Categories
NASIONAL

Dr Mariah: Keganasan Polis Meningkatkan Kebencian Rakyat

SHAH ALAM, 1 MEI : Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud kesal dengan tindakan ganas polis yang dilaporkan menyerang dan mengkasari peserta BERSIH 3.0 terutama wanita dalam perhimpuan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dr Siti Mariah yang juga Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat Pas Pusat berkata keganasan pihak polis akan meningkatkan kebencian selain menghapuskan keyakinan rakyat terhadap institusi yang diamanahkan untuk menjaga keamanan negara.

“Memang tidak patutlah. Kalau kita lihat secara keseluruhan semasa BERSIH 3.0 itu berlangsung, tindakan polis adalah keterlaluan. Kalau pukul peserta wanita kan, apa yang kita (wanita) boleh buat pada dia? Kita perempuan kan!,” katanya ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.

Beliau berkata, polis tidak sewajarnya bertindak demikian kerana orang ramai hanya ingin berhimpun menyatakan bantahan terhadap kerajaan di dalam perlaksanaan pilihanraya yang didakwa dijalankan secara tidak adil dan bersih.

“Dataran Merdeka itu hanyalah satu medan dan satu tempat lapang untuk orang masuk berhimpun tetapi polis bertindak dengan menganasi rakyat sendiri.

“Kita pun tidak maklum pasal perkara ini. Kalau polis kata peserta itu menimbulkan provokasi, kita tidak tahu lah tetapi memang sepatutnya dari awal cara dibuat polis itu salah. Mengapa dia (polis) bertindak pada mereka yang tidak mencetuskan kekacauan,” katanya.

Selain peserta perhimpuan BERSIH 3.0, terdapat juga laporan menyatakan seorang wartawan wanita mendakwa dikasari polis ketika membuat liputan.

Dilaporkan kejadian berlaku di Jalan Tun Perak semasa wartawan laman berita Merdeka Review, Chen Shaua Fui cuba merakam gambar anggota polis yang didakwa memukul peserta perhimpunan di sebuah restoran.

Selain itu beberapa wartawan melaporkan memori kad dan tape video mereka dirampas kerana merakamkan keganasan polis.