Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sasar 1,000 pelajar nikmati manfaat Skim Dermasiswa

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 27 JUN: Universiti Selangor (UNISEL) mensasarkan pengambilan 1,000 pelajar menyertai Skim Demasiswa tahun ini.

Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, pihaknya berharap dapat menambah pengambilan pelajar dengan menawarkan pengajian tahun asas percuma dalam bidang Teknologi Maklumat dan Sains.

“Jumlah pengambilan bagi tahun pertama skim ini adalah 218 pelajar. Sasaran yang ingin dicapai pada tahun ini ialah 1,000 pelajar.

Prof Redzuan (2)“Skim yuran pengajian secara percuma Program Tahun Asas diperkenalkan secara tidak langsung menaikkan nama universiti sebagai Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang menekankan tanggungjawab sosial dan memberi peluang pendidikan kepada pelajar lepasan SPM di seluruh negara,” katanya.

Selain itu, Redzuan berkata, Program Smart Tahfiz juga dimulakan tahun ini dengan pengambilan 50 pelajar perintis.

“Program tahfiz ini istimewa kerana pelajar yang didaftar sebagai calon SPM perintis dilatih bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga pengetahuan al-Quran.

“Program ini juga tunjang kepada pengambilan pelajar untuk memasuki UNISEL. Jika pelajar mendapat keputusan cemerlang dalam SPM, maka mereka akan diserap masuk ke program tahun asas atau diploma yang ditawarkan UNISEL,” katanya.