Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Situasi pencemaran terkawal, tiada keperluan isytihar darurat

JOHOR BAHRU, 13 MAC: Situasi pencemaran ekoran pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, di Pasir Gudang, setakat ini terkawal dan tiada keperluan mengisytiharkan darurat di kawasan berkenaan.

Menteri Besar, Johor Datuk Osman Sapian berkata, rakyat juga diminta tidak mempercayai dan menyebar maklumat tidak benar yang tular, sebaliknya sentiasa mengikuti informasi betul dari saluran yang benar.

“Melalui jabatan terbabit, ini bukan suatu perkara yang kita boleh anggap darurat. Tidak, jauh daripada itu. Dalam keadaan terkawal,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, di Majlis Perbandaran Pasir Gudang, di sini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Beliau juga meminta supaya masyarakat bertenang dan memberi kerjasama penuh serta keyakinan kepada pihak berkuasa untuk mengurus bencana itu dengan cekap, cepat juga selamat.

“Ketika ini, kita tidak perlu menunding jari dan cari salah mana-mana pihak serta cuba bermain politik kerana fokus utama adalah untuk kerja pengawalan pencemaran dan mengurus serta merawat pesakit yang terkesan dengan pencemaran ini,” katanya.

Osman berkata, pelbagai faktor yang menyebabkan insiden itu berlaku, termasuk arah angin dan haba panas selain ia menjejaskan kawasan tertentu sahaja.

Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri meluluskan peruntukan kecemasan RM6.4 juta sebagai bantuan segera untuk menjalankan kerja pembersihan, sumbangan kepada mangsa dan keluarga serta kakitangan keselamatan yang terdedah dengan bahaya pencemaran terbabit.

Katanya, operasi pembersihan itu turut membabitkan tiga kontraktor dan ia diharap mengambil masa lebih kurang seminggu.

“Kerja pembersihan yang dilakukan itu membabitkan kawasan yang terjejas dengan pencemaran sepanjang 1.5 kilometer,” katanya.

Katanya, kerja pembersihan akan turut mendapatkan bantuan dari Petronas, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Meteorologi serta menggunakan peralatan yang dimiliki mereka bagi memantau tahap juga radius pencemaran. – BERNAMA

Kapsyen foto: Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian ketika melawat mangsa pencemaran bahan toksik di Sungai Kim Kim yang mendapatkan rawatan awal di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri Johor Dr Sahruddin Jamal (kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan Johor, Liow Cai Tung (dua, kanan).
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Pencemaran sisa kimia: 34 sekolah diarah tutup serta-merta

SHAH ALAM, 13 MAC: Sebanyak 34 sekolah di sekitar Pasir Gudang diarah tutup serta-merta, ekoran pencemaran sisa kimia, di Sungai Kim Kim yang semakin merucing, di kawasan berkenaan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, langkah itu untuk mengelakkan perkara tidak diingini terus menimpa pelajar dan warga sekolah, di situ.

Katanya, guru juga tidak perlu bertugas ekoran keadaan yang masih bahaya.

“Saya ingin menegaskan, sejak dari awal kes ini berlaku pada 7 Mac lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bekerjasama erat dengan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim untuk memastikan keselamatan murid, guru serta pekerja sekolah menjadi keutamaan.

KPM memandang serius isu ini memandangkan ia membabitkan risiko nyawa kepada murid, guru dan pekerja sekolah. KPM menggesa penjenayah yang melakukan kesalahan berat ini dibawa ke muka pengadilan dengan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri membabitkan Menteri Besar Johor sedang bersidang bersama agensi berkaitan seperti Jabatan Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar, Bomba, PDRM dan Majlis Keselamatan Negeri.

Semalam, Maszlee meluangkan masa hampir separuh hari melawat mangsa yang terkesan ekoran pencemaran itu, di Hospital Sultan Ibrahim.

Beliau juga meninjau Bilik Gerakan Bencana di Dewan Taman Pasir Putih yang menyaksikan lebih 50 pelajar dihantar ambulans tanpa henti dari sekolah berdekatan kerana sesak nafas dan mengalami simptom sama dengan mangsa sebelum ini.

Berikut adalah senarai terkini sekolah yang diarah tutup:

