Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP Selangor periksa 1,271 premis, kesan tiga aduan naik harga

SHAH ALAM, 28 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor memeriksa 1,271 premis setakat semalam bagi memantau harga barangan.

Pengarahnya Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata daripada jumlah itu, sebanyak tiga aduan kenaikan harga diterima sekitar Shah Alam dan Petaling Jaya, lapor Harian Metro.

Beliau menjelaskan pemantauan selaras Skim Pelaksanaan Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi membendung kenaikan tidak munasabah.

“Berdasarkan jumlah aduan (yang tidak banyak), kita tahu peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya selepas meninjau Pasar Besar Jalan Othman di sini hari ini.

Muhamad Zikril Azan menambah pihaknya berpuas hati terhadap pematuhan tinggi peniaga dalam menetapkan harga dan berharap ia berterusan bagi manfaat pengguna.

Beliau turut meminta orang ramai memberi maklumat melalui semua saluran aduan KPDNHEP dengan menyertakan butiran lengkap jika mengesan kenaikan harga melampau.

“Kita harap semua pihak termasuk peniaga dan pengguna memainkan peranan masing-masing agar kita dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi membendung salah laku etika oleh peniaga,” katanya.

Saluran aduan seperti berikut:

1. Portal: e-aduan.kpdnhep
2. Talian: 1-800-886-800
3. E-mel: [email protected]
4. Aplikadi Ez ADU KPDNHEP
5. Talian Pusat Arahan Penguatkuasaan: 03-8882 6088/6245
6. WhatsApp: 0192794317

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

16 barang disenarai Skim Harga Maksimum Tahun Baharu Cina

PUTRAJAYA, 5 FEB: Sebanyak 16 jenis barangan disenaraikan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2021 yang berkuat kuasa dari 8 hingga 16 Februari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kategori barangan harga terkawal terdiri daripada ayam, telur ayam, sayuran, hasil laut dan daging babi.

“SHMMP ini dilaksanakan sebagai langkah untuk menyekat kenaikan harga barangan keperluan menjelang perayaan Tahun Baharu Cina yang disambut pada 12 Februari ini di seluruh negara.

“Selain itu, skim ini juga secara tidak langsung dapat menyekat kenaikan harga yang tidak munasabah semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya ketika mengumumkan SHMMP Tahun Baharu Cina secara dalam talian di laman rasmi Facebook Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini.

Barangan keperluan yang disenaraikan dalam SHMMP itu ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, kubis bulat import, cili merah, tomato, ubi kentang China, bawang putih China, ikan bawal putih, udang putih besar, babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).

“Walaupun perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini disambut secara sederhana mengikut tatacara operasi piawai kerajaan, permintaan terhadap barangan semasa perayaan tetap ada dan dijangka meningkat berbanding semasa bukan hari perayaan,” katanya.

Nanta berkata harga maksimum pengeluar, borong dan runcit yang ditentukan adalah bersesuaian dengan trend harga semasa dan semasa menjelangnya hari perayaan.

“Terdapat juga harga yang ditentukan adalah lebih rendah dan kekal seperti pelaksanaan SHMMP Krismas yang lepas,” katanya.

Beliau berkata penentuan harga barangan bagi negeri-negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak.

Nanta berkata pelaksanaan skim itu tertakluk kepada peruntukan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018.

Beliau berkata notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan dengan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak.

Individu yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Bagi kesalahan gagal meletak tanda harga berwarna merah jambu untuk barangan harga terkawal, pesalah individu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000, manakala syarikat pula boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

Nanta berkata pegawai penguat kuasa KPDNHEP akan berada di lokasi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.

“Langkah-langkah ini mencerminkan usaha berterusan bagi melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan yang berlebihan oleh peniaga-peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata KPDNHEP menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan berkaitan isu harga termasuk mewujudkan Skuad Tindakan Aduan Rakyat (STAR) dalam usaha menangani aduan rakyat dengan lebih berkesan.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

KPDNHEP Selangor periksa 1,378 premis runcit, dua dikompaun

SHAH ALAM, 31 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mengenakan kompaun RM3,000 ke atas dua peniaga kerana gagal mempamerkan tanda harga pada barang kawalan dalam tempoh Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri.

KPDNHEP negeri itu memaklumkan dua kes tersebut dikenal pasti cawangannya iaitu Gombak dan Kuala Kubu Bharu dan setakat ini sebanyak 1,378 premis runcit dan 17 pasar borong diperiksa sepanjang tempoh skim sejak 20 Mei dan berakhir pada 3 Jun nanti.

“Dua peniaga terlibat dikompaun RM1,000 dan RM2,000 atas kesalahan berkaitan dan pada masa sama kita mengingatkan mereka sentiasa mengekalkan penjagaan kesihatan, amalkan etika perniagaan baik,” katanya menerusi Facebook.

