Categories
AGENDA BERITA UTAMA JENAYAH

680 ahli sindiket penipuan warga China ditahan di Cyberjaya

PUTRAJAYA, 21 NOV: Jabatan Imigresen menumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang berpusat di China serta menahan 680 warga China yang menjalankan operasi aktiviti berkenaan di Cyberjaya semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pasukan imigresen menggempur tingkat enam sebuah bangunan di Cyberjaya kira-kira jam 11 pagi semalam, dipercayai menjadi pusat panggilan aktiviti penipuan yang menyasarkan penduduk negara China sebagai mangsa.

Serbuan hasil intipan hampir dua bulan serta melibatkan 150 anggota imigresen itu turut membawa kepada rampasan 8,230 unit telefon bimbit, 174 komputer riba dan 787 unit komputer peribadi, katanya.

Khairul Dzaimee berkata, beberapa anggota imigresen mengalami kecederaan ringan apabila suspek bertindak merempuh kepungan dan menyerang dalam percubaan melarikan diri.

“Kita anggarkan 100 hingga 120 orang berjaya melarikan diri, malah ada juga warga China yang ditahan mengalami calar dan luka-luka kecil berikutan tindakan tersebut,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, sindiket itu dipercayai telah beroperasi sejak enam bulan lepas dengan menyewa di bangunan berkenaan pada kadar RM360,000 sebulan.

“Modus operandi sindiket adalah menawarkan mangsa keuntungan yang tinggi dan pantas. Suspek-suspekn yang bertindak selaku operator akan menghantar satu kod kepada pelanggan daripada laman sesawang tertentu yang aplikasinya adalah dalam bahasa Cina,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, kesemua yang ditahan memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial, namun hampir kesemuanya tidak dapat menunjukkan pasport dan dokumen pengenalan diri ketika ditahan dan sehingga kini juga tiada pihak yang tampil mengemukakan dokumen mereka.

Semua suspek yang melibatkan 603 lelaki dan 77 wanita itu kini direman selama 14 hari, katanya.

Mereka boleh disabitkan melakukan kesalahan melanggar syarat pas, masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas yang sah dan tinggal melebihi masa dibenarkan, katanya.

Beliau berkata, semua barangan rampasan disita di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA), dan menambah pihak kedutaan China telah dimaklumkan tentang penahanan tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Awas sindiket penipuan guna WhatsApp, nama LHDN

CYBERJAYA, 24 JUL: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengesan beberapa sindiket penipuan melalui panggilan telefon dan aplikasi WhatsApp yang mengugut orang menggunakan nama lembaga itu.

LHDN dalam kenyataan hari ini berkata, terdapat sindiket menggunakan resit rasmi pembayaran cukai pendapatan LHDN yang dipalsukan dihantar menerusi aplikasi WhatsApp.

“Sindiket menghantar mesej berupa ugutan yang mengarahkan orang ramai untuk memindahkan sejumlah wang ke akaun bukan milik LHDN dan akan dikenakan tindakan mahkamah sekiranya tidak mematuhi arahan yang diberikan,” kata LHDN.

LHDN berkata, modus operandi menggunakan panggilan telefon pula adalah dengan menyamar sebagai pegawai lembaga itu.

Menurutnya, penyamar tersebut akan memaklumkan mangsa mempunyai kes jenayah seperti dadah atau pengubahan wang haram dan kemudiannya panggilan tersebut akan disambungkan dengan talian palsu pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memperdaya mangsa.

LHDN menegaskan pihaknya tidak menggunakan aplikasi WhatsApp sebagai medium komunikasi rasmi dengan pembayar cukai dan juga panggilan telefon dengan menggunakan nama agensi awam lain.

“Sebarang urusan berkaitan pematuhan cukai hanya dilakukan menerusi kaedah panggilan telefon, surat rasmi dan e-mel rasmi daripada Hasil Care Line, Jabatan dan Cawangan LHDN,” katanya.

Sehubungan itu, LHDN menasihatkan orang ramai terutamanya pembayar cukai agar berwaspada dengan taktik sindiket itu dan segera membuat laporan polis sekiranya telah terpedaya dan jangan panik apabila menerima panggilan atau mesej sedemikian.

Katanya sebarang surat, e-mel, mesej atau panggilan telefon yang meragukan berkaitan LHDN hendaklah disahkan terlebih dahulu dengan menghubungi Hasil Care Line di talian 1-800-88-5436 atau Customer Care Officer di setiap cawangan LHDN. – BERNAMA