Categories
AGENDA NASIONAL

JAS siasat dakwaan Sungai Kim Kim tercemar lagi

JOHOR BAHRU, 1 OGOS: Jabatan Alam Sekitar (JAS) melakukan siasatan berhubung aduan daripada orang ramai mendakwa bahawa Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, di sini tercemar dengan berbau busuk dan air sungai berwarna hitam pada 28 Julai lepas.

JAS dalam kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi Facebook berkata pasukan Unit Penguat kuasa Industri JAS yang menjalankan siasatan mendapati air sungai itu berwarna hitam selain mengesan bau busuk sepertimana aduan diterima dan telah mendapatkan butiran maklumat kejadian daripada penduduk sekitar untuk memperkemas siasatan.

Menurut JAS, pasukan daripada Cawangan Pasir Gudang pada masa sama telah menyelurusi sekitar kawasan sungai itu pada Khamis (29 Julai) dan pemantauan melalui dron dijalankan bagi mengenal pasti punca yang boleh disyaki menyebabkan pencemaran tersebut.

“Pengukuran kualiti air sungai juga telah dijalankan oleh Unit Pengawasan dari JAS Johor di beberapa lokasi di sepanjang sungai tersebut.

“Siasatan awal mendapati pencemaran disyaki berpunca daripada pelepasan air sisa daripada premis bukan industri yang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan sehingga menyebabkan air sisa tanpa dirawat mengalir memasuki sungai berhampiran,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, JAS meminta premis terbabit menjalankan langkah pembaikan segera dan Pihak Berkuasa Tempatan dimaklumkan untuk tindakan selanjutnya.

Menurut kenyataan itu persampelan juga telah dijalankan dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk tindakan selanjutnya di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling 1974.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pencemaran Kim Kim: Perbicaraan tertuduh bermula hari ini

JOHOR BAHRU, 3 DIS: Prosiding perbicaraan kes pembuangan sisa toksik ke Sungai Kim Kim bermula di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Perbicaraan dilakukan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob dengan keempat-empat tertuduh – N. Maridass, 35: Wan Jing Chao, 34, (warga Singapura); Yap Loke Liang, 36; dan Sim Wei Der, 50, (warga Singapura) yang dilihat memasuki kamar mahkamah pada pukul 10.29 pagi ini.

Perbicaraan juga dikendalikan dua pendakwaraya iaitu Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Alam Sekitar Putrajaya Nor Azura Jumuddin.

Kes menjadi tumpuan ramai itu sepatutnya memulakan prodising perbicaraan pada 16 Oktober lalu, namun ditangguhkan atas permohonan pihak pembelaan kerana peguam terlibat menghadiri perbicaraan di Mahkamah Tinggi pada hari berkenaan.

Pada 23 Mac lalu, Maridass, yang juga pemandu lori di syarikat pemprosesan tayar terpakai didakwa melupuskan buangan terjadual iaitu buangan minyak atau enap cemar berminyak ke Sungai Kim Kim, Pasir Gudang dengan menggunakan lori jenis Mitsubishi dan semi trailer tangki sawit.

Pelupusan dilakukan tanpa mendapat apa-apa kelulusan daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

Tiga pengarah syarikat itu Jing Chao, Loke Liang dan Wei Der, didakwa bersubahat dengan Maridass untuk melupuskan barangan terjadual itu ke dalam Sungai Kim Kim menggunakan kenderaan terbabit.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 12.01 tengah malam hingga 1.00 pagi, 7 Mac lalu di kawasan tapak projek pelebaran jambatan Sungai Kim Kim.

Tuduhan ke atas Maridass dibuat mengikut Seksyen 34B (1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang boleh dihukum di bawah 34 B(4) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun selain denda RM500,000.

Sementara itu, ketiga-tiga pengarah syarikat itu didakwa di bawah Seksyen 34B (1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, dibacakan bersama dengan Seksyen 42 akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 34B(3) akta sama iaitu dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak melebihi RM500,000.

