Categories
BERITA UTAMA RENCANA

Pemimpin, pegawai negeri ucap Selamat Tahun Baharu

Selamat Tahun Baharu Cina

Semoga Tahun Lembu yang sifatnya bertanggungjawab, jujur, penyayang, rajin dan yakin terus membawa kesejahteraan dalam kehidupan. Semoga sambutan kali ini diraikan dengan penuh kemakmuran dan kegembiraan di samping mengamalkan norma baharu dalam mendepani pandemik Covid-19.

 

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baharu, Dato’ Nor Azmie Diron

Bergembira bersama keluarga dan sentiasa kekalkan keselamatan diri dengan terus mengamalkan norma baharu selain mematuhi SOP. Selamat Tahun Baharu Cina 2021

Dato’ Nor Azmie Diron
Setiausaha Kerajaan Negeri

 

Keharmonian yang terserlah dalam perayaan Tahun Baharu Cina ini adalah cerminan betapa negeri majmuk seperti Selangor jauh lebih istimewa dan berjaya berbanding dengan kebanyakan negeri lain. Selamat Tahun Baharu Cina

Dato’ Salim Soib @ Hamid
Penasihat Undang-Undang Negeri

 

Selamat Tahun Baharu Cina. Tahun Lembu membawa sinar harapan agar kita terus gembleng seluruh tenaga demi memutuskan rantaian penularan Covid-19. Semoga kita berjaya mengharungi kemelut ini dan kembali menjalani kehidupan seperti biasa

Ng Suee Lim
Speaker Dewan Negeri Selangor

 

Mari kita memulakan Tahun Baharu Cina dengan harapan agar kita terus bekerjasama dalam memerangi wabak Covid-19 dan membantu sesama kita yang dalam kesusahan agar kehidupan mendatang akan terus terjamin. Gong Xi Fa Cai

Datuk Rizam Ismail
Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor

 

Rakyat Malaysia yang berbilang kaum harus berganding bahu untuk membina semula ekonomi negara daripada kerosakan mulai Tahun Lembu ini. Semoga tabah mengharungi cabaran pandemik ini agar suasana yang muram berakhir supaya ekonomi dan hidup harian akan kembali ke landasan yang normal

Dato’ Teng Chang Khim
EXCO Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian, Industri Kecil dan Sederhana

 

Rodziah Ismail. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini pastinya berubah susulan penularan Covid-19 namun kita masih boleh meraikannya menggunakan teknologi. Amalan norma baharu masih boleh mengekalkan kehangatan dan memecah kerinduan ahli keluarga serta sanak saudara

Rodziah Ismail
EXCO Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan

 

Semoga Tahun Lembu ini dimurahkan rezeki, dilimpahi keberkatan dan diberi kebahagiaan bersama keluarga, saudara mara, jiran-jiran serta sahabat handai. Bersama kita semarakkan perpaduan, keharmonian dan budaya bangsa Malaysia. Selamat Tahun Baharu Cina

Ganabatirau Veraman
EXCO Pembangunan Sosio-Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja

 

Bagi kaum Cina, lembu sejenis binatang yang rajin dan gagah. Maka, kita juga boleh mencontohi sifat-sifat itu. Semoga Tahun Lembu memberi kekuatan kepada kita semua dalam menghadapi cabaran hidup pada masa-masa akan datang

Hee Loy Sian
EXCO Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli

 

Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh rakyat terutama warga Selangor berketurunan Tionghoa. Walaupun kita terpaksa menyambut perayaan dalam keadaan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan tetapi ia tidak sepatutnya menghalang kemeriahan meraikannya melalui norma baharu

Ir Izham Hashim
EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani

 

Atas sebab pandemik Covid-19, kita terpaksa membiasakan diri dengan norma baharu dalam kehidupan kita. Marilah bersama-sama meneruskan semangat #kitajagakita dan mengharungi cabaran ini. Semoga kita semua sihat serta bahagia. Gong Xi Fa Cai

