Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: 114 pelajar Seri Puteri di Maeps dalam keadaan baik

SERDANG, 5 DIS: Kesemua 114 pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Sekolah Seri Puteri Cyberjaya yang sedang menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) kerana positif Covid-19 berada dalam keadaan baik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad menasihatkan ibu bapa kesemua pelajar terbabit agar tidak bimbang kerana anak-anak mereka dijaga dengan baik di pusat kuarantin itu.

“Ibubapa tidak perlu bimbang kerana makanan di sini cukup. Cuma amalan (ibu bapa) menghantar makanan kepada anak-anak tiap-tiap minggu (seperti ketika anak mereka di asrama) tidak boleh di Maeps kerana takut ada unsur keracunan makanan,” katanya kepada Bernama selepas lawatan ke pusat kuarantin itu bagi melihat keadaan pelajar terbabit hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Dr Aminuddin Hassim dan Pengarah PKRC Maeps Dr Shahabuddin Ibrahim.

Sementara itu, Abdul Latiff mengajak pelajar di pusat kuarantin berkenaan untuk menyertai pertandingan menulis esei anjuran kementeriannya dengan menceritakan pengalaman masing-masing sepanjang berada di pusat kuarantin itu.

Abdul Latiff berkata dua kategori dipertandingkan iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dengan hadiah wang tunai RM500 untuk juara, RM300 untuk naib juara, RM100 untuk tempat ketiga dan RM50 hadiah sagu hati.

Beliau berkata inisiatif terbabit sebagai galakan kepada pelajar untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah ketika menjalani kuarantin.

Pada 1 Disember lepas, sebanyak 65 pelajar SBP Sekolah Seri Puteri Cyberjaya dihantar ke MAEPS manakala 49 orang lagi dihantar pada keesokan harinya kerana positif Covid-19 kategori satu dan dua untuk menjalani kuarantin.

Kategori satu dan dua merujuk kepada pesakit yang tidak mempunyai sebarang gejala atau memiliki gejala ringan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

24 pelajar lelaki Maktab Mahmud Sik positif Covid-19

ALOR SETAR, 3 DIS: Seramai 24 pelajar lelaki Maktab Mahmud Sik di Taman Pelangi Jaya dekat Sik, disahkan positif Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, telah melaporkan satu kluster institusi pendidikan yang baharu dikenali sebagai Kluster Dah Pelangi.

“Setakat ini sebanyak 24 kes positif telah dikesan, yang mana kesemuanya melibatkan pelajar-pelajar lelaki di asrama sekolah berkenaan.

“Kes kluster ini dikesan setelah beberapa pelajar mengalami gejala bermula 28 November lalu dan pihak pengurusan sekolah telah melakukan saringan bersasar kepada pelajar terlibat, dan kes mula didaftarkan positif pada hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata sehingga pukul 12 tengah hari tadi, seramai 38 individu telah disaring yang mana 24 daripadanya positif, 14 negatif dan tiada sampel menunggu keputusan yang lain hari ini.

“Punca penularan masih dalam siasatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sik. Pihak PKD Sik juga telah menjalankan isolasi dan pemerhatian terhadap kes-kes positif, manakala kontak rapat yang telah dikenal pasti telah diarahkan menjalani kuarantin.

“Notis penutupan sekolah juga telah diberikan dan berkuat kuasa hari ini sehingga kerja-kerja basmi kuman dan pencegahan penularan selesai dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Dr Mohd Hayati meminta orang ramai terutamanya pihak pengurusan sekolah untuk terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang telah digariskan oleh kerajaan.

“Pastikan patuh penjarakan fizikal sepanjang masa, elak bersentuhan dan bersembang dekat, pakai pelitup hidung dan mulut, hindari kawasan sesak, kerap mencuci tangan dan dapatkan imunisasi Covid-19,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Melaka: Pengundi Alor Gajah dikesan positif Covid-19

MELAKA, 20 NOV: Satu saluran mengundi di sebuah pusat pengundian di daerah Alor Gajah di sini ditutup sementara kira-kira jam 2.30 petang tadi, ekoran kejadian seorang pengundi disahkan positif Covid-19, ketika mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengarah Kesihatan Melaka Dr Rusdi Abd Rahman berkata, pihak Jabatan Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah menerima notifikasi daripada CAC Melekek, selepas keputusan ujian saringan pesakit berkenaan yang tidak menunjukkan sebarang gejala diterima setelah beliau selesai mengundi.

