Categories
AGENDA SUKANKINI

Ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Kem skuad olahraga kebangsaan menerima perkhabaran sedih, selepas ketua jurulatihnya Mohd Manshahar Abdul Jalil dan dua ahli keluarganya didapati positif Covid-19.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk S.M. Muthu berkata, Mohd Manshahar bersama seorang anak lelakinya kini menjalani proses kuarantin di rumah selama 14 hari, selepas disahkan dijangkiti wabak tersebut pada Sabtu lepas.

“Saya berhubung menerusi WhatsApp dan beliau memberitahu keadaannya baik serta tidak menghadapi sebarang masalah, tahap jangkitannya juga rendah. Kita harap dan doakan beliau segera sembuh,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Muthu berkata terdahulu Mohd Manshahar yang mengalami demam panas telah berjumpa doktor pada Rabu lepas, sebelum melakukan ujian saringan Covid-19 pada Sabtu, apabila demamnya tidak beransur pulih.

Menurut Muthu, ketika ini hampir semua atlet olahraga di bawah Program Podium masih menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) secara ‘dalam kuarantin’ kecuali atlet lompat kijang Muhammad Hakimi Ismail, Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera) dan Iskandar Alwi (lompat bergalah).

Katanya, barisan atlet pelapis pula berada di rumah masing-masing dan dijadualkan kembali ke MSN pada 16 Jun depan.

Muthu berkata, atlet olahraga negara telah menjalani ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) dan kesemuanya didapati negatif.

Sementara itu, isteri Mohd Manshahar, Herina Wong Abdullah semalam dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang, demikian menurut catatan di Instagram rasmi anak perempuannya penyanyi Nur Nadia Natasha, 28, atau lebih dikenali sebagai Tasha Manshahar.

“Ayah nampaknya semakin baik Alhamdulillah. ‘Mummy’ je la. Paru-paru mummy ada jangkitan, tahap oksigen dalam badan pun tidak baik. Oleh itu, doktor kena ‘tidurkan’ dia dan masukkan tiub untuk bantu pernafasan sehingga keadaan kembali stabil,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada kejohanan antarabangsa buat skuad olahraga tahun ini

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: Skuad olahraga negara bakal memulakan latihan trek dan padang dalam masa beberapa hari lagi, namun mungkin terpaksa menunggu sehingga tahun depan untuk beraksi pada sebarang kejohanan antarabangsa.

Ia berikutan kebanyakan kejohanan utama hanya dijangka bermula tahun depan, selain keadaan pandemik Covid-19 di negara lain yang masih belum selamat sepenuhnya untuk perjalanan ke luar negara.

Ketua jurulatih negara, Mohd Manshahar Abd Jalil, berkata atlet negara yang baru kembali dari kem latihan semalam sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu, turut memerlukan lebih kurang tiga bulan untuk mengembalikan semula prestasi masing-masing.

“Jadi kemungkinan besar, kita hanya akan mengadakan kejohanan domestik pada Disember, sebelum mula menyertai kejohanan di luar negara selepas itu, bergantung kepada situasi Covid-19 dan kebenaran kerajaan. Kita juga belum menerima apa-apa jemputan untuk kejohanan luar negara setakat ini.

“Buat masa ini, kita akan fokus kepada penyesuaian, ujian kecergasan dan membina kekuatan fizikal. Tak guna untuk kita paksa atlet kerana tiada kejohanan utama sehingga tahun depan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Seramai 24 atlet Program Podium dan 10 atlet pelapis telah melaporkan diri di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil sehingga hari ini, manakala beberapa lagi atlet dijangka berbuat demikian dalam masa terdekat.

Kesemua atlet itu dijadual menjalani ujian calitan Covid-19 esok dan perlu menunggu sehingga keputusan tersebut sebelum memulakan latihan di MSN.

Mohd Manshahar mengingatkan bahawa semua atlet wajib mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang dikeluarkan oleh MSN dan pihaknya pada setiap masa demi keselamatan semua pihak.

“Ia termasuk dari aspek jarak sosial, pemeriksaan suhu sebelum latihan dan menjaga kebersihan. Sebagai contoh, ketika latihan di trek, mereka perlu mengosongkan satu lorong di antara dua atlet,” katanya.

Beberapa atlet negara seperti Lee Hup Wei, Nauraj Singh Randhawa, Andre Anura Anuar dan Muhammad Hakimi Ismail, adalah dalam usaha merebut tiket ke Sukan Olimpik Tokyo yang ditangguh ke Julai, 2021.

Persekutuan Olahraga Dunia menangguhkan semua kejohanan kelayakan Sukan Olimpik sehingga 30 November ini dan mengumumkan jendela kelayakan temasya itu akan disambung semula pada 1 Disember, dengan tarikh akhir ditetapkan pada 31 Mei 2021 untuk 50km jalan kaki dan maraton manakala 29 Jun 2021 bagi acara lain.

– BERNAMA