Ng Sze Han
EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru

 

Tahun Lembu melambangkan kemakmuran, usaha dan keazaman yang tinggi. Marilah kita bersama-sama berganding bahu, bekerjasama, memerangi pandemik Covid-19. Ambillah peranan walau sekecil mana sekalipun. Gong Xi Fa Cai buat seluruh rakan-rakan serta rakyat berbangsa Tionghoa

Dr Siti Mariah Mahmud
EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga

 

Covid-19 membataskan kita untuk meneruskan amalan kunjung-mengunjung, namun kecanggihan teknologi membolehkan kita kekal mengeratkan hubungan. Semoga Selangor dan Malaysia terus maju dengan rakyatnya hidup harmoni serta bersatu padu. Selamat Tahun Baharu. Gong Xi Fa Cai

Mohd Khairuddin Othman
EXCO Pembangunan Modal Insan, Pembangunan Generasi Muda dan Sukan

 

Raikan perayaan ini dalam suasana muhibbah, harmoni dan sambutlah dengan sederhana. Kongsikan rezeki dengan masyarakat miskin serta mereka yang terjejas dengan pandemik ini

Mohd Zawawi Ahmad Mughni
EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Hal Ehwal Pengguna

 

 

 

Semoga Tahun Lembu akan lebih menjanjikan kemakmuran dan kestabilan hidup sepanjang masa sungguhpun kita semua sentiasa dibayangi dengan penularan jangkitan Covid-19

Borhan Aman Shah
EXCO Pembangunan Luar Bandar & Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan & Warisan

Categories
AGENDA NASIONAL

MKN pinda SOP, kini acara makan besar dibenar hingga 15 orang

PUTRAJAYA, 7 FEB: Makan besar keluarga pada malam Tahun Baharu Cina (11 Februari) dibenarkan dengan tidak melebihi 15 orang ahli keluarga terdekat, yang tinggal dalam zon lingkungan 10 kilometer radius tanpa rentas daerah dan negeri, kata Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini, yang dipengerusikan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang bersetuju meluluskan tatacara operasi piawai (SOP) sambutan Tahun Baharu Cina yang telah ditambah baik.

Mesyuarat turut bersetuju aktiviti keagamaan di rumah ibadat dibenarkan pada 11, 12 dan 19 Februari dan tertakluk kepada SOP ketat antaranya, bilangan kehadiran penganut di rumah ibadat tidak melebihi 30 orang pada satu-satu masa, dengan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal, tempoh waktu sembahyang adalah selama 30 minit dan diselangi dengan kerja-kerja sanitasi selama 30 minit sebelum waktu sembahyang yang berikutnya.

Selain itu, jadual waktu sembahyang adalah bermula daripada pukul 6 pagi hingga 2 petang sahaja, dan aktiviti sembahyang pada 19 Februari dibenarkan di halaman rumah masing-masing pada waktu malam, mengikut tradisi perayaan Tahun Baharu Cina bagi ‘Hokkien Clan’.

Halimah berkata, pegawai-pegawai perpaduan yang telah dilantik sebagai pegawai pemantau di bawah Seksyen 3 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), akan melakukan pemantauan pematuhan SOP yang telah ditetapkan.

Beliau juga menyeru masyarakat kaum Cina di Malaysia untuk menyambut perayaan tahun ini dalam norma baharu, sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan, menjaga kebersihan diri dan pastikan penjarakan fizikal, dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 di Malaysia.

– BERNAMA

Categories
ADN SELANGOR

500 keluarga miskin DUN Rawang terima sumbangan makanan asas

SHAH ALAM, 7 FEB: Seramai 500 keluarga miskin pelbagai kaum sekitar Rawang menerima sumbangan makanan asas sempena Tahun Baru Cina.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Chua Wei Kiat berkata barangan diberikan ialah minyak masak, beras, tepung dan gula.