Maridass diwakili peguam S. Ratakrishna, Jing Chao dan Loke Liang diwakili peguam G. Subramaniam Nair dan Wei Der diwakili peguam Joshua Tay.

Ketiga-tiga pengarah syarikat itu juga dikenakan 15 lagi pertuduhan, masing-masing di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, akta yang sama.

Pertuduhan itu kerana gagal membuat pemberitahuan mengenai buangan terjadual dan gagal menjalankan pemantauan berkala seperti mana ditetapkan akta itu.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Insiden Sungai Kim Kim peringatan kepada semua

SHAH ALAM, 25 JULAI: Insiden pencemaran di Sungai Kim Kim yang menjejaskan kesihatan pelajar sekolah di Pasir Gudang menjadi peringatan terhadap kepentingan kawalan pencemaran udara yang efisien dan berkesan.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Shafe’ee Yasin berkata, langkah itu bukan sahaja perlu dititikberatkan pihak industri tetapi turut membabitkan masyarakat.

“Masyarakat perlu berperanan sebagai mata dan telinga dalam usaha membanteras jenayah alam sekitar serta segera melaporkan kepada JAS atau agensi lain jika terdapat salah laku yang menyumbang kepada pencemaran.

“Keadaan semasa di Pasir Gudang adalah suatu peringatan untuk kita semua betapa kawalan pencemaran udara yang efisien dan berkesan sangat mustahak serta perlu dititikberatkan.

“Ini lebih-lebih lagi jika kawasan industri, sekolah dan komuniti berada di dalam satu kawasan yang sama,” katanya pada perasmian Hari Alam Sekitar Sedunia peringkat negeri di Sekolah Kebangsaan Seksyen 27, di sini.

Pada masa sama, Shafe’ee berkata, antara objektif utama sambutan itu adalah meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat berhubung tanggungjawab pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar, sekali gus menjadikannya satu budaya.

Selain itu, katanya, ia bertujuan menggalakkan pembabitan orang awam khususnya pelajar sekolah dalam program pemuliharaan alam sekitar selaras matlamat Hari Alam Sekitar Sedunia 2019.

“JAS juga mahu menggalakkan hubungan dan kerjasama baik ‘Engagement Concept’ pegawai kami dengan peserta serta agensi lain yang mengambil bahagian juga pihak syarikat yang menjalinkan kerjasama dalam mempromosikan kesedaran pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar,” katanya.

Hari Alam Sekitar Sedunia 2019 bertemakan ‘Beat Air Pollution’ disambut pada 5 Jun setiap tahun bermula 1972.

Tahun ini, slogan yang ditetapkan United Nations Environment Program (UNEP) itu membawa pesanan jelas kepada semua pihak dan individu supaya memainkan peranan dalam memastikan dunia menjadi lebih sihat dan baik untuk didiami.

Categories
NASIONAL

Pencemaran Sungai Kim Kim tidak jejas keyakinan pelancong ke Johor

JOHOR BAHRU, 5 APR: Pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim pada bulan lepas di Pasir Gudang, dekat sini, tidak menjejaskan keyakinan pelancong untuk ke Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung berkata, setakat ini, pihaknya tidak mendapat sebarang aduan mengenai kebimbangan pelancong untuk datang ke Johor disebabkan pencemaran di sungai berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada pencemaran alam sekitar itu ada mendatangkan kebimbangan pelancong sekali gus menjejaskan bilangan mereka untuk melawat negeri itu terutamanya menjelang Tahun Melawat Johor 2020.

“Kita menyasarkan seramai 16.6 juta pengunjung akan datang ke Johor sepanjang tahun ini, yang mana lapan juta daripadanya menetap di Johor sekurang-kurangnya satu malam,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Johor 2019 di Tampoi, di sini hari ini.

Pada tahun lepas, seramai 15.84 juta pengunjung melawat Johor berbanding 14.44 juta pelancong pada tahun 2017.