1. SEKOLAH KEBANGSAAN TAMAN PASIR PUTIH

2. SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TAMAN PASIR PUTIH

3. SEKOLAH KEBANGSAAN PASIR PUTIH

4. SEKOLAH KEBANGSAAN TANJUNG PUTERI RESORT

5. SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TANJUNG PUTERI RESORT

6. SEKOLAH KEBANGSAAN KOTA MASAI 2

7. SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN KOTA MASAI 2

8. SEKOLAH KEBANGSAAN KOTA MASAI 3

9. SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN KOTA MASAI

10. SEKOLAH KEBANGSAAN KOTA AMSAI

11. SEKOLAH KEBANGSAAN PERIGI ACHEH

12. SEKOLAH AGAMA KAMPUNG PASIR PUTIH

13. SEKOLAH AGAMA TAMAN PASIR PUTIH

14. SEKOLAH KEBANGSAAN SCIENTEX

15. SEKOLAH KEBANGSAAN TAMAN MAWAR

16. SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN NUSA DAMAI

17. SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TAMAN RINTING 1

18. SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TAMAN CENDANA

19. SEKOLAH SENI MALAYSIA

20. SEKOLAH MENENGAH SCIENTEX

21. SEKOLAH KEBANGSAAN TAMAN BUKIT DAHLIA

22. SEKOLAH KEBANGSAAN TAMAN PASIR GUDANG 4

23. SEKOLAH KEBANGSAAN NUSA DAMAI

24. SEKOLAH KEBANGSAAN KOPOK

25. SEKOLAH KEBANGSAAN CAHAYA MASAI

26. SEKOLAH KEBANGSAAN TAMAN CENDANA

27. SEKOLAH KEBANGSAAN TAMAN RINTING 2

28. SEKOLAH KEBANGSAAN TAMAN RINTING 3

29. SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PASIR GUDANG 2

30. SEKOLAH MENENGAH DATO’ PENGGAWA TIMUR

31. SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PASIR GUDANG 3

32. SEKOLAH KEBANGSAAN MASAI

33. SEKOLAH JENIS KEBANGSAAN TAMIL PASIR GUDANG

34. SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PASIR GUDANG 4

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Sisa kimia: Sekurang-kurangnya 20 pelajar lagi dirawat

JOHOR BAHRU, 13 MAC: Sekurang-kurangnya 20 pelajar dari beberapa sekolah di sekitar Pasir Gudang dibawa ke Dewan Komuniti Taman Pasir Putih, Pasir Gudang untuk rawatan kerana mengalami simptom sesak nafas, loya dan muntah, dipercayai susulan pencemaran sisa kimia.

Tinjauan Bernama di dewan itu mendapati kesemua pelajar berkenaan tiba dengan ambulans Jabatan Pertahanan Awam dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat, kira-kira 10.30 pagi ini.

Bagaimanapun, maklumat tepat mengenai jumlah pelajar dan sekolah terlibat belum disahkan dan pihak media kini menunggu maklumat rasmi daripada pihak bertanggungjawab.

Dewan Komuniti Taman Pasir Putih mula dibuka sejak Ahad lepas bagi memberi rawatan awal kepada orang ramai yang mengalami sesak nafas, loya atau muntah sebelum mereka yang memerlukan rawatan lanjut dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI).

Setakat 11 pagi ini, perkarangan dewan dibanjiri ibu bapa pelajar terlibat bagi mendapatkan maklumat tahap kesihatan terkini anak mereka dan sehingga kini kebanyakan mereka masih menunggu maklumat lanjut mengenai tahap kesihatan anak yang menerima rawatan awal di dewan berkenaan dari pihak kesihatan dan pihak berkuasa.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin, menerusi kenyataan berkata,13 sekolah di sekitar Pasir Gudang diarah tutup mulai hari ini hingga satu tarikh yang akan ditetapkan, dipercayai ekoran pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

Kerajaan Negeri Johor melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri juga telah mengaktifkan jawatankuasa kerja bagi menangani kejadian pembuangan sisa itu yang bertujuan menyelaras dan memantau kejadian tumpahan bahan kimia yang berlaku.

Seorang suri rumah, Aida Abdullah, 40, berkata dia dimaklumkan anak perempuannya, Nur Alisa Alia Mohd Amir, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Scientex, Pasir Gudang mengalami sesak nafas, letih dan muntah, menerusi kumpulan WhatsApp sekolah, kira-kira 10 pagi tadi.

“Saya terus bergegas ke sekolah, namun, dimaklumkan anak saya sudah dibawa ke dewan ini. Setakat ini saya belum lagi melihat keadaan anak saya,” katanya yang tinggal di Jalan Kelisa, Taman Scientex.

Aida turut mengakui terdapat bau tidak menyenangkan dialaminya di kawasan rumah, semalam, namun, tidak menjejaskan mereka sekeluarga.

“Pagi tadi juga anak saya sihat sahaja dan pergi ke sekolah seperti biasa sehinggalah saya dimaklumkan mengenai kejadian ini,” katanya.

Lega Anak Galang, 58, dari Jalan Kijang, perumahan sama berkata dia menerima panggilan dari pihak sekolah sama memaklumkan anaknya, Naziralida, 16, turut mengalami simptom sama.

“Saya masih belum berjumpa anak saya… saya berdoa keadaannya baik,” katanya yang menerima panggilan telefon daripada pihak sekolah dan bergegas ke dewan berkenaan bersama isteri.

Sementara itu, pelajar Tingkatan Empat SMK Taman Scientex, Aida Mohd Fazli, 16, yang ditemui di kawasan itu berkata dia mengalami pedih mata ketika berada di dalam kelas, pagi ini.

“Sekarang saya sudah berasa okay. Doktor yang merawat mengesahkan saya tidak mengalami sakit yang serius dan boleh pulang ke rumah untuk rehat secukupnya,” katanya. -BERNAMA