“Walaupun ini adalah bantuan Tahun Baru Cina kita tidak hanya fokuskan kepada masyarakat Cina sahaja sebaliknya semua bangsa disantuni.

“Hal ini kerana kita faham ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pendapatan semua orang terjejas dan memerlukan bantuan,” katanya kepada SelangorKini.

Menurut Wei Kiat pihaknya berharap sumbangan berkenaan dapat meringankan beban dan wang mereka boleh diguna untuk tujuan lain.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

16 barang disenarai Skim Harga Maksimum Tahun Baharu Cina

PUTRAJAYA, 5 FEB: Sebanyak 16 jenis barangan disenaraikan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2021 yang berkuat kuasa dari 8 hingga 16 Februari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kategori barangan harga terkawal terdiri daripada ayam, telur ayam, sayuran, hasil laut dan daging babi.

“SHMMP ini dilaksanakan sebagai langkah untuk menyekat kenaikan harga barangan keperluan menjelang perayaan Tahun Baharu Cina yang disambut pada 12 Februari ini di seluruh negara.

“Selain itu, skim ini juga secara tidak langsung dapat menyekat kenaikan harga yang tidak munasabah semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya ketika mengumumkan SHMMP Tahun Baharu Cina secara dalam talian di laman rasmi Facebook Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini.

Barangan keperluan yang disenaraikan dalam SHMMP itu ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, kubis bulat import, cili merah, tomato, ubi kentang China, bawang putih China, ikan bawal putih, udang putih besar, babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).

“Walaupun perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini disambut secara sederhana mengikut tatacara operasi piawai kerajaan, permintaan terhadap barangan semasa perayaan tetap ada dan dijangka meningkat berbanding semasa bukan hari perayaan,” katanya.

Nanta berkata harga maksimum pengeluar, borong dan runcit yang ditentukan adalah bersesuaian dengan trend harga semasa dan semasa menjelangnya hari perayaan.

“Terdapat juga harga yang ditentukan adalah lebih rendah dan kekal seperti pelaksanaan SHMMP Krismas yang lepas,” katanya.

Beliau berkata penentuan harga barangan bagi negeri-negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak.

Nanta berkata pelaksanaan skim itu tertakluk kepada peruntukan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018.

Beliau berkata notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan dengan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak.

Individu yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Bagi kesalahan gagal meletak tanda harga berwarna merah jambu untuk barangan harga terkawal, pesalah individu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000, manakala syarikat pula boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

Nanta berkata pegawai penguat kuasa KPDNHEP akan berada di lokasi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.

“Langkah-langkah ini mencerminkan usaha berterusan bagi melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan yang berlebihan oleh peniaga-peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata KPDNHEP menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan berkaitan isu harga termasuk mewujudkan Skuad Tindakan Aduan Rakyat (STAR) dalam usaha menangani aduan rakyat dengan lebih berkesan.

– BERNAMA

 

Categories
PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Hargai kepelbagaian budaya dan kepercayaan demi kemakmuran- MB

SHAH ALAM, 25 JAN: Sempena Tahun Baru Cina kali ini, rakyat diseru supaya menghargai kerencaman budaya serta kepercayaan antara satu sama lain sekali gus memeliharanya demi kemakmuran, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, beliau sedar terdapat individu tidak bertanggungjawab menggunakan perbezaan etnik sebagai jalan untuk memecah-belahkan masyarakat.

“Namun, saya yakin rakyat mampu mengetepikan pengaruh begini dan ‘take the higher road’ apabila berdepan dengan perbuatan tidak bertanggungjawab.

“Kerajaan Negeri beriltizam untuk sentiasa berdisplin dan berusaha demi memastikan tiada sesiapapun ditinggalkan dalam meningkatkan daya ekonomi negeri.

“Kerencaman Selangor sebagai negeri contoh di Malaysia perlu dipelihara demi anak cucu kita,” katanya menerusi perutusan Tahun Baru Cina, hari ini.