Menurutnya, pihaknya kemudiannya mengarahkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat mengundi terlibat, menutup sementara kawasan berisiko termasuk saluran mengundi bagi proses disinfeksi menyeluruh.

“Proses disinfeksi telah dijalankan dengan kerjasama pihak bomba dan pasukan pemantauan PKD Alor Gajah juga telah diarahkan ke pusat mengundi terlibat untuk memastikan kawalan infeksi dijalankan secara teratur,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata SPR juga telah mengambil langkah segera membuka bilik baharu kira-kira jam 3 petang bagi menggantikan saluran mengundi berkenaan dan menggunakan peralatan baharu.

“Jabatan Kesihatan Melaka memandang serius kejadian tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan dengan terperinci dan semua kontak rapat dan sosial sedang disiasat petugas Bilik Gerakan PKD Alor Gajah.

“Orang ramai juga diminta mendapatkan maklumat sahih dan sebarang pertanyaan mengenai perkara tersebut dengan menghubungi Crisis Preparedness and Response Center (CPRC) Melaka di talian 06-2345999 atau melalui e-mel [email protected].

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPR benarkan calon positif Covid-19 bertanding PRN Melaka

MELAKA, 7 NOV: Tiada halangan bagi calon yang positif Covid-19 untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh.

Bagaimanapun, beliau berkata borang pencalonan calon harus dihantar pada masa yang ditetapkan melalui wakil calon menerusi pencadang atau penyokong.

“Tiada masalah untuk mereka (calon) bertanding, asalkan mereka menghantar borang pencalonan itu pada masa ditetapkan,” katanya kepada Bernama di Menara Persekutuan di sini hari ini.

Beliau berkata saringan Covid-19 melibatkan calon juga tidak diwajibkan namun semua calon digalakkan melakukannya.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar, SPR turut menempatkan khemah khas di pusat pencalonan sekiranya terdapat calon yang bergejala Isnin ini.

“Khemah ini akan diuruskan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama SPR. Di pintu utama pusat penamaan calon, calon akan diperiksa saringan suhu badan, sekiranya suhu direkodkan melebihi 37.5 darjah Celcius, mereka akan dihantar ke khemah bergejala ini,” kata Abdul Ghani.

Beliau berkata segala proses semakan dan penyerahan borang penamaan calon akan diuruskan oleh pegawai SPR yang bertugas di khemah untuk mereka yang bergejala itu.

Katanya, sebanyak 12,900 petugas daripada pelbagai agensi termasuk KKM, polis dan pihak berkuasa tempatan terbabit pada PRN ini.

“Kita berharap semua penyokong parti politik yang diwakili bakal calon tidak berkumpul serta berarak di kawasan pusat penamaan dan sentiasa mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD Flat Samudera Timur: 400 individu disaring, 119 positif Covid-19

SHAH ALAM, 21 JULAI: Seramai 119 daripada 400 penduduk Flat Taman Samudera Timur, Gombak yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikesan positif Covid-19 setakat ini, maklum Pegawai Daerah Gombak.

Shukri Mohamad Hamin berkata seramai 26 pesakit dirujuk ke Hospital Sungai Buloh dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Serdang 2.0 manakala 93 lagi menjalani kuarantin di rumah.

Menurut beliau, pesakit di rumah dibekalkan kit penilaian kesihatan dan keadaan mereka dipantau petugas kesihatan di pusat penilaian Covid-19 (CAC) mini dibangunkan sementara di dewan komuniti flat berkenaan.

“Kes dikesan hasil saringan yang setakat ini sudah membabitkan 400 penduduk, hari ini kita akan buat pemeriksaan 104 saringan kontak rapat,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Shukri, proses suntikan vaksin kepada penghuni negatif Covid-19 dijangka dilaksana pada Isnin depan serentak dengan aktiviti saringan.

“Suntikan akan diberikan di CAC mini manakala saringan di tiga khemah khas disediakan,” katanya.

