Program SITEC Online 100 terbukti membuka ruang lebih luas buat peniaga menerokai pasaran perdagangan elektronik (e-dagang), Kerajaan Negeri sedia lancar panggilan kedua
Tag: SITEC Online 100
OLEH: LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 16 MAC: Program SITEC Online 100 terbukti membuka ruang lebih luas buat peniaga menerokai pasaran perdagangan elektronik (e-dagang).
Bagi pemilik Milkanddino, Norsaadah Abdul Talib, 33, program tajaan Kerajaan Negeri itu menyediakan landasan lebih kukuh bagi pemasaran atas talian.
“Ia juga dapat menjimatkan masa kami peniaga untuk menerangkan mengenai produk kepada pelanggan.
“Menerusi laman web yang lebih interaktif, pelanggan lebih mudah beroleh info produk dan terus membuat pesanan serta bayaran,” kata ibu kepada tiga anak itu.
Berkongsi pandangan sama, Siti Zamaira Zainal, 29 dari Batu Tiga pula memuji latihan diberikan sepanjang program.
“Ada pelbagai kelas disediakan dan kesemuanya memang membantu kami untuk meningkatkan jualan.
“Kita bukan sahaja fokus kepada produk dijual tetapi juga cara terbaik menguruskan pelanggan,” kata pemilik Bambambritt yang juga bekas juru audit itu.
Sementara itu, pemilik Kakimotor, Alex Lim, 41, berharap lebih banyak program pendidikan usahawan dapat dilaksanakan pada masa hadapan.
“Saya percaya e-dagang dapat memberi ruang kepada lebih ramai lagi untuk berniaga dan menjana pendapatan,” katanya yang mempunyai sebuah kedai di Bandar Sunway.
SITEC Online 100 menawarkan latihan kepada usahawan mempelajari laman web interaktif, aplikasi menerusi appstore selain tunjuk ajar dan sesi latihan secara percuma sepanjang tempoh program.
Ia secara khusus mendedahkan usahawan terlibat kepada pengurusan perdagangan elektronik (e-dagang) bagi memaksimumkan penjualan.
-nR-
OLEH: LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 16 MAC: Kerajaan Negeri sedia melancarkan panggilan kedua program SITEC Online 100 dengan peruntukan RM2juta.
Exco Pelaburan, Perindustrian (IKS) & Perdagangan dan Penyelidikan, Dato’ Teng Chang Khim, berkata menerusi program dikendalikan Majlis Tekonologi Informasi dan E-dagang Selangor (SITEC) itu, 100 lagi usahawan akan dibantu mengurus perniagaan secara atas talian.
Katanya, ia fokus kepada pengurusan perdagangan elektronik (e-dagang) bagi memaksimumkan penjualan.
“Ini merupakan program pertama seumpamanya dilaksanakan di Malaysia yang sepenuhnya ditanggung kerajaan.
“Setiap peserta ditawarkan laman web interaktif, aplikasi menerusi appstore selain tunjuk ajar dan sesi latihan diberikan secara percuma sepanjang tempoh program,” katanya ketika Majlis Graduasi SITEC 100 di Pusat Kreatif Digital Selangor (SDCC) di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor, Hasan Azhari dan CEO SITEC, Yong Kai Ping.
Pada majlis sama, seramai 100 usahawan yang mengusahakan pelbagai barangan dan perkhidmatan menerima sijil tamat program yang disampaikan Mohamed Azmin.
Program yang bermula pada Mei 2015 itu tamat tiga bulan lebih awal daripada tempoh setahun diperuntukkan.
-nR-