Memandangkan tahun hadapan juga merupakan penganjuran Sukan Malaysia di negeri ini, pihaknya juga yakin bilangan pengunjung ke Johor akan meningkat lagi, kata Liow.

Pembersihan sisa toksik sepanjang 1.5 km yang dikenal pasti di Sungai Kim Kim telah berjaya diselesaikan pada 17 Mac lepas.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Johor giat kenal pasti kawasan sesuai pindah kilang

SHAH ALAM, 2 APR: Kerajaan Johor sedang mengenal pasti beberapa kawasan yang sesuai dijadikan tapak untuk memindahkan kilang-kilang yang terdapat di kawasan Pasir Gudang.

Menteri Besarnya, Datuk Osman Sapian berkata, ia bertujuan mengelakkan insiden pencemaran sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, yang berlaku pada 7 Mac lalu berulang selain menjamin alam sekitar (yang bersih) di kawasan itu.

Katanya, ia juga berikutan pihaknya sedang merancang menaik taraf Pasir Gudang kepada sebuah bandaraya kerana penduduk di kawasan tersebut hampir mencecah 600,000 orang.

“Tempat itu (Pasir Gudang) agak tidak sesuai untuk kita beri kelulusan bagi membina kilang-kilang yang akhirnya akan mencetuskan mungkin perkara sedemikian rupa (insiden Sungai Kim Kim).

“Jadi, kita sedang merancang untuk mengenal pasti satu kawasan yang lain, mungkin yang jauh dari Pasir Gudang yang sesuai untuk kita beri kelulusan sekiranya ada kalangan mereka untuk membina, sama ada kilang industri ringan atau industri sederhana,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri ucapan penggulungan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertajuk ‘Reformasi Institusi’ sempena Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia di Universiti Teknologi Mara, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata insiden berkenaan sememangnya berpunca akibat proses pengilangan yang telah wujud sejak 30 tahun lalu di kawasan tersebut.

“Pada ketika itu Pasir Gudang belum ada pembangunan pesat dan agak sesuai masa itu (untuk mendirikan industri kilang), tetapi hari ini tidak sesuai. Jadi, kita nak ‘relocate’ ke tempat lain bagi menjamin alam sekitar di sana.

“Mungkin di bahagian Kota Tinggi atau kawasan sebelah Kluang, atau Simpang Renggam, dan sebagainya,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Jawatankuasa rangka SOP bencana pencemaran kimia akan ditubuhkan

JOHOR BAHRU, 31 MAC: Jawatankuasa Pengurusan Sisa Toksik Buangan Berjadual Kebangsaan akan diwujudkan dalam usaha kerajaan merangka satu prosedur operasi standard (SOP) dalam menangani bencana pencemaran kimia.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim berkata, setakat ini, penubuhan jawatankuasa yang akan bertanggungjawab dalam merangka SOP berkenaan, kini berada dalam peringkat draf sebelum dibawa kepada Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) untuk dimuktamadkan.

“Antara fungsinya adalah untuk buat keputusan apa jua isu berkaitan dengan pengurusan sisa toksik di masa akan datang. Itu yang paling utama, supaya kita ada satu platform paling tertinggi yang boleh membuat keputusan dan mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Putih, di sini hari ini, ketika diminta mengulas mengenai cadangan mewujudkan SOP berkenaan.

Turut hadir, Pengarah JAS Johor Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh.

Ahmad Kamarulnajuib buat masa ini, pihaknya hanya ditugaskan untuk menyiapkan draf penubuhan jawatankuasa itu dan akan menyerahkan kepada MESTECC untuk membuat keputusan selanjutnya.

Sementara itu, beliau berkata pemantauan kualiti udara yang dilakukan pihaknya di 20 buah sekolah yang berada dalam jarak 15 kilometer daripada punca kejadian (Sungai Kim Kim) adalah baik.

