Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Suspek kes buang sisa kimia di Kajang ditahan

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dengan kerjasama polis memberkas suspek yang disyaki terlibat dalam kes pembuangan haram sisa kimia di rezab Sungai Langat, Taman Seri Reko, Kajang, Selangor pada 3 Feb lepas.

Ketua Pengarah Alam Sekitar Norlin Jaafar yang memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan malam tadi bagaimanapun tidak menyatakan jumlah suspek yang diberkas pihak berkuasa itu semalam.

Menurutnya, berdasarkan maklumat risikan, JAS Selangor menemukan sebuah lori tiga tan yang disyaki digunakan dalam aktiviti itu yang nyaris menyebabkan Sungai Langat tercemar dan lori terbabit disita jabatan berkenaan untuk siasatan lanjut.

Katanya, kertas siasatan sedang dilengkapkan untuk membawa suspek terbabit ke muka pengadilan di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang membawa hukuman berat iaitu penjara mandatori dan boleh didenda tidak melebihi RM500,000.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada orang awam yang melaporkan mengenai kejadian ini dan sebarang aduan pencemaran hendaklah dilaporkan terus ke talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727 atau e-mel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

“Saya juga ingin menegaskan JAS sentiasa mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi terhadap penjenayah alam sekitar,” katanya.

Pada 3 Feb, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam kenyataan turut memaklumkan pihaknya akan melakukan siasatan lanjut berikutan penemuan tong berisi bahan buangan berjadual yang berpotensi menjadi punca pencemaran sungai.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JAS buka kertas siasatan kes buang sisa kimia di Kajang

PUTRAJAYA, 3 FEB: Jabatan Alam Sekitar membuka kertas siasatan berhubung kejadian pembuangan haram bahan kimia di rizab Sungai Langat, Taman Seri Reko, Kajang semalam, kata Ketua Pengarahnya Norlin Jaafar.

Beliau berkata JAS Selangor sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan pemeriksaan di lokasi petang semalam mendapati terdapat 21 tong berisi larutan cecair yang berbau seperti pelarut.

“Tiada tumpahan cecair dikesan di atas tanah semasa siasatan dan tidak kelihatan sebarang cecair mengalir di atas tanah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Norlin berkata kawasan berkenaan ditutup bagi mengelak sebarang kesan bahan kimia kepada orang awam, manakala sampel bahan kimia tersebut dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Beliau berkata kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 termasuk Seksyen 34A iaitu gagal mengemukakan laporan mengenai kesan kepada alam sekeliling (EIA) daripada aktiviti yang ditetapkan (penstoran luar tapak) dan Seksyen 34B iaitu menempatkan buangan terjadual di premis tanpa mendapat apa-apa kelulusan daripada ketua pengarah.

Siasatan turut membabitkan Seksyen 18(1) iaitu menjalankan aktiviti di premis yang ditetapkan tanpa mendapat apa-apa lesen daripada ketua pengarah dan Seksyen 19(a) iaitu menjalankan aktiviti di premis yang ditetapkan tanpa mendapat apa-apa kebenaran bertulis daripada ketua pengarah.

“Pihak JAS sedang giat memburu pelaku yang bertanggungjawab terhadap insiden ini dan tangkapan akan dibuat ke atas orang yang disyaki dalam masa terdekat,” kata Norlin.

Orang awam diminta membuat aduan pencemaran secara terus ke talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727 atau e-mel ke [email protected] atau melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

Terdahulu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya akan melakukan siasatan lanjut berikutan penemuan tong-tong berisi bahan buangan berjadual itu yang berpotensi menjadi punca pencemaran sungai.

– BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

JAS periksa kilang, pastikan lupus sisa kimia ikut SOP

KAJANG, 3 FEB: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor giat memantau premis kilang di seluruh negeri bagi memastikan sisa kimia dilupuskan dengan betul.

EXCO alam sekitar berkata kebanyakan kilang melepaskan sisa industri melalui syarikat pelupusan tidak berlesen tanpa memikirkan risiko pencemaran.

“Sepatutnya sisa kimia diuruskan kontraktor bertauliah, justeru JAS sedang memeriksa setiap kilang bagi memastikan ia mengikut tatacara operasi piawai (SOP) betul,” kata Hee Loy Sian selepas meninjau lokasi penemuan 165 liter bahan kimia di sini.

Pada November tahun lalu, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han menasihatkan pemilik premis kilang menggunakan khidmat JAS bagi melupuskan sisa industri.

Jelasnya, meskipun proses itu memerlukan modal tinggi namun ia dapat mengelakkan masalah pencemaran yang akan menyusahkan ramai pihak.