Pada 16 Julai, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Taman Samudera, Mukim Batu, Gombak antara 24 lokaliti dikenakan PKPD berkuat kuasa 18 hingga 31 Julai.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Enam pemain badminton sertai kejohanan di Sepanyol positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: Enam pemain badminton negara yang kembali ke Malaysia selepas menyertai kejohanan Spanish International 2021 baru-baru ini telah didapati positif Covid-19.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam kenyataan ringkas di laman Facebook hari ini memaklumkan bahawa keenam-enam pemain tidak mempunyai gejala dan telah dihantar ke pusat kuarantin susulan keputusan ujian mereka yang positif itu.

“Sebaik pulang ke Malaysia, mereka telah menjalani kuarantin wajib seperti yang diarahkan oleh pihak berkuasa. Mereka belum menjejakkan kaki ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) sejak pulang ke Malaysia dan tidak berinteraksi dengan pemain negara yang akan berangkat ke Olimpik Tokyo.

“Keenam-enam pemain hanya akan kembali ke ABM selepas pemain yang bakal beraksi di Tokyo berlepas ke Jepun. BAM mendoakan yang terbaik buat keenam-enam pemain dan semoga mereka cepat sembuh,” menurut kenyataan itu.

Malaysia diwakili 20 peserta pada kejohanan Spanish International yang berlangsung di La Nucia dari 16 hingga 19 Jun yang menyaksikan pemain badminton negara membawa pulang tiga kejuaraan.

Juara Sukan SEA 2019 S.Kisona mengenepikan pemenang kejohanan Remaja Dunia Goh Jin Wei dalam acara perseorangan wanita manakala Eoon Qi Xuan berjaya mara sehingga pertandingan separuh akhir.

Tee Kai Wun pula merangkul kejuaraan berganda apabila pemain berusia 21 tahun itu memenangi acara beregu campuran bersama Teoh Mei Xing sebelum berpasangan dengan Man Wei Chong untuk meraih kejuaraan dalam acara beregu lelaki.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Kem skuad olahraga kebangsaan menerima perkhabaran sedih, selepas ketua jurulatihnya Mohd Manshahar Abdul Jalil dan dua ahli keluarganya didapati positif Covid-19.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk S.M. Muthu berkata, Mohd Manshahar bersama seorang anak lelakinya kini menjalani proses kuarantin di rumah selama 14 hari, selepas disahkan dijangkiti wabak tersebut pada Sabtu lepas.

“Saya berhubung menerusi WhatsApp dan beliau memberitahu keadaannya baik serta tidak menghadapi sebarang masalah, tahap jangkitannya juga rendah. Kita harap dan doakan beliau segera sembuh,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Muthu berkata terdahulu Mohd Manshahar yang mengalami demam panas telah berjumpa doktor pada Rabu lepas, sebelum melakukan ujian saringan Covid-19 pada Sabtu, apabila demamnya tidak beransur pulih.

Menurut Muthu, ketika ini hampir semua atlet olahraga di bawah Program Podium masih menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) secara ‘dalam kuarantin’ kecuali atlet lompat kijang Muhammad Hakimi Ismail, Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera) dan Iskandar Alwi (lompat bergalah).

Katanya, barisan atlet pelapis pula berada di rumah masing-masing dan dijadualkan kembali ke MSN pada 16 Jun depan.

Muthu berkata, atlet olahraga negara telah menjalani ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) dan kesemuanya didapati negatif.

Sementara itu, isteri Mohd Manshahar, Herina Wong Abdullah semalam dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang, demikian menurut catatan di Instagram rasmi anak perempuannya penyanyi Nur Nadia Natasha, 28, atau lebih dikenali sebagai Tasha Manshahar.

“Ayah nampaknya semakin baik Alhamdulillah. ‘Mummy’ je la. Paru-paru mummy ada jangkitan, tahap oksigen dalam badan pun tidak baik. Oleh itu, doktor kena ‘tidurkan’ dia dan masukkan tiub untuk bantu pernafasan sehingga keadaan kembali stabil,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Saringan percuma hujung minggu kesan 39 kes Covid-19

SHAH ALAM, 1 MAC: Kerajaan Negeri mengesan 39 kes positif Covid-19 sepanjang dua hari penganjuran Saringan Komuniti percuma pada hujung minggu lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata saringan bersasar di Puchong, Klang dan Shah Alam melibatkan lebih 1,000 individu.