“JAS akan terus melaksanakan pemantauan kualiti udara secara berterusan di kawasan terjejas bagi memastikan kualiti udara adalah baik bagi penduduk serta murid-murid di sekolah berhampiran. Ia juga bertujuan memastikan kejadian pelepasan bahan toksik tidak berulang,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai aduan pencemaran Sungai Selangkah yang dibuat orang ramai terhadap JAS, Mohammad Ezanni berkata terdapat kira-kira 20 hingga 30 kilang dikenalpasti berkemungkinan terlibat dalam kes pembuangan sisa toksik di sungai berkenaan.

“Siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengesan kilang yang terlibat mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pencemaran Sungai Kim Kim: Dua pengarah didakwa lagi

JOHOR BAHRU, 25 MAC: Dua pengarah sebuah syarikat pemprosesan tayar terpakai yang semalam didakwa melupuskan buangan terjadual ke Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, sekali lagi dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, masing-masing atas 15 pertuduhan baharu.

Pertuduhan berkenaan membabitkan tujuh kesalahan bersabit pembuangan terjadual dan lapan melibatkan kesalahan pencemaran udara bersih pada awal bulan ini.

Wang Jing Chao, 34, warga Singapura dan Yap Yoke Liang, 36, selaku Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Jailani Rahman.

Mengikut pertuduhan melibatkan pembuangan terjadual itu, Wang dan Yap didakwa gagal membuat pemberitahuan tentang buangan terjadual yang dihasilkan dalam masa 30 hari dari tarikh pengeluaran buangan terjadual seperti ditetapkan di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

Kedua-duanya dituduh melakukan perbuatan itu pada 11 Mac kira-kira 12.25 tengah hari di P Tech Resources Sdn Bhd di PLO 113, Jalan Nibong 2, Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, Pasir Gudang dan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan melibatkan pencemaran udara bersih pula, Wang didakwa gagal menjalankan pemantauan berkala di bawah peraturan sama manakala Yap pula dituduh gagal menyelenggara rekod bagi proses pengilangan dan pemantauan prestasi sistem kawalan pencemaran udara, sebagaimana ditentukan peraturan tersebut.

Kesalahan itu turut dilakukan kedua-duanya di tempat, masa dan tarikh yang sama. Oleh itu, kedua-duanya boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 30 April ini untuk sebutan semula dan membenarkan setiap tertuduh dijamin RM15,000 seorang bagi setiap pertuduhan melibatkan pembuangan terjadual dan RM3,000 seorang bagi setiap pertuduhan melibatkan pencemaran udara bersih.

Mahkamah turut mengarahkan Wang dan Yap diikat jamin dengan seorang penjamin namun penjamin Wang haruslah warga Malaysia dan perlu melaporkan diri ke Balai Polis Pasir Gudang setiap 1 haribulan sehingga kes saman itu, selesai.

Proses pendakwaan hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraf Md Kamal manakala Wang dan Yap diwakili peguam G. Subramaniam Nair.

Sementara itu, pada prosiding yang sama, pendakwaan turut mengemukakan 15 pertuduhan sama ke atas kilang iaitu P Tech Resources Sdn Bhd.

Wang dan Yap yang menjadi wakil syarikat itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.

Semalam, Wang dan Yap didakwa atas satu pertuduhan melupuskan buangan terjadual iaitu buangan minyak atau enap cemar berminyak ke Sungai Kim Kim, Pasir Gudang pada 7 Mac lepas di mahkamah sama.

Bagaimanapun, mereka mengaku tidak bersalah atas dan Yap dibenarkan diikat jamin sebanyak RM250,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah manakala Wang yang merupakan warga Singapura, tidak ditawarkan jaminan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL RENCANA

Jangan biar bencana Sungai Kim Kim berulang

JOHOR BAHRU, 23 MAC: Empat puluh enam lokasi! Sudah semestinya angka ini memeranjatkan kerana lokasi yang dikenalpasti itu berpotensi menjadi tempat pencemaran di sekitar Pasir Gudang.

