Categories
SELANGOR

Sebar mesej palsu air percuma cubaan sabotaj, iri hati

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 OKT: Kerajaan Negeri mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab dalam isu penyebaran pengurangan air percuma.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Shuhaimi Shafei menganggap tuduhan dan fitnah itu sebagai sabotaj terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri.

Katanya, Kerajaan Negeri sebelum ini komited membantu mengurangkan beban rakyat sejak Pakatan mengambil alih tampuk pimpinan Selangor.

“Kenyataan itu sengaja dicetuskan untuk mengugat keharmonian rakyat Selangor.

“Walaupun jumlah RM 11.40 yang diberikan sesi rumah itu kecil tetapi rakyat berpuas hati dengan pelaksanaan program air percuma itu,” katanya kepada SelangorKini.

Shuhaimi 1Shuhaimi tidak menolak kemungkinan pihak terbabit ‘iri hati’ apabila program itu dilaksanakan kepada jutaan penduduk negeri itu.

“Saya minta mereka hentikan tuduhan ini, Kerajaan Negeri mengambil serius perkara ini dan mengecam fitnah dilakukan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan Kerajaan Negeri komited menyelesaikan penstrukturan semula industri air.

“Begitu juga dengan kes pencemaran di beberapa sungai sehinggakan beberapa syarikat ditutup kerana tidak bertanggungjawab dalam hal itu,” katanya.

Semalam, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menolak dakwaan mesej tidak sahih tersebar luas di media sosial mengenai pengurangan air percuma 20 meter padu.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Amin Lin Abdullah, berkata dakwaan air percuma 20 meter padu dinikmati pelanggan domestik dengan meter individu di Selangor kepada 10 meter padu bermula November 1, 2016 adalah fitnah.

Air Selangor tidak teragak-agak melaporkan kepada pihak berkuasa.

Program pemberian 20 meter padu air percuma dilaksanakan Kerajaan Negeri di bawah Pakatan sejak 2008.

-nR-