Categories
SELANGOR

RM1.33 juta peruntukkan MARRIS digunakan di Daerah Klang

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 NOV: Sejumlah RM1.37 juta peruntukkan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) digunakan bagi pembangunan jalan luar bandar daerah Klang.

Exco Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, sehingga 15 Oktober lalu, sebanyak RM1.33 juta atau 96.63 peratus telah dibelanjakan untuk 12 projek.

“Setakat ini bakinya sekitar RM46,000. Antara pembangunan yang dilakukan adalah kerja baik pulih dan menurap semula jalan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pertanyaan mulut yang dikemukakan ADN Meru, Dr Abdul Rani Osman di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Katanya, sebanyak 49 batang jalan sepanjang 15.534 kilometer atas lot persendirian telah didaftarkan MARRIS.

Menurutnya, antara jalan yang dinaik taraf di DUN Meru adalah Lorong Dalilah, Lorong Ciku dan Lorong Gelanggang Futsal di Kampung Bukit Kapar.