.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menyanjung tinggi dan menghargai khidmat bakti serta jasa Allahyarham kepada masyarakat dan negara.

Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan para solihin,” menurut kenyataan itu.

Hasbullah, 63, tidak sedarkan diri susulan serangan jantung ketika berada di dalam kereta semasa di kampung isterinya di Raub, Pahang kira-kira 6.30 petang semalam. Allahyarham kemudian dikejarkan ke Hospital Raub sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 7 malam.

Allahyarham merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Temenggor sejak 2004 sehingga 2013 sebelum bertanding dan memenangi kerusi Parlimen Gerik pada Pilihan Raya Umum ke-13. Hasbullah dilantik sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Bhd pada 12 Mei lepas.

Hasbullah juga pernah menjadi setiausaha politik kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu menyandang jawatan timbalan perdana menteri.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

AMK Minta SPR Jawab 10 Soalan

Shamsul Iskandar Kongres

PETALING JAYA, 24 MEI: Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini menggariskan 10 persoalan yang perlu dijawab Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai syarat bagi sayap parti itu mengiktiraf keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang  berlangsung pada 5 Mei lalu.

Menurut Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin, antara persoalan yang perlu dijelaskan SPR, isu daftar pemilih yang gagal dibersihkan dan isu penggunaan dakwat kekal yang boleh dihilangkan hanya dalam masa beberapa jam sahaja.

“Secara faktanya, menurut laporan Akhbar Focus Malaysia keluaran minggu ke 23/2013, dilaporkan pengakuan pengerusi SPR sendiri bahawa terdapat 42,000 nama yang diragui dalam senarai daftar pemilih terkini.

“Dikebanyakkan negara, keseluruhan keputusan pilihan raya akan diisytiharkan tidak sah sekiranya daftar pemilih itu tidak dibersihkan,” kata Shamsul dalam ucapan dasarnya di Kongres AMK dalam Kongres Nasional Keadilan Ke-9 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini.

Isu lain yang perlu dijelaskan SPR, laporan ejen-ejen pilihan raya yang tidak dibekalkan borang 14, dakwaan bekalan elektrik terputus sewaktu pengiraan undi, terdapat peti undi dibawa masuk di saat akhir, dakwaan terdapat pengundi diberikan kertas undi tidak dicop dan nombor siri direkodkan.

Shamsul turut meminta SPR memberikan penjelasan berhubung isu dakwaan kertas undi pengundi luar negara yang mempunyai kesan bertanda, liputan yang adil dari media elektronik yang dibiayai pembayar cukai, isu keselamatan peti undi pengundi awal yang disimpan dalam lokap dan pembetulan lokaliti yang didakwa menyukarkan pengundi.

“(Pengerusi SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof perlu bertanggungjawab bukan hanya kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, malah kepada seluruh rakyat Malaysia,” kata Shamsul lagi.

“Sejumlah RM400 juta duit pembayar cukai digunakan untuk mengendalikan PRU-13, merupakan tertinggi dalam sejarah dan tentunya rakyat Malaysia menuntut kepada satu penjelasan yang mengesankan dan bukan penafian semata-mata,” katanya lagi.

Sebelum itu, Kongres AMK dan Wanita yang dihadiri hampir 1,500 perwakilan, pemerhati dan jemputan khas itu dirasmikan secara serentak oleh Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Sementara Kongres Nasional Keadilan Ke-9 yang sepatutnya diadakan pada penghujung tahun lepas pula akan dilangsungkan keesokkan hari di dewan sama.