Amirudin berkata, Sambutan Tahun Baru Cina tahun ini juga amat bermakna kerana ia memberi peluang untuk mengeratkan silaturrahmi antara kawan dan keluarga.

Katanya, mengikut kiraan zodiak Cina yang mempunyai 12 haiwan, Tahun Baru Cina 2020 merupakan tahun tikus, khususnya tikus besi yang mempunyai sifat-sifat berdisiplin, cermat, rajin dan pintar.

“Astrologi Cina berkait rapat dengan Kalendar Cina juga menjadi antara panduan sambutan Tahun Baru sejak dulu lagi dan amat bermakna kepada masyarakat Tionghua.

“Bagi tahun ini, saya bertekad untuk meningkatkan lagi prestasi ekonomi negeri di samping memastikan aspek sosial dijaga, khususnya pendidikan dan keselamatan.

“Langkah seperti Program Tuisyen Rakyat Selangor, Skim Peduli Sihat dan sistem kamera litar tertutup pengimbas wajah yang bertujuan mengurangkan jenayah akan menjadi landasan memberi kepada semua untuk menjadikan 2020 amat cemerlang,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Perayaan ingatkan kepentingan sebuah keluarga – Sultan Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 5 FEB : Sambutan penuh tradisi sempena Tahun Baru Cina pastinya mengingatkan seseorang betapa pentingnya nilai sebuah keluarga dalam dunia yang semakin moden hari ini.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, semoga sambutan kali ini membawa kehidupan semua ke arah lebih baik.

“Sama seperti menyalakan lampu ataupun tanglung bagi menyambut kedatangan Tahun Baru Cina, beta berharap supaya tahun baru ini memberikan anda harapan baru, impian dan aspirasi.

“Paling penting, marilah menyambut perayaan kali ini dengan penuh kegembiraan dan ceria sambil meraikan kepelbagaian dengan aman dan harmoni.

“Beta dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin ingin mengucapkan supaya semua rakyat mendapat kesihatan yang baik dan dikurniakan rezeki berterusan, Selamat Tahun Baru Cina,” titah baginda melalui perutusan sempena Tahun Baru Cina.

Categories
SELANGOR

Tahun Baru Cina unik dalam masyarakat majmuk

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SELAYANG, 5 FEB: Kepelbagaian dan keharmonian hubungan yang wujud antara kaum dalam masyarakat majmuk menjadikan Sambutan Tahun Baru Cina di negara ini sangat unik dan istimewa.

Bagi Johnson Ong, 38, keunikannya jelas terpapar apabila perayaan masyarakat Tiong Hua itu turut disambut dan dirai oleh kaum lain yang mahu memeriahkan lagi festival tahunan berkenaan.

“Bukan hanya Tahun Baharu Cina, tetapi setiap perayaan yang terdapat di negara ini melambangkan keunikan tersendiri kerana ia melibatkan penyatuan semua kaum.

“Malah, festival ini melambangkan titik permulaan untuk kita buat perubahan dalam kehidupan ke arah menjadi individu lebih baik,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Sementara itu, Rane Chin, 35, mengakui gembira dan teruja kerana sambutan tahun baharu cina pada tahun ini lebih meriah dibandingkan tahun sebelumnya.

Katanya, selain dapat bersua muka dan berkumpul bersama keluarga, festival berkenaan memberi peluang kepada masyarakat daripada bangsa lain untuk menyambutnya.

“Tiada istilah sambutan tahun baharu cina hanya untuk kaum berbangsa cina sahaja, sebaliknya semua kaum boleh meraikan perayaan ini secara harmoni tanpa batasan.

“Saya harap Malaysia lebih aman damai melalui keakraban sesama bangsa dan agama seterusnya boleh membentuk negara yang lebih kuat selepas ini,” katanya.

