Categories
EXCO SELANGOR

Penerima Skim Insurans Peduli Sihat wajib jalani saringan

SHAH ALAM, 13 JAN: Penerima Skim Insurans Peduli Sihat (SIPS) wajib jalani saringan kesihatan bagi membolehkan mereka layak mendapat manfaat tahun hadapan.

EXCO kesihatan berkata saringan boleh dibuat sepanjang tahun ini di klinik panel Selcare Management Sdn Bhd (Selcare).

Dr Siti Mariah berkata bagi memudahkan orang ramai, Selcare juga bakal mewujudkan klinik bergerak dengan kerjasama Ahli Dewan Negeri.

“Mereka yang gagal jalani saringan tidak layak menyambung polisi ini pada tahun depan. Hanya boleh menerima rawatan pada tahun ini sahaja.

“Dengan membuat saringan, data kesihatan dikumpul sekali gus memudahkan Kerajaan Selangor mengenal pasti penyakit golongan berpendapatan rendah (B40),” kata Dr Siti Mariah pada sidang media semalam.

Menurutnya, pemegang polisi juga disaran menggunakan manfaat SIPS termasuk mengambil suntikan vaksin dan tidak hanya untuk rawatan pesakit luar.

“Vaksin Covid-19 juga boleh diambil menggunakan SIPS ini selepas diluluskan. Selain itu, pemegang polisi boleh mendapat rawatan untuk 36 sakit kritikal dan tidak berjangkit.

“Mereka yang menghidap sakit jantung secara automatik dapat manfaat Skim Peduli Sihat Jantung dibawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor,” katanya.

SIPS merupakan bantuan kesihatan kepada keluarga berpendapatan bawah RM2,000 dengan memperuntukkan bantuan pengebumian sebanyak RM1,000, perlindungan kemalangan diri (RM5,000), perlindungan penyakit kritikal (RM5,000) dan insurans nyawa (RM5,000).

 

 

Categories
EXCO SELANGOR

Golongan miskin bandar digesa mohon Skim Insurans Peduli Sihat

SHAH ALAM, 12 JAN: Golongan miskin bandar digesa memohon Skim Insurans Peduli Sihat (SIPS) sebelum Mac ini berikutan terdapat 4,000 kekosongan kuota lagi.

EXCO kesihatan berkata pelbagai manfaat akan diterima pemegang polisi selepas Kerajaan Selangor menambah perlindungan insurans asas membabitkan 36 penyakit kritikal selain rawatan pesakit luar.

“Golongan B40 terutama miskin bandar diminta memohon dengan pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing.

“Walaupun kuota DUN itu sudah penuh, mohon sahaja kerana ia akan dibawa ke pihak kami untuk dinilai. Kita akan beri jika pemohon sememangnya layak,” kata Dr Siti Mariah Mahmud pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, setakat awal Januari ini seramai 81,000 individu layak menerima SIPS termasuk 2,000 permohonan yang masih dalam proses.

Katanya, penerima SIPS sebelum ini juga diminta mengemas kini maklumat diri di pusat khidmat DUN atau penyelaras bagi memastikan kebajikan ahli keluarga terpelihara.

“Kita juga akan lakukan pemutihan kerana didapati ada pemegang polisi yang tidak menepati kriteria. Kita mahu bantuan ini sampai pada golongan sasar,” katanya.

SIPS merupakan bantuan kesihatan kepada keluarga berpendapatan bawah RM2,000 dengan memperuntukkan bantuan pengebumian sebanyak RM1,000, perlindungan kemalangan diri (RM5,000), perlindungan penyakit kritikal (RM5,000) dan insurans nyawa (RM5,000).

Categories
AGENDA NASIONAL

Rakyat Selangor disaran manfaatkan Skim Insurans Peduli Sihat

SHAH ALAM, 15 JULAI: Keluarga berpendapatan RM2,000 ke bawah di Selangor disaran memanfaatkan tambahan bantuan yang disediakan menerusi Skim Insurans Peduli Sihat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pakej rangsangan Selangor prihatin yang diumum pada 1 April lalu memperuntukkan bantuan pengebumian sebanyak RM1,000, perlindungan kemalangan diri (RM5,000), perlindungan penyakit kritikal (RM5,000) dan insurans nyawa (RM5,000).

“Insurans kesihatan yang meliputi 85,000 keluarga ini bertujuan membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah (B40) untuk menerima rawatan asas serta pelbagai manfaat kesihatan lain.

“Aspek kesihatan sentiasa dititikberatkan dalam dasar pentadbiran negeri bagi memastikan rakyat Selangor menikmati kualiti kehidupan lebih baik,” katanya pada sidang media di lobi Bangunan Annex Dewan Negeri Selangor hari ini.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM42.5 juta di bawah Skim Insurans Peduli Sihat bagi mendepani krisis Covid-19. Skim tersebut yang diperkenalkan pada Disember 2016 membiayai rawatan kesihatan asas kepada 250,000 keluarga B40.