Kementerian itu turut menasihatkan pengguna menjaga jarak sosial dan bijak merancang perbelanjaan supaya tidak berlaku pembaziran.

Semalam, KPDNHEP turut membuat lawatan dan pemeriksaan ke Pasar Moden Taman Seri Gombak untuk memeriksa tanda harga warna merah jambu bagi barangan kawalan dalam tempoh SHMMP Aidilfitri.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Pencegahan, Azman Adam dan Pengarah KPDNHEP Selangor, Zikril Azan Abdullah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ingkar skim harga musim raya, RM92,500 kompaun dikutip seminggu

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), telah mengutip kompaun sebanyak RM92,500 di seluruh negara, sepanjang penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, dalam tempoh 21 hingga 27 Mei, pihaknya telah melakukan pemeriksaan terhadap 15,037 premis perniagaan, dan telah menerima 21 aduan daripada orang ramai, berkaitan dengan harga barang.

“Pegawai penguatkuasa telah merekodkan sebanyak 39 jumlah kes, di mana terdapat 11 peniaga yang menjual barang melebihi harga yang ditetapkan, dan 28 lagi gagal meletakkan tanda harga kepada barang yang dijual, mereka semua telah diambil tindakan.

“Pihak kami telah membuat rampasan bernilai RM8,990 dan jumlah kompaun setakat ini yang telah dikutip adalah sebanyak RM92,500 sejak penguatkuasaan SHMMP,” katanya pada pihak media dalam lawatan dan pemeriksaan sempena SHMMP di ST Rosyam Mart Sdn Bhd, Setiawangsa.

Dalam pada itu beliau menasihatkan supaya semua peniaga mematuhi harga yang telah ditetapkan terhadap 35 jenis barangan yang dikawal KPDNHEP, dan mencontohi pasar raya seperti ST Mart Rosyam Sdn Bhd, dalam menetapkan harga yang berpatutan kepada pengguna.

Tambah beliau dalam masa terdekat KPDNHEP akan memulakan skim kawalan harga bagi Pesta Keaamatan dan Hari Gawai yang disambut oleh rakyat Sabah dan Sarawak. Tarikh akhir penguatkuasaan bagi SHMMP ini akan berakhir 3 Jun.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tiada aduan isu bekalan kurang ketika Aidilfitri

OLEH NORHAYATI UMOR

PUTRAJAYA, 19 JUN: Tiada aduan diterima berhubung isu kekurangan bekalan bahan makanan atau peningkatan harga mendadak sepanjang 30 hari pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Salahuddin Ayub berkata, hal itu ekoran harga bekalan makanan terkawal dan munasabah pada musim perayaan kali ini.

Katanya, selain disumbangkan faktor bekalan mencukupi, kawalan ketat di pintu sempadan negara berjaya mengelakkan penyeludupan bekalan makanan.

“Pada awal bulan ini, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Perlis berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk keratan ayam sejuk beli dari loji penyembelihan di Thailand yang tidak diiktiraf pihak berkuasa dengan nilai RM500,000.

“MAQIS Johor juga memutuskan cubaan membawa masuk dan mengimport 19 kotak daging lembu sejuk beku yang dipercayai dari Amerika Syarikat tanpa sebarang dokumen sah pada bulan lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang turut disertai menterinya, Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Salahuddin berkata, bekalan bahan makanan utama seperti daging, ayam, telur, ikan, kelapa, sayur dan buah-buahan juga mencukup bagi memenuhi keperluan pengguna.

Katanya, jumlah permintaan bahan makanan utama bagi tempoh musim perayaan kali ini mencatatkan 12,000 tan metrik tan bagi daging lembu dan kerbau.

“Manakala, daging ayam sebanyak 128,000 metrik tan, telur ayam (676 juta biji), ikan pelbagai spesis (107,000 metrik tan), ikan segar beku QFish pelbagai spesis (15 tan metrik tan), kubis bulat (9,600 metrik tan) dan kelapa biji pula sebanyak 34.6 juta.

“Jualan Jimat Belanja Aidilfitri anjuran Lembaga Pemasaran Pertanin Persekutuan (FAMA) di beberapa pasar tani terpilih seluruh negara juga membantu rakyat mendapatkan bekalan makanan pada harga berpatutan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Kes menurun, peniaga patuh skim harga maksimum perayaan

OLEH NORHAYATI UMOR

PUTRAJAYA, 19 JUN: Hanya 362 kesalahan dikesan daripada 60,878 premis yang dipantau sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2019 yang berakhir tengah hari tadi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada kesalahan itu, 13 kes adalah jualan melebihi maksimum, 307 kes tidak mempamerkan tanda harga khas dan 42 kes tidak mempamerkan tanda harga.

Beliau turut menyifatkan pematuhan terhadap pelaksanaan SHMMP oleh peniaga amat baik dan cemerlang.

