Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KEADILAN mesti jadi ‘Rock of Gibraltar’ PAKATAN

AYER KEROH, 5 DIS: KEADILAN perlu menjadi ‘Rock of Gibraltar’ untuk memastikan Pakatan Harapan (PAKATAN) kekal stabil dan kukuh bagi mendepani cabaran membawa pembaharuan negara di samping memelihara kerjasama erat bersama parti komponen lain.

Timbalan Presidennya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, rakyat mahu melihat kesatuan dan keberkesanan dalam tindakan yang diputuskan di semua peringkat di samping meraikan kepelbagaian pendapat serta wacana yang sihat.

“Dalam hal ini, KEADILAN mesti menjadi pelopor dan terdahulu penggerak untuk memenuhinya. Kita mesti optimis (dan) kita tidak boleh dikalahkan.

“Kita mesti terbuka mendengar apa yang rakyat katakan dan perlu sentiasa berwaspada.

Timabalan Presiden KEADILAN,, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali melambaikan tangan kepada perwakilan ketika Kongres KEADILAN Nasional berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC), Melaka. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“KEADILAN mesti kekal (sebagai) ‘Rock of Gibraltar’ buat Pakatan Harapan demi kestabilan dan pengukuhan. Bekerja keras bersama-sama dengan rakan sekutu (PAKATAN), kita akan terus berusaha untuk maju dan pembaharuan untuk negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda dan Wanita KEADILAN 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Perumpamaan ‘Rock of Gibraltar’ adalah merujuk kepada sebuah batu kapur monolitik yang dipanggil ‘Rock’ terletak di wilayah British.

Dalam ucapan sama Mohamed Azmin menegaskan, setiap perbezaan pandangan perlu dirungkai dan ditangani dengan semangat perpaduan serta saling menghormati.

Ini termasuk persediaan KEADILAN yang bakal berhadapan dengan seramai 7.8 juta pengundi baharu pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita telah membuktikan setiap perbezaan pandangan yang kita hadapi akan dapat dirungkai dan ditangani atas semangat perpaduan, ruhul ukhuwah dan mutual respect (saling menghormati).

“Kita juga mesti mempunyai semangat dan berjiwa besar untuk mendengar pandangan akar umbi.

“Saya yakin, jika kita berpegang teguh kepada idealisme dan prinsip perjuangan yang luhur, apa juga perbezaan, masalah, mahu pun krisis akan dapat diselesaikan. We will emerge stronger than ever! (kita akan muncul lebih kuat dari sebelumnya),” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Azmin: Ambil iktibar Chile gagal agih ekonomi

AYER KEROH, 5 DIS: Malaysia perlu mengambil iktibar daripada kejatuhan ekonomi Chile yang pernah diiktiraf sebagai antara ekonomi paling maju, kadar pertumbuhan tinggi dan mempunyai potensi memberangsangkan.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kegagalan mengagihkan kekayaan dengan saksama dan membiarkan kesenjangan sosial terus melebar telah menyebabkan banyak negara dilanda krisis kian parah.

Sedar mengenai perkara itu katanya, Kerajaan Persekutuan telah menggubal Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) sebagai satu iltizam untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil untuk semua rakyat.

“Ikhtiar ini akan memacu transisi ekonomi negara ke arah yang lebih progresif, berpaksikan ilmu dan bernilai tinggi dengan penyertaan masyarakat yang menyeluruh di semua peringkat.

“WKB 2030 akan memperbetulkan ketempangan dan ketidakseimbangan sosial dalam masyarakat bagi merapatkan jurang antara kelas pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda dan Wanita KEADILAN 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

WKB 2030 yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjadi paksi dalam penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 dan Rancangan Malaysia Ke-13 sebagai kerangka pembangunan jangka panjang negara.

Katanya, wawasan itu mampu dijayakan apabila semua rakyat bersama-sama mendukung hasrat berkenaan.

“Maka, tanggungjawab saudara-saudari sekalian adalah untuk menggembleng dukungan rakyat dan membina Malaysia yang rancak ekonominya, kaya budayanya dan makmur dengan keadilan sosial. Inilah yang kita maksudkan dengan Malaysia Baharu.