Pendedahan tersebut dibuat oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin pada Rabu, 20 Mac.
Beliau menyatakan, ia adalah hasil kajian Jawatankuasa Saintifik yang menggunakan data imej satelit ke atas keseluruhan kawasan Pasir Gudang.

Nama Pasir Gudang sudah tentunya menjadi perbualan hangat sejak lebih dua minggu lalu akibat pencemaran Sungai Kim Kim yang terletak di kawasan perindustrian tersebut akibat pembuangan sisa toksik.

Jelas apa yang berlaku bukan berkaitan Sungai Kim Kim lagi tetapi sebenarnya realiti yang terpaksa dihadapi penduduk Pasir Gudang sejak sekian lama. Realiti hidup dalam kawasan perindustrian yang mempunyai aktiviti perindustrian yang tinggi termasuk 252 kilang yang dipercayai memproses bahan kimia dan berdepan dengan aktiviti pembuangan secara haram setiap hari.

Penduduk di Taman Tanjung Puteri Resort, sebagai contoh, mendakwa membuat laporan kepada pihak penguatkuasa setiap tahun, tetapi tiada tindakan susulan menyebabkan mereka terpaksa menghadapi bau busuk Sungai Selangkah, anak Sungai Kim Kim setiap hari sejak 2011.

Jadi bila Yeo mengumumkan akan memperkasakan jentera penguatkuasaan di bawah MESTECC, ia menggambarkan salah satu komitmen terbaik kerajaan bagi menangani masalah pembuangan haram bukan sahaja di kawasan industri berkenaan tetapi juga di seluruh negara.

Selain itu, kajian semula atau pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 perlu ditambah dengan hukuman yang lebih berat supaya tidak ada siapa yang berani untuk melakukan kesalahan yang bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar tetapi juga manusia dan hidupan lain.

Jangan lagi kita ambil mudah untuk pesalah alam sekitar, kalau boleh kuatkuasakan hukuman yang tidak mampu dibayar atau diperkecilkan oleh mereka ini.

Pengajaran kedua dari episod malang ini ialah pengurusan krisis, yang sepatutnya ditangani sejak awal.

Sepanjang lima tahun saya bertugas di Johor, saya melalui dua krisis atau kejadian besar iaitu kebakaran di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 2016 dan kemalangan bas ekspres di Pagoh yang mengorbankan 14 nyawa, juga pada tahun yang sama.

Bila berita pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim tersebar pada 7 Mac, semua tidak menyangka termasuk saya ia akan menjadi satu “bencana” yang begitu besar impaknya.

Hakikatnya, ia memberi tamparan hebat kepada semua pihak memandangkan kita berdepan dengan pencemaran “yang tidak nampak dengan mata kasar” tetapi memberi kesan teruk kepada ribuan orang, sama ada dari segi kesihatan, emosi dan psikologi.

Apabila berlaku “Gejala Kim Kim” di depan mata saya, ia mengingatkan saya kepada kejadian histeria di sekolah dahulu yang “menjangkiti” semua orang tanpa mengira umur, darjah dan keturunan.

Sesungguhnya bencana Sungai Kim Kim adalah ujian besar dan pertama bagi kerajaan Johor, yang berjaya mengatasinya dengan semangat kerjasama berpasukan serta menggunakan kepakaran anak tempatan.

Apa yang menyerlah, ialah kepimpinan Yeo dalam krisis ini, terutama bila krisis ini sedikit sebanyak menunjukkan kepakarannya dalam bidang Kejuruteraan Kimia dan bagaimana beliau bersama yang lain menggembleng usaha mengumpulkan pakar-pakar dari universiti tempatan untuk membentuk Jawatankuasa Saintifik.

Sudah tentu keyakinan rakyat bertambah bila komitmen untuk membersihkan sungai berjaya dilaksanakan dalam tempoh lima hari sahaja dan Sungai Kim Kim dilaporkan kembali bersih dan selamat.

