Categories
NASIONAL

KEADILAN kutuk cubaan bunuh Sheikh Dr Aaidh Al-Qarni

SHAH ALAM 3 MAC: KEADILAN memandang berat terhadap cubaan membunuh Sheikh Dr Aaidh Ibn Abdullah Al Qarni yang cuba dilakukan pihak tidak dikenali di Zamboanga,Filipina pada 1 Mac lalu.

Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA) KEADILAN, Senator Dr Muhammad Nur Manuty, berkata dilaporkan Sheikh Dr Aaidh Al Qarni ditembak ketika bersedia meninggalkan majlis ceramahnya.

Katanya, Kedutaan Arab Saudi di Manila melaporkan Sheikh Dr Aaidh Al Qarni cedera dibahunya dan keadaannya tidak membimbangkan, pembantu pembantu beliau juga terselamat semuanya.

Sheikh-Aidh-Al-Qarni“BiPPA bersyukur ke hadzrat ALLAH kerana Sheikh Dr Aaidh Al Qarni terselamat dari cubaan membunuhnya.

“Kita mendoa’kan kesihatan beliau serta tabah dan diberikan kekuatan meneruskan usaha usaha dakwah dengan pendekatan sederhana di serata dunia Islam yang mendambakan ilmu dan peranannya dalam mengangkat martabat Islam dan penganutnya, ,” kata Dr Muhammad dalam kenyataan media.

Dr Muhammad berkata BiPPA juga menggesa Kerajaan Filipina untuk segera melakukan penyiasatan bagi memastikan pihak bertanggungjawab diadili dan dihukum segera.

“Pihak kami memandang serius hal ini kerana dibimbangi ia kesan daripada pemikiran radikal dan ekstrem yang berkembang di rantau Asia Barat,” katanya.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

BIPPA sambut baik cadangan Mufti, MAIS berdialog selesai isu SIS

Oleh: Dr Muhammad Nur Manuty

Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (Bippa) KEADILAN ingin merujuk kepada kontroversi mengenai fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Ugama Islam Selangor (Mais) yang telah mengharamkan Sisters in Islam (SIS) serta mengisytiharkan bahawa individu, pertubuhan atau institusi yang mengamalkan ‘pluralisme’ dan ‘libralisme’ agama sebagai sesat dan menyeleweng dari ajaran Islam.

Bippa ingin menegaskan, bahawa sebagai seorang Muslim, meletakkan faham ‘pluralisme’ dan ‘libralisme’ yang meletakkan secara total bahawa agama Islam adalah sama dari segi kebenaran dengan semua agama adalah jelas bertentangandengan aqidah.

dr.-muhamad-nur-manutyNamun demikian, untuk melabelkan sesuatu pihak itu sudah sampai ke tahap sedemikian, bukanlah sebegitu mudah dan senang. Sewajarnya perlu melalui suatu proses yang cukup analitikal, adil dan matang.

Sesungguhnya, fatwa yang terlalu umum dan simplistik, boleh mengundang pelbagai implikasi yang lebih memudharatkan umat – seperti budaya melabel, menghukum dan gejala takfir semborono dan sewenang-wenang di dalam masyarakat Islam. Malah, jika tidak dikawal, boleh pula mengundang konflik dan ancaman kegananasan.

Bippa berpendirian bahawa dialog dan konsultasi di kalangan ulama dan ilmuan Muslim adalah satu keperluan utama (min fiqh al-awlawiyyat) dalam menyelesaikan pelbagai isu keagamaan umat pada masa kini (termasuklah isu ‘pluralisme’ dan ‘libralisme’).

Sesungguhnya, kitab suci Al-Qur’an meriah dengan gesaan hiwar (dialog). Justeru, pendekatan “engaging dialogue” dan komunikasi dua-hala di antara satu dengan lain wajar dibudayakan demi mengembalikan semula keagungan umat dan tamadun Islam.

Allah SWT berfirman: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik.” (Surah al-Nahl: 125).

Berkaitan dengan ini, cadangan pertemuan dialog di antara Mufti Selangor, Mais dan SIS seperti yang dinyatakan oleh Menteri Besar Selangor hari ini, adalah amat wajar dan dialu-alukan.
Bippa mendoakan agar ia menjadi kenyataan dan seterusnya menghasilkan perubahan yang memberi manfaat di dalam arena dakwah dan pemikiran intelektual Islam di Negara tercinta ini.

* Dr Muhammad Nur Manuty adalah Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama