Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada kenaikan harga simen – Saifuddin

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Hasil pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ke atas harga simen mendapati tiada kenaikan harga berlaku di peringkat pengilangan simen.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan berkata pemeriksaan itu dibuat berikutan aduan diterima daripada Persatuan Pembina Johor (JMBA) serta melalui media sosial berhubung dakwaan berlakunya kenaikan harga simen dari 20 peratus hingga 50 peratus.

“Bertindak daripada aduan tersebut, Bahagian Penguatkuasa kementerian pantas memulakan siasatan sejak 3 Feb 2020 lagi dengan melawat pengadu, kilang-kilang yang diadu serta mengeluarkan Notis 21 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) kepada pemain industri berkaitan untuk membekalkan maklumat diperlukan pihak kementerian.

“Hasil daripada maklum balas Notis 21 AKHAP 2011 terhadap empat pengilang simen utama berkenaan, didapati tidak berlaku kenaikan harga simen di peringkat pengilangan simen,” katanya.

Beliau berkata serahan Notis Pengesahan Maklumat Barangan dan Notis bertulis di bawah Seksyen 21, AKHAP 2011 telah dikeluarkan KPDNHEP pada tarikh tersebut kepada empat pengilang simen utama iaitu Slag Cement (Southern) Sdn Bhd, Lafarge Cement Sdn Bhd, Holcim (Malaysia) Sdn Bhd dan YTL Perak Hanjoong Simen Sdn Bhd.

Saifuddin berkata berdasarkan perbandingan harga tahun ke tahun yang dibuat terhadap empat kilang terbabit bagi tempoh empat tahun berturut-turut bermula 2017 hingga tahun ini, didapati berlakunya penurunan harga dan kos untuk simen di peringkat pengilang.

Bahagian Penguatkuasa kementerian, katanya, akan menyediakan laporan terperinci berkenaan kenaikan harga simen setelah siasatan lengkap dilakukan di peringkat pemasaran am.

“Dalam mengorak langkah ke hadapan, pemeriksaan akan diteruskan di peringkat pemasaran am bagi mendapatkan butiran atau maklumat lanjut berhubung harga ditawarkan kepada peringkat pengedar,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan berita tanpa fakta atau bukti yang berasas.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat, bukti atau ingin membantu siasatan boleh menghubungi KPDNHEP melalui saluran aduan KPDNHEP iaitu Portal [email protected], pusat panggilan 1800 886 800, emel [email protected], aplikasi telefon pintar Ez ADU, Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245/6088, talian 03-8000 8000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC), WhatsApp 019-279 4317 atau lapor/hadir ke mana-mana 73 pejabat KPDNHEP di seluruh negara.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kenaikan harga simen di Sarawak perlu disiasat

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Penyiasatan diperlukan bagi menentukan sama ada kenaikan ketara harga simen di Sarawak berbanding di Semenanjung Malaysia adalah akibat amalan monopoli oleh pemain industri di negeri itu.

Simen, menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng adalah bahan binaan asas dan sebarang kenaikan harga simen yang ketara akan disalurkan semula secara negatif ke dalam ekonomi dan kemudiannya akan menjejaskan kuasa membeli pengguna.

Bagi di Semenanjung, beliau berkata, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah membuktikan komitmen kerajaan untuk mengawal kos sara hidup rakyat Malaysia pada tahap yang berpatutan.

“Ini dilakukan dengan mengekang kenaikan harga simen setelah kerajaan berbincang dengan syarikat industri simen,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ini sekali gus menjawab kebimbangan awam akan ura-ura kenaikan harga simen setinggi 40 peratus di Semenanjung Malaysia seperti dilaporkan media pada minggu lalu, yang telah meredakan kerisauan awam bahawa pengeluar utama simen tempatan telah menyalahgunakan kuasa pasaran mereka untuk menaikkan harga simen secara tidak adil.

Kadar inflasi bagi pengguna kekal rendah dan stabil, kata Lim dan menurutnya indeks harga pengguna untuk bulan April 2019 hanya meningkat 0.2 peratus iaitu pada kadar sama bagi bulan Mac 2019.

– BERNAMA