SHAH ALAM 3 MAC: KEADILAN memandang berat terhadap cubaan membunuh Sheikh Dr Aaidh Ibn Abdullah Al Qarni yang cuba dilakukan pihak tidak dikenali di Zamboanga,Filipina pada 1 Mac lalu.
Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA) KEADILAN, Senator Dr Muhammad Nur Manuty, berkata dilaporkan Sheikh Dr Aaidh Al Qarni ditembak ketika bersedia meninggalkan majlis ceramahnya.
Katanya, Kedutaan Arab Saudi di Manila melaporkan Sheikh Dr Aaidh Al Qarni cedera dibahunya dan keadaannya tidak membimbangkan, pembantu pembantu beliau juga terselamat semuanya.
“BiPPA bersyukur ke hadzrat ALLAH kerana Sheikh Dr Aaidh Al Qarni terselamat dari cubaan membunuhnya.
“Kita mendoa’kan kesihatan beliau serta tabah dan diberikan kekuatan meneruskan usaha usaha dakwah dengan pendekatan sederhana di serata dunia Islam yang mendambakan ilmu dan peranannya dalam mengangkat martabat Islam dan penganutnya, ,” kata Dr Muhammad dalam kenyataan media.
Dr Muhammad berkata BiPPA juga menggesa Kerajaan Filipina untuk segera melakukan penyiasatan bagi memastikan pihak bertanggungjawab diadili dan dihukum segera.
“Pihak kami memandang serius hal ini kerana dibimbangi ia kesan daripada pemikiran radikal dan ekstrem yang berkembang di rantau Asia Barat,” katanya.
EZY