Selain itu, usaha gigih pasukan perubatan, pasukan keselamatan, sukarelawan dan rakan media perlu dipuji kerana menjadi “barisan depan” yang berjaya sehingga ada yang jatuh sakit demi menjalankan tugas hakiki.

Pastinya, banyak perkara yang perlu dipelajari oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan mengenai prosedur operasi standard (SOP) pengurusan krisis, apatah lagi bila berdepan dengan perkara baharu seperti pencemaran kimia ini.

Satu kelemahan utama ialah, selain laporan media massa, orang ramai sukar mendapat akses kepada maklumat terkini sehinggakan terlalu banyak khabar angin yang harus ditangani pihak berkuasa. Keadaan ini sehingga menjejaskan kerja sebenar iaitu mengatasi krisis itu sendiri.

Akibatnya, penumpuan pihak berkuasa sedikit terjejas berikutan terpaksa menangani ramai mangsa yang apabila 70-90 peratus kes dirujuk di Medic Base lebih kepada serangan panik berikutan terlalu banyak berita tidak benar.

Saya bersetuju dengan saranan Jawatankuasa Saintifik Bencana yang diketuai Dekan Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia, Prof Dr Abdull Rahim Mohd Yusoff mengenai perlunya mewujudkan SOP Bencana Pencemaran Kimia supaya boleh menjadi rujukan di kemudian hari.

Dengan adanya SOP seperti ini, ia diharapkan dapat membantu pihak berkuasa mengurangkan kepincangan yang dikenalpasti terutama dari pengalaman bencana Sungai Kim Kim ini pada masa hadapan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Semua sekolah di Pasir Gudang dibuka 31 Mac

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 22 MAC: Jabatan Pendidikan Negeri Johor hari ini memaklumkan semua sekolah yang ditutup di Pasir Gudang akan dibuka 31 Mac depan.

Timbalan Pengarahnya, Azman Adnan berkata, ia susulan perkembangan semasa tragedi Sungai Kim Kim.

“JPBN pada 19 Mac 2019 memutuskan menghentikan Ops Sungai Kim Kim dan sekali gus menutup Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

“Kejadian bencana menunjukkan perubahan semakin positif serta sudah hampir pulih sepenuhnya,” katanya dalam kenyatan hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, kerja pembersihan sekolah akan dilakukan tanpa membabitkan murid mengikut prosedur operasi standard (SOP) berkaitan.

Terdahulu, 111 buah sekolah di Pasir Gudang ditutup akibat pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim.

Categories
NASIONAL

Pencemaran Kimia: Tiada kes baharu dirujuk ke hospital

JOHOR BAHRU, 20 MAC: Tiada kes baharu dirujuk ke hospital berikutan pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor Dr Sahruddin Jamal.

“Jumlah pesakit yang telah dibenarkan pulang setelah mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) seramai tujuh orang.

“Hanya tinggal seorang pesakit yang masih mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) berbanding dua pesakit sebelum ini dan dalam keadaan stabil,” kata beliau dalam kenyataan, di sini, semalam.

Dr Sahruddin berkata, sejak 17 Mac hingga 12 tengah hari tadi, 44 pesakit masih dirawat di hospital.

Secara keseluruhan, kualiti udara di persekitaran Sungai Kim Kim kini stabil namun pemantauan akan tetap diteruskan sehingga 2 April nanti dan data akan dikeluarkan dari semasa ke semasa.

Dr Sahruddin berkata, pasukan pemantau terdiri daripada anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kimia Malaysia melakukan ujian tanah dalaman terhadap sampel yang dikumpul pada setiap hari selepas kerja pembersihan.

Katanya, pasukan penilai pula ditubuhkan bagi membuat pemantauan di kawasan yang terjejas, membabitkan Jabatan Kimia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Meteorologi.

