Categories
ADN SELANGOR

Pelajar cemerlang SPM Pandan Indah terima wang tunai, komputer riba

SHAH ALAM, 21 JUN: Seramai 11 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 sekitar Pandan Indah menerima sagu hati berupa wang tunai dan sijil penghargaan sumbangan wakil rakyatnya.

Ir Izham Hashim berkata mereka yang meraih pencapaian 8A hingga 10A turut menerima komputer riba jenis Chromebook sebagai persediaan melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya.

“Tahniah kepada pelajar kerana berjaya menghasilkan keputusan cemerlang walaupun terpaksa menempuh pembelajaran sukar tahun lalu ekoran pandemik Covid-19.

“Tidak dilupa ibu bapa dan guru yang bertungkus-lumus mengajar anak-anak dalam tempoh mencabar ini,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 10 Jun lalu, menteri kanan pendidikan memaklumkan keputusan SPM tahun lalu mencatat Gred Purata Nasional (GPN) sebanyak 4.80 mata, terbaik dalam tempoh lima tahun sejak 2016.

Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menjelaskan calon yang layak memperoleh sijil SPM juga meningkat kepada 88.68 peratus berbanding 86.72 peratus pada 2019.