“Menerusi ujian Covid-19 yang dilaksanakan Kerajaan Negeri pada Sabtu dan Ahad lalu di empat lokasi berlainan, seramai 1283 individu tampil membuat saringan.

“Daripada jumlah itu, 39 individu dikesan positif. Ujian percuma ini akan diteruskan minggu ini,” katanya di Facebook.

Semalam, program itu berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Taman Puchong Indah yang mensasarkan penduduk berhampiran Kampung Sri Langkas, Taman Dahlia, Taman Puchong Perdana, Puchong Permata 2 dan Kampung Seri Andalas.

Pada Ahad, saringan diadakan di Dewan Serbaguna Pendamar Indah 2, Pelabuhan Klang dan Dewan Kenanga, Seksyen 28, Shah Alam.

Sebelum ini, program sama dilaksana di Dewan Seksyen 19 dan Seksyen 7 Shah Alam; Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Klang; Dewan Komuniti PJS 6, Petaling Jaya; Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam.

Menerusi Pakej Kita Selangor, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan RM6 juta untuk menjayakan ujian saringan bersasar percuma bagi membendung penularan wabak.

Program itu dijangka memanfaatkan 50,000 rakyat dengan tumpuan kepada golongan sasar seperti warga emas terutama di pusat penjagaan dan hemodialisis seluruh negeri termasuk kumpulan berpendapatan rendah (B40) serta mahasiswa anak Selangor.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hampir 5,000 petugas kesihatan KKM dijangkiti Covid-19 sejak pandemik

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Seramai 4,756 petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dijangkiti Covid-19 setakat ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 3,101 melibatkan petugas wanita dan 1,655 petugas lelaki.

“Kebanyakan mereka ini mendapat jangkitan dalam komuniti dan bukannya di fasiliti tempat mereka bertugas,” katanya dalam sesi libat urus media darurat Covid-19 bersama ketua pengarah kesihatan siri 2/201 secara dalam talian hari ini.

Sesi itu turut disertai oleh Pakar Perunding Kanan Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr C Suresh Kumar, Ketua Unit Viralogi Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Dr T Ravindran, Pengarah Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan, Dr Hani Mat Hussin dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Amalan Perubatan KKM, Dr Mohamed Ahsan Mohamed Ismail.

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata 936 barisan hadapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dijangkiti virus itu setakat ini.

Beliau turut berkata sehingga kini petugas kesihatan yang dijangkiti Covid-19 di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu ialah 93 orang.

“Kita sedang giat mengesan kontak rapat mereka dan mereka kini telah diasingkan untuk tujuan rawatan,” katanya.

Dalam sesi yang sama Dr Nor Hisham berkata satu lagi Varian B177 dikenal pasti di Malaysia baru-baru ini melibatkan individu yang pulang dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Mengulas lanjut Dr Ravindran berkata, sampel kes berkenaan adalah hasil saringan di pintu masuk antarabangsa.

Sebelum ini, varian B117 dikesan pada pertama kali di negara ini selepas rakyat tempatan pulang dari United Kingdom pada Disember lepas sebelum didapati positif pada 28 Disember.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pecca sahkan pekerja pengeluaran anak syarikat positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 22 DIS: Pecca Group Bhd (Pecca) mengesahkan pekerja pengeluaran anak syarikatnya, Pecca Leather Sdn Bhd (PLSB) positif ujian Covid-19 dalam saringan yang dijalankan oleh syarikat baru-baru ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Pecca berkata PLSB menjalankan saringan segera terhadap 597 pekerja serta mengesan kontak dan langkah-langkah kuarantin untuk mengurangkan penularan Covid-19.

“Selain itu, PLSB menguatkuasakan penjarakan fizikal dan langkah-langkah perlindungan yang dipertingkatkan, menyediakan tempat tinggal berasingan untuk pekerja yang tidak terjejas dan menjalankan aktiviti pembasmian kuman dan sanitasi di kawasan pengeluaran dan ruang awam.

“Bagi melindungi keselamatan pekerja dan kemudahan, PLSB turut memutuskan untuk menutup operasi aras pengeluaran dari 21-27 Disember, 2020,” katanya.