Categories
EXCO SELANGOR

Dron pantau tanam sisa kimia haram di Johan Setia

SHAH ALAM, 16 JULAI: Jabatan Alam Sekitar Selangor mengesan aktiviti menanam sisa kimia secara haram membabitkan sebuah syarikat swasta di Johan Setia, Klang.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata pemantauan menggunakan dron sejak sebulan lalu menemui longgokan tanah berubah warna yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

“Kerja pengorekan dibuat dalam masa terdekat kerana tindakan menanam sisa kimia dalam tanah lebih berbahaya disebabkan ia terus kepada sumber air,” katanya ketika ditemui di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Baru-baru ini, lebih 1,000 tong dram dan beg berisi sisa toksik berbahaya ditemui di tapak pembuangan haram di Jalan Sijangkang Utama, Johan Setia, Klang.

Memetik laporan media, pembuangan sisa meliputi enapcemar minyak dan getah, buangan pigmen serta campuran bahan kimia berlaku sejak tiga bulan lalu di atas tanah seluas hampir satu hektar.

Categories
PBT SELANGOR

Dua kilang ditutup buang sisa kimia ke parit

SHAH ALAM, 23 FEB: Dua kilang di Taman Industri Integrasi Rawang ditutup ekoran melepaskan sisa kimia terus parit, kata pengarah jabatan korporat Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Mohamad Zin Masoad berkata lesen premis ditarik dan dikenakan kompaun RM1,000 selaras dengan Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati kualiti air pelepasan akhir berada pada bacaan pH 2 iaitu dalam kategori berasid.

“Dinding kilang juga didapati terhakis dikhuatiri menyebabkan runtuhan dan menjejaskan kilang bersebelahan,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, Mohamad Zin berkata satu sesi perbincangan antara pihak kilang dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Gombak akan diadakan dalam tempoh terdekat.

“MPS mengingatkan pengusaha kilang mematuhi syarat pengurusan sisa kimia dan operasi kilang bagi mengelakkan tindakan yang lebih berat dikenakan ke atas mereka,” katanya.

Categories
NASIONAL

Lagi lokasi baharu dipercayai pembuangan sisa kimia ditemui

JOHOR BAHRU, 19 MAC: Satu lagi lokasi baharu dipercayai menjadi tempat pembuangan sisa kimia ditemui di tepi Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Johor Bahru, berdekatan dengan Sungai Masai, di sini.

Tinjauan BERNAMA mendapati terdapat kerja-kerja mengangkat sisa-sisa buangan oleh dua jentera berat serta kehadiran ramai pekerja lengkap berpakaian keselamatan peribadi (PPE) dan topeng penutup muka di kawasan berkenaan.

Terdapat lebih 10 tong biru disusun di tepi jalan lebuhraya berkenaan.

Sebelum ini, gambar-gambar pekerja berpakaian PPE menjadi viral sejak petang semalam sehingga menimbulkan kebimbangan baharu penduduk sekitar susulan dari kes pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang.

Lokasi baru itu berada kira-kira 18 hingga 20 kilometer dari terjadinya kes pencemaran Sungai Kim Kim.

Ketika menghampiri lokasi berkenaan, beberapa petugas berpakaian oren bertindak menghalang pihak media daripada mengambil gambar dan membuat liputan.

Semalam, penduduk Taman Tanjung Puteri Resort turut melahirkan rasa kebimbangan selepas penemuan beberapa tong biru dipercayai digunakan membuang sisa bahan kimia, di Sungai Sembilang, kira-kira dua kilometer dari Sungai Kim Kim.

Lokasi itu berada kira-kira 500 meter dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort, salah satu sekolah yang turut dilanda simptom “Kim Kim” pada Selasa (12 Mac).

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dijangka membuat sidang media di lokasi pertama pembuangan sisa kimia berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih petang ini.

– BERNAMA

Sumber: Foto Facebook Bernama Radio

Categories
NASIONAL

Lagi kes buang sisa kimia, JAS diminta segera siasat

JOHOR BAHRU, 18 MAC: Jabatan Alam Sekitar (JAS) diminta menyiasat segera laporan berhubung beberapa lagi kes disyaki kesan pembuangan sisa kimia di kawasan Masai.

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, beliau mengambil serius laporan dan aduan bahawa terdapat beberapa lagi kes yang disyaki kesan pembuangan sisa kimia.

“Sehingga laporan yang lengkap diperolehi daripada JAS, kawasan tersebut hendaklah ditutup sepenuhnya sehingga kerja-kerja pembersihan, kawalan dan penyiasatan telah dijalankan.