Selain itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan sebaran maklumat yang belum sahih melalui aplikasi WhatsApp dan media sosial.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Lagi lokasi baharu dipercayai pembuangan sisa kimia ditemui

JOHOR BAHRU, 19 MAC: Satu lagi lokasi baharu dipercayai menjadi tempat pembuangan sisa kimia ditemui di tepi Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Johor Bahru, berdekatan dengan Sungai Masai, di sini.

Tinjauan BERNAMA mendapati terdapat kerja-kerja mengangkat sisa-sisa buangan oleh dua jentera berat serta kehadiran ramai pekerja lengkap berpakaian keselamatan peribadi (PPE) dan topeng penutup muka di kawasan berkenaan.

Terdapat lebih 10 tong biru disusun di tepi jalan lebuhraya berkenaan.

Sebelum ini, gambar-gambar pekerja berpakaian PPE menjadi viral sejak petang semalam sehingga menimbulkan kebimbangan baharu penduduk sekitar susulan dari kes pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang.

Lokasi baru itu berada kira-kira 18 hingga 20 kilometer dari terjadinya kes pencemaran Sungai Kim Kim.

Ketika menghampiri lokasi berkenaan, beberapa petugas berpakaian oren bertindak menghalang pihak media daripada mengambil gambar dan membuat liputan.

Semalam, penduduk Taman Tanjung Puteri Resort turut melahirkan rasa kebimbangan selepas penemuan beberapa tong biru dipercayai digunakan membuang sisa bahan kimia, di Sungai Sembilang, kira-kira dua kilometer dari Sungai Kim Kim.

Lokasi itu berada kira-kira 500 meter dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort, salah satu sekolah yang turut dilanda simptom “Kim Kim” pada Selasa (12 Mac).

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dijangka membuat sidang media di lokasi pertama pembuangan sisa kimia berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih petang ini.

– BERNAMA

Sumber: Foto Facebook Bernama Radio

Categories
NASIONAL

Sisa kimia: Jawatankuasa khas pantau sampel ikan, kualiti air

PUTRAJAYA, 18 MAC: Pejabat Perikanan Negeri Johor (PPN Johor) menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Khas bagi menyiasat dan memantau sampel dan parameter kualiti air bagi ternakan kupang dan ikan dalam sangkar di sekitar Pasir Gudang susulan pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim.

Ketua Pengarahnya, Datuk Munir Mohd Nawi berkata, sampel ikan dihantar ke makmal Jabatan Perikanan atau makmal swasta untuk analisis secara terperinci bagi menentukan sama ada sumber ikan di kawasan itu adalah selamat untuk dimakan ataupun sebaliknya.

“Hasil analisa tersebut dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Mengenai video ratusan ikan mati kononnya akibat pencemaran sungai di Pasir Gudang yang tular di media sosial, beliau berkata pemantauan di kawasan ternakan ikan dan kupang di kawasan itu mendapati tiada laporan kematian ternakan setakat ini.

“PPN Johor menegaskan bahawa ia adalah berita palsu dan tiada insiden seperti digambarkan dalam video berkenaan berlaku di Sungai Kim-Kim, Kong-Kong atau mana-mana kawasan Pasir Gudang,” katanya.

Munir berkata, sejurus selepas insiden tersebut pada 7 Mac lalu, PPN Johor menghubungi Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kimia Negeri Johor serta menghantar sampel ikan bagi siasatan kualiti air yang mungkin terkesan daripada sisa buangan Sungai Kim Kim.

“JAS mengambil tindakan segera dengan menghalang aliran bahan kimia menggunakan ‘oil boom’,” katanya.

Menurut Munir, laporan awal dari Jabatan Kimia mendapati sampel air terkesan mengandungi metana, hidrogen klorida, acrylonitrile, acrolein, ethyl benzene, aldrich toluene, xylene dan limonene.

Katanya, terdapat lapan pangkalan nelayan berhampiran kawasan pencemaran bahan kimia tersebut melibatkan seramai 342 nelayan dan 181 penternak di sekitar Teluk Kabung dan Kampung Perigi Acheh.

– BERNAMA