Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

BNM: Tambahan RM700 juta bantu tingkat automasi, digital PKS

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan peruntukan Kemudahan Automasi dan Digital (ADF) Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ditambah RM700 juta lagi sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan bagi ADF adalah RM1 bilion.

Menurut kenyataan media semalam, BNM menjelaskan ADF diperkenalkan pada Mac 2020 bertujuan menggalakkan PKS di semua sektor mengautomasikan proses serta mendigitalkan operasi bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan.

“ADF terbuka kepada semua PKS Malaysia, dengan jumlah pembiayaan maksimum RM3 juta bagi setiap PKS dan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun. Kadar pembiayaan adalah sehingga empat peratus setahun, termasuk yuran jaminan.

“Perlindungan jaminan disediakan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP). Kemudahan ini disediakan sehingga 31 Disember, 2021 atau sehingga peruntukan digunakan sepenuhnya, mana yang lebih awal,” menurut BNM.

Bank pusat turut memaklumkan PKS juga boleh memohon kemudahan pembiayaan lain di bawah Dana BNM untuk PKS.

PKS yang berminat boleh merujuk bnm.gov.my/covid19/ atau menghubungi BNM melalui bnm.my/LINK sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan berhubung kemudahan pembiayaan yang disediakan, jelasnya.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

SJPP lancar jaminan khas RM2 bilion untuk PKS

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) hari ini melancarkan skim jaminan khas kerajaan RM2 bilion untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memasuki Industri 4.0.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada jaminan berjumlah RM6.5 bilion diperuntukkan dalam Bajet 2019 khusus untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan PKS tempatan bagi Industri 4.0.

Beliau berkata, tanpa PKS yang berpengetahuan dalam teknologi Industri 4.0, Malaysia tidak akan dapat berkembang maju dan tidak akan menjadi destinasi pelaburan utama bagi pembuatan berteknologi tinggi serta perkhidmatan tambah nilai tinggi.

“Skim jaminan RM2 bilion disediakan SJPP dengan mengambil kira PKS menyumbang 37 peratus kepada Keluaran Nalam Negara Kasar Malaysia tahun lalu.

“Sumbangan itu dijangka meningkat kepada 41 peratus pada 2020,” katanya ketika berucap pada pelancaran skim itu hari ini.

Di bawah skim itu, 70 peratus pinjaman dibuat PKS akan dijamin oleh SJPP.

Sejak ditubuhkan pada 2009, SJPP sudah menawarkan jaminan RM35 bilion dengan RM18 bilion daripadanya dimanfaatkan 14,000 PKS, di seluruh negara.

*Sumber: BERNAMA