“Jika benar pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan pembuangan haram, tindakan tegas akan diambil,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Osman berkata, beliau tidak akan membiarkan bencana kimia itu berulang kerana nyawa dan keselamatan rakyat menjadi pertaruhan.

“Saya menyeru kepada semua rakyat untuk menjauhi kawasan tersebut dan mematuhi peraturan keselamatan yang disediakan,” katanya.

Terdahulu, beberapa tong biru dipercayai digunakan sebagai bekas pembuangan sisa kimia, dijumpai berdekatan Sungai Sembilang di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tanjung Puteri Resort.

Sekolah berkenaan adalah antara sekolah yang terkesan ekoran pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, 12 hari lalu.

– BERNAMA

– Foto Kredit : Facebook INFO BERITA SEMASA

Categories
NASIONAL

Sisa kimia: Agong zahir rasa simpati kepada mangsa

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang, Johor dan mendoakan mereka kembali pulih.

Istana Negara dalam kenyataan hari ini berkata, Seri Paduka memandang serius insiden terbabit dan berharap mangsa yang menjalani rawatan saringan awal di Medic Base, Stadium Tertutup Pasir Gudang berupaya menjalani proses pemeriksaan dengan baik.

“Baginda juga menzahirkan ucapan terima kasih dan menyokong tindakan segera yang diambil kerajaan negeri dan agensi berkaitan khususnya Kementerian Kesihatan; Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim; Jabatan Bomba dan Penyelamat serta jabatan lain yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Sultan Abdullah turut memohon rakyat Malaysia mendoakan keadaan pencemaran sisa toksik di Pasir Gudang tidak akan mengakibatkan keadaan yang lebih memudaratkan kepada penduduk setempat.

Sehingga tengah malam tadi, 65 pesakit baharu dimasukkan ke wad akibat pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, menjadikan jumlah mereka yang masih dirawat di hospital seramai 371 orang.

Setakat 3 petang semalam, seramai 4,035 mangsa menerima rawatan berikutan pencemaran yang berlaku sejak 7 Mac. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pencemaran kimia: 65 pesakit baharu dimasukkan ke wad

JOHOR BAHRU, 16 MAC: Seramai 65 pesakit baharu dimasukkan ke wad akibat pencemaran sisa kimia setakat tengah malam tadi, menjadikan jumlah mereka yang masih dirawat di hospital adalah 371 orang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, jumlah 371 pesakit itu, yang direkodkan setakat 12 malam tadi, menyaksikan penurunan berbanding 491 pesakit yang dirawat di hospital, pada hari sebelumnya.

“Jumlah pesakit yang masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah seramai lapan orang dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Pada masa sama, katanya, kerja pembersihan yang dikawal selia Jabatan Alam Sekitar masih diteruskan kontraktor menggunakan jentera dan mesin secara manual.

Beliau berkata,kerja pembersihan dilakukan mengikut tiga syif penugasan yang dijalankan 24 jam sehari.

“Sekali lagi, orang awam dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawasan kejadian semasa kerja pembersihan dilakukan kontraktor yang dilantik kerajaan negeri,” katanya.

Setakat 3 petang semalam, mangsa yang menerima rawatan ekoran pencemaran itu adalah seramai 4,035 orang. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Singapura tidak terjejas dengan pencemaran bahan kimia

SINGAPURA, 14 MAC: Agensi Singapura kini berhubungan dengan agensi berkaitan Malaysia bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai situasi semasa pencemaran kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) berkata mereka sentiasa memantau kejadian tersebut secara dekat.

“Kami faham operasi pembersihan oleh pihak berkuasa Malaysia sedang berjalan. Kawasan terlibat berada di luar kawasan tadahan Sungai Johor dan tidak ada sebarang kesan terhadap bekalan air Singapura,” katanya.

Menurut kenyataan itu, SCDF, NEA dan agensi air PUB tidak mengesan kehadiran bahan asing dalam kualiti air dan udara tempatan.

“Pihak berkuasa Agri-Makanan dan Veterinar (AVA) juga bekerjasama dengan para petani bagi memantau situasi dan tiada bahan asing atau perubahan terhadap ikan yang berlaku di kolam-kolam ikan kita,” kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu menambah, Indeks Piawaian Pencemaran 24 jan (PSI) sejak 6 Mac 2019 berada dalam keadaan baik ke sederhana, sementara bacaan 1-hr PM2.5 masih kekal pada Band 1 (Normal).

“NEA tidak mengesan sebarang kenaikan paras benzene atau lain-lain sebatian Organik Meruap (VOCs) di stesen-stesen pemantauan udara kami.