“Bagi kesemua kesalahan itu, RM46,550 jumlah kompaun dikeluarkan dan jumlah barangan rampasan bernilai RM46,623.39 direkodkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), di sini yang turut disertai menterinya, Dato’ Salahuddin Ayub.

Saifuddin Nasution berkata, SHMMP Pesta Kaamatan pula mencatatkan lima kesalahan daripada 4,775 premis yang dipantau dan membabitkan RM700 jumlah kompaun serta RM194.80 jumlah barangan dirampas.

Katanya, bagi HMMP Hari Gawai pula, hanya dua kesalahan dikesan daripada 4,515 premis yang dipantau membabitkan RM200 jumlah kompaun serta jumlah barangan rampasan bernilai RM179.

“Selain kadar kepatuhan yang tinggi terhadap harga maksimum, banyak premis perniagaan menjual barangan keperluan pada harga lebih murah.

“14 daripada 27 barangan dijual lebih rendah daripada harga maksimum yang ditetapkan berbanding tahun lalu antaranya ayam bersih, daging lembu import, telur ayam dan cili kering,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, tempoh pemanjangan skim itu dari 15 ke 30 hari dan penambahan jumlah barangan kawalan menjadi faktor kejayaan pematuhan harga oleh peniaga.

Katanya, selain itu, ia turut disokong bekalan mencukupi oleh MOA.

Categories
NASIONAL

KPDNHEP kesan 333 pelbagai kesalahan sepanjang laksana SHMMP

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan 333 kes melibatkan pelbagai kesalahan sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bermula sejak 21 Mei lalu.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kes itu berjaya dikesan hasil pemeriksaan terhadap lebih 56,000 premis di seluruh negara sempena perayaan Aidilifitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang berlangsung pada bulan Mei dan Jun ini.

Katanya, dalam tempoh itu sebanyak RM41,850 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk lebih 300 kesalahan membabitkan peniaga tidak menggunakan tanda harga khas merah jambu atau tiada tanda harga.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 12 kes peniaga menaikkan harga sehinga melebihi harga maksimum yang ditetapkan.

“Berdasarkan bilangan kes yang kecil, rakyat telah menikmati keberkesanan skim harga maksimum ini,” katanya​​​​​​​ kepada Bernama selepas menjadi tetamu rancangan Ruang Bicara kendalian Bernama News Channel (BNC) di Wisma Bernama di sini, malam tadi.

Saifuddin juga berkata langkah kerajaan memanjangkan tempoh pelaksanaan SHMMP daripada 15 hari kepada 30 hari sehingga Rabu ini juga =berjaya mengurangkan jumlah kesalahan yang dilakukan oleh peniaga terutama selepas musim perayaan.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan kenaikan harga cili merah pada musim perayaan berikutan bekalan yang terhad menyebabkan peniaga terpaksa mengimport cili dari luar negara.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

27 barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Sebanyak 27 jenis barang disenaraikan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bersempena Hari Raya Aidilfitri 2019.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, SHMMP dilaksana bermula hari ini sehingga 19 Jun.

“Tempoh kuat kuasa skim ini selama 30 hari…15 hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan 14 hari selepas hari perayaan berbanding 15 hari pelaksanaannya sebelum ini.

“Terdapat perubahan barangan dalam SHMMP berbanding tahun lepas melibatkan ikan segar beku kembung, ikan segar beku selar, ikan segar beku selayang, kacang panjang, kacang tanah dan cili kering dimasukkan pada pelaksanaan skim tahun ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata peniaga turut diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan kerajaan dan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakan dengan barangan lain.

Beliau berkata tindakan tegas termasuk denda dan tindakan mahkamah akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim itu.

“Dalam usaha untuk melindungi pengguna, kementerian turut meningkatkan keberadaan pegawai penguatkuasa di tempat terpilih yang menjadi tumpuan orang ramai melalui tindakan ‘omnipresence’.

“Ini bertujuan mewujudkan ruang persekitaran perniagaan yang selamat dan beretika melalui kehadiran pegawai penguatkuasa,” katanya.

Selain itu, KPDNHEP turut memperkukuh pemantauan harga dengan kerjasama pelbagai pihak iaitu pegawai pemantau harga, Friends Of KPDNHEP dan kerajaan negeri serta agensi kerajaan termasuk penglibatan penghulu dalam usaha pemantauan dan penyaluran maklumat kenaikan harga barang, katanya.

Beliau berkata kementerian turut mewujudkan Skuad Tindakan Aduan Rakyat (STAR) dalam usaha untuk menangani aduan rakyat dengan lebih berkesan.

“Pengguna boleh salurkan sebarang aduan melalui portal [email protected], WhatsApp ke 0192794317, talian pusat panggilan 1800 886 800, dan aplikasi telefon pintar Ez ADU jika terdapat peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan skim ini,” katanya.

-BERNAMA