Categories
AGENDA NASIONAL

Tahun Baharu Cina: Enam barang disenarai bawah harga kawalan

CHERAS, 31 JAN : Sebanyak enam jenis barangan disenaraikan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2022 yang dilaksana dari 29 Januari hingga 4 Februari.

EXCO Pengguna berkata senarai barangan terbabit adalah ikan bawal putih berat antara 200 gram (g) hingga 400g seekor dan udang putih berat antara 41 ekor hingga 60 ekor sekilogram.

Menurut Mohd Zawawi Ahmad Mughni bawang putih dari China; babi hidup kawalan di peringkat ladang sahaja, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak) turut tersenarai dalam harga kawalan.

“Peniaga juga perlu mempamerkan tanda harga khas warna merah jambu di bawah skim ini bagi membezakan antara barangan harga terkawal dan jualan borong di premis masing-masing.

“Pelaksanaan skim ini dikuat kuasa melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Tindakan tegas akan dikenakan sekiranya berlaku ketidakpatuhan di bawah skim ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sesi ‘walkabout’ Ops Pematuhan SHMMP Tahun Baharu Cina bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor di Pasaraya NSK Trade City BMC Mall di sini hari ini.

Mohad Zawawi berkata mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

“Peniaga di sekitar Selangor diminta memberi kerjasama dan patuh dengan harga ditetapkanSHMMP tahun ini,” katanya.

Menurutnya, pengguna juga digalakkan memuat turun aplikasi ‘Price Catcher’ bagi tujuan semakan harga barang keperluan harian yang lain dan boleh membuat perbandingan harga mengikut premis dalam radius 10 kilometer daripada kediaman.

Pengguna juga boleh membuat aduan dengan mengemukakan maklumat lengkap berhubung salah laku peniaga di sekitar Selangor menerusi saluran aduan rasmi berikut :

i. WhatsApp 019-279 4317
ii. Portal e-aduan.kpdnhep.gov.my
iii. Call Centre 1-800-886-800
iv. Emel [email protected]
v. Ez ADU KPDNHEP
vi. Bilik Gerakan KPDNHEP Selangor 03-
5514 4393/ 5518 1810/ 5512 5485

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP: Skim Harga Maksimum Musim Perayaan rekod 147 kes

PUTRAJAYA, 4 JUN: Sebanyak 147 kes direkodkan sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2020 bagi tiga perayaan iaitu Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai antara 20 Mei hingga 3 Jun lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi berkata ia melibatkan 32 kes menjual melebihi harga maksimum dan 115 kes lagi tiada tanda harga dengan nilai keseluruhan sitaan RM18,718 dan kompaun RM308,500.

Daripada 32 kes menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, katanya 29 kes melibatkan peruncit dan tiga kes melibatkan pemborong dengan nilai rampasan sebanyak RM2,978 dan jumlah kompaun sebanyak RM177,500.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima 26 aduan sepanjang tempoh tiga skim berkenaan melibatkan empat aduan tidak meletakkan tanda harga, enam aduan tiada tanda harga merah jambu dan 16 aduan melebihi harga maksimum.

“Kesemua aduan yang diterima telah disiasat dan diambil tindakan oleh kementerian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini mengenai pelaksanaan SHMMP.

SHMMP Hari Raya Puasa dilaksanakan mulai 20 Mei hingga 3 Jun iaitu 15 hari, manakala perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai selama tujuh hari bermula 28 Mei hingga 3 Jun.

Nanta berkata sebanyak 33,238 premis perniagaan iaitu 751 di peringkat borong dan 33,487 di peringkat runcit di seluruh negara diperiksa sepanjang pelaksanaan SHMMP tiga perayaan itu.

Nanta berkata secara keseluruhannya, skim berkenaan berjaya dilaksanakan dengan baik.

“Skim ini perlu diteruskan pada perayaan-perayaan yang akan datang supaya pengguna mendapat manfaat membeli barangan pada harga yang berpatutan semasa sambutan perayaan utama negara,” katanya.

Sepanjang tempoh pelaksanaan skim, beliau berkata kementerian mendapati secara umumnya pematuhan dan kerjasama oleh pengeluar, pemborong dan peruncit adalah baik dan memuaskan.

“Komitmen dan tanggungjawab yang ditunjukkan oleh kedua-dua pihak peniaga dan pengguna merupakan faktor kejayaan skim ini,” katanya.

-BERNAMA