Shah Alam Enduride platform berbasikal taraf antarabangsa

1,500 peserta dari dalam dan luar negara menyertai program kayuhan ‘Shah Alam Enduride’ (Endurance Ride) 2016 sejauh 120km anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam.

Categories
SELANGOR

Shah Alam Enduride platform berbasikal taraf antarabangsa

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 MEI: Seramai 1,500 peserta dari dalam dan luar negara menyertai program kayuhan ‘Shah Alam Enduride’ (Endurance Ride) 2016 sejauh 120 kilometer (km).

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pembangunan Komuniti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad, berkata program terbabit adalah platform untuk pihaknya menganjurkan acara berbasikal bertaraf antarabangsa.

Katanya, ia selaras dengan usaha menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya sukan.

LrMobile1505-2016-085416961154344214-640x517“Program kayuhan ini adalah penganjuran kali ketiga oleh MBSA dengan kerjasama Bike Away.

“Peserta yang menyertai juga dari negara luar antaranya Indonesia, Singapura, Thailand, United Kingdom, India, Australia, Sepanyol, Sweden, New Zealand, Filipina, Jepun, Brunei dan Jerman,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, Shah Alam Enduride juga dijadikan produk tarikan pelancongan sukan di bandar raya itu selain kayuhan santai Shah Alam dan pertandingan berbasikal kriterium Shah Alam.

“Kita mahu memperkenalkan gaya hidup sihat dengan berbasikal.

“Ia bersesuaian dengan usaha MBSA untuk mempromosikan laluan berbasikal bagi menggalakkan aktiviti berbasikal,” katanya.

Shah Alam Enduride 2016 mempertandingkan dua kategori iaitu ‘Road Race’ bagi lelaki junior bawah 19 tahun, lelaki terbuka 20-34 tahun dan lelaki senior master berumur 40 tahun ke atas.

CP2A1604-640x426Manakala Road Bike – kayuhan santai bagi lelaki junior bawah 19 tahun, lelaki terbuka berumur 20-34 tahun, lelaki master 35-45 tahun dan lelaki senior master berumur 46 tahun ke atas.

Program itu bermula dan tamat di Dataran Kemerdekaan Shah Alam melalui kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Peserta berkayuh melalui beberapa daerah antaranya Klang, Gombak dan Kuala Selangor.

Acara pelepasan disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafudin Idris Shah.

Hadir sama Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Tengku Muda turut berpeluang menyertai kayuhan terbabit.

-AA-