“Tahap ambien VOC di sepanjang pantai Singapura kekal pada paras selamat. Kualiti air laut di sekitar Pulau Ubin berada pada paras normal,” katanya.

Pihak berkuasa berkata, mereka akan terus memantau situasi ini, dan akan memberikan maklumat terkini jika terdapat perkembangan yang penting.

Sehingga kini, 947 orang awam dirawat di hospital-hospital kerajaan dan swasta dengan sembilan daripada mereka berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail. -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

900 orang dirawat, penduduk mula tinggalkan Pasir Gudang

JOHOR BAHRU, 14 MAC: Khuatir dengan keadaan pencemaran kimia akibat pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim yang sehingga kini menyebabkan lebih 900 orang dirawat, sebilangan penduduk di Pasir Gudang mula mengambil inisiatif meninggalkan kediaman mereka buat sementara.

Mereka mengambil keputusan keluar dari kawasan itu demi memastikan keselamatan diri dan keluarga mereka.

Seorang daripada mereka, Mahirah Ahmad Helmi, 32, berkata beliau hari ini membawa dua anaknya – berusia tiga tahun dan lima bulan ke Kempas, di sini untuk tinggal di rumah bapa mertuanya.

“Sejak beberapa hari lalu, anak pertama saya batuk-batuk, anak kedua pula mengalami mata merah. Saya telah bawa mereka ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk membuat pemeriksaan.

“Mulai hari ini, saya akan tinggal sementara di rumah bapa mertua malah sejak semalam, semua jiran saya sudah mula meninggalkan rumah masing-masing kerana merasakan kehidupan kami di situ (Pasir Gudang) terancam,” katanya yang tinggal di Taman Kota Masai, Pasir Gudang.

Mahirah yang merupakan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2 turut berharap proses pembersihan sungai dapat dijalankan dengan segera, bagi mengelakkan perkara tidak diingini.

Seorang lagi penduduk, Abdul Rahim Abdul Rahman, 47, berkata beliau telah membawa tiga anaknya menginap di sebuah hotel di pusat bandar sejak malam tadi.

Ini kerana beliau enggan mengambil risiko terhadap keselamatan anak-anaknya tambahan pula sekolah mereka telah diarap tutup semalam.

“Kami tinggal di hotel kerana merasakan tidak perlu untuk terus berada di rumah kami di Taman Bukit Dahlia…ada banyak sangat maklumat mengelirukan tentang insiden ini,” katanya.

Kejadian pencemaran bahan kimia sejak 7 Mac itu sehingga kini menyebabkan 947 orang awam terpaksa mendapatkan rawatan dengan sembilan daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi dan semua 111 sekolah di Pasir Gudang diarah ditutup serta merta. -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan Negeri bidas dakwaan pembangkang konon lambat bertindak

JOHOR BAHRU, 14 MAC: Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, membidas kritikan pembangkang yang mendakwa kononnya kerajaan negeri lambat bertindak dalam menangani isu pencemaran toksik ekoran pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, di sini.

Ditemui pemberita selepas melawat mangsa kejadian di Hospital Sultan Ismail (HSI), malam tadi, beliau menegaskan langkah awal dalam menangani isu itu sudah dilaksanakan sejak hari pertama kejadian, pada Khamis lalu.

Katanya, selain bantuan kepada mangsa, keluarga dan petugas keselamatan, langkah menyeluruh diambil termasuk menyediakan peruntukan RM6.4 juta bagi kerja pembersihan Sungai Kim Kim.

“Benda ini daripada awalnya dalam pengetahuan kita. Yang dia (pembangkang) tidak tahu, sama ada dia turun padang atau tidak. Dia hanya buat andaian sahaja, buat ramalan secara rambang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab kritikan bekas menteri besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bekas exco kesihatan negeri, Datuk Ayub Rahmat yang mendakwa kerajaan negeri lemah dan bersikap acuh tidak acuh dalam menangani isu terbabit.

Osman berkata, pembangkang seharusnya bersama-sama membantu kerajaan negeri menangani isu itu dan bukan hanya mengkritik atau menakut-nakutkan rakyat.

“Yang ini baru pemimpin yang setia pada rakyat. Kritik nak buat apa? Tak bawa apa-apa perubahan tetapi hanya semata-mata untuk meraih keuntungan politik. Itu sahaja dia punya motif,” katanya.

Terdahulu, beliau yang tiba di hospital itu pada 9.15 malam meluangkan masa hampir sejam untuk melawat mangsa yang dirawat di hospital berkenaan.

Sebelum itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad turut melawat mangsa di hospital berkenaan. -BERNAMA