Sehingga 21 Disember, semua hasil ujian swab yang diterima menunjukkan 246 kes positif dan pekerja yang terjejas mendapat rawatan perubatan yang diperlukan, manakala kontak rapat menjalani kuarantin dan akan menjalani ujian selanjutnya.

Setakat ini, katanya tiada kes positif yang dicatatkan dalam kalangan pekerja yang bekerja di pejabat.

“Kos untuk ujian swab, langkah-langkah kuarantin dan proses pembasmian kuman dianggarkan sehingga RM500,000.

“Impak daripada penutupan operasi pengeluaran selama tujuh hari dijangka terhad kepada kurang daripada lima peratus daripada pendapatan tahun kewangan 2021 kumpulan,” katanya.

Pecca berkata sementara menunggu perkembangan lanjut dalam tempoh ini dan rundingan selanjutnya dengan Kementerian Kesihatan, PLSB menyasarkan untuk menyambung semula operasi pengeluaran selewat-lewatnya pada 28 Disember, 2020.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua pekerja RHB di Bangi positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 7 DIS: RHB Banking Group semalam mengesahkan bahawa dua pekerjanya di Kompleks RHB di Bangi, Selangor, telah diuji positif Covid-19.

Dalam kenyataan semalam, RHB berkata kali terakhir pekerja terbabit berada di pejabat adalah pada 27 November dan 30 November lepas dan kini menjalani proses kuarantin.

“RHB sedang membantu pihak berwajib bagi usaha pengesanan kontak dan sebagai langkah berjaga-jaga tambahan, pekerja lain yang terdedah dengan kedua-dua pekerja itu turut menjalani proses kuarantin di rumah masing-masing,” katanya.

Selain itu, usaha pembersihan secara menyeluruh dan sanitasi juga telah dijalankan sebagaimana ditetapkan oleh garis panduan Kementerian Kesihatan.

“Kami telah mengambil semua langkah-langkah perlu yang ditetapkan bagi memastikan kesihatan dan keselamatan para pelanggan, pekerja kami serta komuniti,” kata RHB.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

UOB Malaysia sahkan seorang staf positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 1 NOV: United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) hari ini mengesahkan seorang kakitangannya yang tidak berhadapan dengan pelanggan di Menara UOB, Jalan Raja Laut, di sini, telah disahkan positif Covid-19.

UOB Malaysia berkata kakitangan tersebut kini sedang menerima rawatan perubatan dan bank itu membantu beliau serta keluarganya dengan semua sokongan yang mungkin diperlukan semasa tempoh pemulihannya.

“Kami ingin memberi jaminan kepada semua pelanggan, kakitangan dan masyarakat bahawa kerja-kerja pembersihan yang menyeluruh sedang dijalankan di semua tingkat dan kawasan umum yang terlibat di Menara UOB selaras dengan garis panduan pihak berkuasa kesihatan.

“Kami juga ingin memberi jaminan kepada pelanggan bahawa kejadian ini tidak mengganggu perkhidmatan yang kami sediakan memandangkan bahawa bank telah melaksanakan pelan kesinambungan perniagaan yang mantap,” kata bank itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, UOB Malaysia berkata sembilan cawangan yang ditutup sementara dari 21 Oktober, 2020, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang disasarkan, akan beroperasi semula pada 2 November ini dengan waktu operasi yang lebih pendek.

Ini termasuk tiga cawangan di Kuala Lumpur (Jalan Imbi, Medan Pasar dan Kepong), empat cawangan di Selangor (Kota Damansara, Shah Alam, Ijok dan Jalan Othman, Petaling Jaya) dan 2 cawangan di Sabah (Tuaran dan Sandakan).

“Semua cawangan ini akan dibuka dari jam 9.30 pagi hingga 2 petang, Isnin hingga Jumaat, manakala kemudahan perbankan layan diri akan disediakan dari jam 6 pagi hingga 6 petang setiap hari.

“Kami akan terus melakukan segala usaha untuk membantu melindungi kesejahteraan kakitangan, pelanggan dan masyarakat dalam keadaan yang mencabar ini,” kata bank itu.

– BERNAMA