 

 

 

Categories
SELANGOR

MB – Kukuh muafakat melalui amalan ziarah-menziarahi

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SELAYANG, 5 FEB: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyifatkan Sambutan Tahun Baharu Cina mampu menerapkan nilai perpaduan dan mengukuhkan semangat muafakat bersama penduduk setempat melalui amalan ziarah-menziarahi.

Beliau berkata, seperti tahun-tahun sudah beliau mengambil kesempatan menziarahi masyarakat Tionghua dan beberapa kenalan rapat di sekitar kawasan Sungai Tua.

“Seperti kebiasaannya, saya akan menggunakan peluang ini untuk duduk bersama penduduk, terutama kawan-kawan yang banyak membantu di kawasan Sungai Tua.

“Ini memang program tradisi saya setiap tahun, bukan sahaja Tahun Baharu Cina, tetapi semua perayaan disambut masyarakat di negara ini.

“Kemeriahan amalan kunjung-mengunjungi dapat dirasai apabila semua masyarakat berkumpul untuk bersama meraikannya dalam kepelbagaian kaum,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas mengunjungi teratak mewah Ketua Pegawai Eksekutif Sri Ternak Group of Companies, Dato’ Raymod Ho, di Taman Melati, di sini, hari ini.

Beliau yang tiba bersama keluarga kira-kira jam 10.30 pagi disambut Raymond di perkarangan rumah berkenaan.

Dalam kemeriahan majlis berkenaan, Amirudin turut bersama keluarga Raymond menggaul ‘Yee Sang’ dan meluangkan masa hampir setengah jam untuk bersembang dengan kenalannya itu sambil menikmati juadah makanan disediakan.

Hadir sama, pelakon dan penerbit popular tanah air, Datuk Mohamed Noor Shamsuddin atau Rosyam Nor.

Terdahulu, Amirudin juga meluangkan masa hampir setengah jam dengan mengunjungi rumah aktivis masyarakat, Ah Lian, di Kampung Selayang Baru, di sini.

 

Categories
SELANGOR

Aktivis masyarakat terharu MB rai perayaan bersama

OLEH NADIAH ZAMLUS

BATU CAVES, 5 FEB: Dua aktivis masyarakat di sini terharu apabila Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari turut sama meraikan Sambutan Tahun Baharu Cina.

Aktivis masyarakat, Yong Ah Loy, 59 berkata, beliau tidak sangka apabila rumahnya menjadi pilihan pemimpin nombor satu negeri ini.

“Beliau memang setiap tahun datang ke rumah saya untuk menyambut Tahun Baharu Cina, tetapi tidak sangka walaupun sudah bergelar Menteri Besar, dia tetap datang seperti seorang kawan.

“Saya terharu, semoga kita semua di Selangor hidup dalam keadaan aman dan harmoni,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Sementara itu bagi Setiausaha Kawasan Rukun Tetangga Taman Samudera Utama, Dave Lee Kean Aun, beliau terkejut apabila diberitahu Menteri Besar akan mengunjungi rumahnya ketika Tahun Baharu Cina.

“Ini adalah pertama kali beliau datang ke rumah saya, kami sekeluarga amat berbesar hati dan berasa seronok sekali.

“Sempena Tahun Baharu Cina ini, saya berharap supaya negeri kita akan lebih maju dan ekonomi akan bertambah baik di bawah kepimpinan Amirudin,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB teruskan tradisi ziarah kaum Cina

OLEH NADIAH ZAMLUS

BATU CAVES, 5 FEB: Tradisi menziarahi masyarakat Cina sepanjang Sambutan Tahun Baharu Cina sudahpun dilakukan Amirudin Shari sebelum memegang jawatan Dato’ Menteri Besar lagi.

Amirudin berkata, beliau mahu tradisi itu dilakukan tanpa mengira batas kaum mahupun agama.

“Sebagaimana perayaan Hari Raya, Deepavali atau sebagainya, saya akan menziarahi rakan-rakan saya di sekitar Gombak dan Batu Caves.