“Rakyat dan Kerajaan perlu berganding bahu supaya kemakmuran negara ini dapat dinikmati oleh orang Ulu di Ba’kelalan, orang Jawa di Parit Bunian, Pontian, suku Temiar di Kampung Tohoi, Gua Musang, orang India di estet Bukit Cherakah dan orang Cina di Tanjung Piai,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKR gesa jangan terjebak politik perkauman

AYER KEROH, 5 DIS: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menggesa semua pihak supaya tidak terjebak ke dalam kancah politik perkauman dan agama yang sempit selaras dengan hasrat Malaysia Baharu.

Beliau berkata, naratif Malaysia Baharu perlu dibangunkan dengan prinsip berteraskan keadilan, kesaksamaan dan kesederhanaan bagi membingkai perpaduan bersama malah ia menjadi tanggungjawab anak muda serta wanita.

“Malaysia Baharu tidak boleh terjebak dalam wacana fahaman perkauman dan agama yang sempit sebaliknya Malaysia Baharu menuntut kita untuk berpegang kepada prinsip-prinsip yang luhur, sederhana serta merai dan mendakap kepelbagaian.

“Kita perlu bekerja berganding bahu untuk membingkai perpaduan, mencapai kesejahteraan, memperkukuh ekonomi bandar dan desa, wilayah dan negara demi kemakmuran bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda (AMK) dan Wanita KEADILAN 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Katanya, Kongres Nasional KEADILAN kali ini menjadi tumpuan ramai sejak berminggu lalu berbanding liputan Perhimpunan Agung UMNO yang disifatkannya hampir tenggelam dan tidak dibincangkan.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Selangor, Amirudin Shari bersalaman dengan barisan kepimpinan Angkatan Muda KEADILAN ketika Kongres KEADILAN Nasional berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC), Melaka. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Malah, Mohamed Azmin turut melahirkan rasa syukur kerana masih kekal bersama rakan seperjuangan sejak KEADILAN ditubuhkan 20 tahun lalu.

Dalam ucapan sama beliau turut menasihatkan Angkatan Muda dan Wanita KEADILAN supaya menyelami denyut nadi rakyat sementara Pakatan Harapan pula perlu meraikan kepelbagaian pendapat serta wacana fikiran yang sihat.

“Tahun ini genaplah 20 tahun KEADILAN. Saya bersyukur kerana setelah 20 tahun kita berjuang dan bertempur, saya kekal teguh bersama-sama saudara-saudari, teman-teman seperjuangan.

“Tahniah dan syabas kepada semua yang kekal setia dan sentiasa tenang dalam perjuangan.

“Saya bangga bersama angkatan muda, wanita dan srikandi yang dinamik, bertenaga dan bersemangat waja untuk terus membawa obor perjuangan peduli rakyat.

Mohamed Azmin sebelum itu tiba dengan mengayuh beca sambil diiringi Ketua Wanita KEADILAN, Haniza Talha dan Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Hadir sama, Pengerusi Pimpinan KEADILAN Selangor, Amirudin Shari yang turut mengambil kesempatan bersalaman bersama perwakilan yang hadir.

Categories
NASIONAL

Kemiskinan sukar diatasi jika kualiti pendidikan rendah

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 22 OGOS: Isu kemiskinan yang sedang dihadapi rakyat Malaysia sehingga hari ini sukar untuk diatasi jika negara tidak mempunyai sistem pendidikan yang berkualiti, kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar.

Beliau berkata, kualiti pendidikan di Malaysia terus merudum dan jauh ketinggalan berbanding negara jiran seperti Vietnam, apatah lagi Korea Selatan, China dan Singapura.

Katanya, berdasarkan statistik, pelajar Malaysia berada kurang 2.5 tahun di belakang pelajar Vietnam dalam mata pelajaran Matematik dan 2.8 tahun ke belakang dalam mata pelajaran Sains.

Dr Daroyah Alwi pelajar cemerlang“Dan berbanding pelajar Singapura, Korea dan China, pelajar Malaysia terkebelakang sebanyak empat tahun

“Pakar ekonomi Bank Dunia untuk Malaysia, Frederico Gil Sander berkata, keadaan pendidikan Malaysia yang jauh ditinggalkan negara miskin seperti Vietnam adalah lebih menggerunkan berbanding dengan nisbah hutang isi rumah yang besar.