“Semoga sambutan kali ini berlangsung dengan aman dan baik sama seperti tahun-tahun lalu,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika mengunjungi rumah Setiauasa Kawasan Rukun Tetangga Taman Samudera Utama, Dave Lee Kean Aun, di sini, pagi tadi.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua itu turut menziarahi beberapa rumah aktivis masyarakat lain termasuk di Kampung Laksamana dan juga Selayang.

Turut serta dalam sesi turun padang bersama masyarakat itu ialah isteri Dato’ Menteri Besar, Masdiana Muhamad serta kesemua anaknya.

Categories
NASIONAL

ABIM: Pertahan harmoni demi masa depan gemilang

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 17 FEB: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berharap keharmonian dan kesejahteraan negara ditunjangi rakyat berbilang kaum dapat terus dipertahankan demi masa depan lebih gemilang.

Presidennya, Mohamad Raimi Ab Rahim, berkata sempena sambutan Tahun Baru Cina ini, ABIM menyarankan rakyat terus memupuk semangat perpaduan yang terjalin sekian lama.

“Sikap saling hormat menghormati serta budaya dialog perlu sentiasa dibugar serta disuburkan kerana kita digalakkan untuk saling kenal mengenal dan memahami antara satu sama lain.

“ABIM menerusi platform Kumpulan Persahabatan Khidmat Antara Agama (FGIS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) akan terus konsisten dalam menggerakan agenda ‘Kepelbagaian Dalam Bingkai Kesatuan’ melalui penyertaan anak muda di kampus mahupun negeri,” katanya dalam perutusan Tahun Baru Cina tahun ini.

Beliau berkata, ABIM mengucapkan ‘Xin Nian Kuaile’ dan ‘Gong Xi Fa Chai’ kepada semua rakyat Malaysia berbangsa Tionghua.

Semoga perayaan itu, katanya, diraikan dengan suasana mesra dan meriah.

“Rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang perlu menjiwai semangat keharmonian tulen, memperkukuh tekad sejati dan beriltizam untuk menjalani kehidupan lebih baik sebagai masyarakat bertamadun,” katanya.

Categories
NASIONAL

Tahun Baru Cina: PLUS tawar rebat tol 20 peratus

PETALING JAYA, 2 FEB: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menawarkan rebat 20 peratus  pada beberapa hari bukan puncak sempena Tahun Baru Cina sebagai inisiatif mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, rebat tersebut ditawarkan pada 4 hari bukan puncak iaitu 12, 13, 20 dan 21 Februari kepada pengguna kenderaan Kelas 1 dengan perjalanan melebihi 100KM dan membayar tol menggunakan kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go yang telah didaftarkan menerusi portal PLUSMiles.

Katanya, inisiatif itu diambil memandangkan kira-kira 1.6 juta kenderaan dijangka menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan pada hari puncak cuti perayaan Tahun Baru Cina iaitu peningkatan sebanyak 10.3 peratus berbanding hari-hari biasa.

“Pada tarikh-tarikh tersebut, orang ramai masih perlu membayar tol dengan kadar biasa.

“Bagaimanapun, rebat tol 20 peratus akan dimasukkan ke dalam kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go masing-masing (dalam bentuk Tambah Nilai) apabila pemegang kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go yang berdaftar menambah nilai kad mereka di pusat-pusat khidmat pelanggan PLUS di antara 15 Mac sehingga 14 Jun 2018,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, tawaran rebat itu merupakan langkah PLUS menggalakkan orang ramai bergerak pada hari-hari bukan puncak di samping memberi penghargaan kepada pemegang kad PLUSMiles dan Touch ‘n Go berdaftar dengan portal PLUSMiles menerima manfaat.

 

Untuk mendaftar, pemegang kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go boleh melayari portal PLUSMiles di www.plusmiles.com.my untuk melayakkan mereka menikmati rebat tol yang ditawarkan.

Walau bagaimanapun, rebat ini tidak meliputi transaksi tol di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar, Tanjung Kupang dan Jambatan Pulau Pinang.