“Saya juga seorang ibu, bekas pelajar sekolah kerajaan dan alangkah sedihnya apabila menjadi saksi kepada penurunan kualiti pendidikan yang diterima anak kita, termasuk anak saya sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Kongres Nasional Tahunan Wanita PKR 2014 di Stadium Malawati Shah Alam, di sini, hari ini.

nurul izzah KLSCAH 01Izzah berkata, laporan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2012 oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) turut mengejutkan dengan prestasi pelajar Malaysia yang semakin merudum.

Katanya, laporan itu menyebut bahawa pelajar tingkatan tiga Malaysia adalah setaraf dengan pelajar darjah lima dari Singapura dan Korea Selatan.

“Kita perlu mempunyai kesedaran bahawa tanpa sebuah sistem pendidikan yang baik, tidak mungkin rakyat Malaysia yang termiskin mampu keluar daripada kancah kemiskinan tanpa sebuah keajaiban.

“Sehubungan ini, kita akan terus menuntut ditubuhkan sebuah Majlis Perundingan Pendidikan Kebangsaan yang membolehkan semua pihak duduk semeja,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut mencadangkan supaya sebuah prasekolah ditubuhkan sebagai alternatif kepada prasekolah sedia ada.

Katanya ia, adalah bersesuaian dengankajian George Land pada tahun 1968 yang memberi ujian kreativiti NASA kepada 1,600 kanak-kanak 5 tahun di mana 98 peratus daripada kanak-kanak yang diuji menunjukkan tahap kreativiti genius.

“Cabang PKR juga boleh menubuhkan pusat tuisyen tersendiri seperti di Lembah Pantai, saya ada mengusahakan tuisyen bahasa Inggeris di pejabat serta sedang berusaha membuka sebuah lagi kelas bagi membantu anak tempatan mendapat pendidikan tambahan di luar sekolah dengan kos yang minima,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

AMK Minta SPR Jawab 10 Soalan

Shamsul Iskandar Kongres

PETALING JAYA, 24 MEI: Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini menggariskan 10 persoalan yang perlu dijawab Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai syarat bagi sayap parti itu mengiktiraf keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang  berlangsung pada 5 Mei lalu.

Menurut Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin, antara persoalan yang perlu dijelaskan SPR, isu daftar pemilih yang gagal dibersihkan dan isu penggunaan dakwat kekal yang boleh dihilangkan hanya dalam masa beberapa jam sahaja.

“Secara faktanya, menurut laporan Akhbar Focus Malaysia keluaran minggu ke 23/2013, dilaporkan pengakuan pengerusi SPR sendiri bahawa terdapat 42,000 nama yang diragui dalam senarai daftar pemilih terkini.

“Dikebanyakkan negara, keseluruhan keputusan pilihan raya akan diisytiharkan tidak sah sekiranya daftar pemilih itu tidak dibersihkan,” kata Shamsul dalam ucapan dasarnya di Kongres AMK dalam Kongres Nasional Keadilan Ke-9 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini.

Isu lain yang perlu dijelaskan SPR, laporan ejen-ejen pilihan raya yang tidak dibekalkan borang 14, dakwaan bekalan elektrik terputus sewaktu pengiraan undi, terdapat peti undi dibawa masuk di saat akhir, dakwaan terdapat pengundi diberikan kertas undi tidak dicop dan nombor siri direkodkan.

Shamsul turut meminta SPR memberikan penjelasan berhubung isu dakwaan kertas undi pengundi luar negara yang mempunyai kesan bertanda, liputan yang adil dari media elektronik yang dibiayai pembayar cukai, isu keselamatan peti undi pengundi awal yang disimpan dalam lokap dan pembetulan lokaliti yang didakwa menyukarkan pengundi.

“(Pengerusi SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof perlu bertanggungjawab bukan hanya kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, malah kepada seluruh rakyat Malaysia,” kata Shamsul lagi.

“Sejumlah RM400 juta duit pembayar cukai digunakan untuk mengendalikan PRU-13, merupakan tertinggi dalam sejarah dan tentunya rakyat Malaysia menuntut kepada satu penjelasan yang mengesankan dan bukan penafian semata-mata,” katanya lagi.

Sebelum itu, Kongres AMK dan Wanita yang dihadiri hampir 1,500 perwakilan, pemerhati dan jemputan khas itu dirasmikan secara serentak oleh Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Sementara Kongres Nasional Keadilan Ke-9 yang sepatutnya diadakan pada penghujung tahun lepas pula akan dilangsungkan keesokkan hari di dewan sama.