Categories
SELANGOR

Kepimpinan baharu diyakini mampu jayakan Pekawanis

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 9 NOV: Barisan kepimpinan baru Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) diyakini mampu meneruskan kecemerlangan dalam menjayakan pelbagai program untuk seluruh rakyat Selangor.

LOGO PEKAWANISNaib Yang Dipertua Pekawanis, Datin So Soh Koon, berkata Pekawanis akan meneruskan usaha dalam mengadakan program bagi membantu rakyat yang memerlukan dan beliau yakin kepimpinan baru mampu melaksanakannya dengan jaya.

“Saya berharap semua ahli dapat bekerjasama dengan Yang Dipertua baru untuk menjalankan tugas membantu rakyat Selangor,” katanya mengulas pelantikan isteri Dato’ Menteri Besar, Shamshida Taharin sebagai peneraju baharu pertubuhan berkenaan.

Katanya, rakyat Selangor memerlukan pembelaaan sewajarnya khususnya golongan kurng bernasib baik dan kurang berkemampuan termasuk dari kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Saya juga berharap Ahli Pekawanis mampu meluangkan lebih masa dalam menjayakan program supaya dapat meningkatkan mutu kehidupan rakyat Selangor,” katanya.

Ahli Pekawanis, Azlin Hezri, berkata Pekawanis pastinya akan terus bergerak aktif dan kepimpinan barunya akan meneruskan segala usaha yang telah dirancang sebelumnya.

Katanya, sememangnya selama ini Pekawanis turun padang dan memberi bantuan kepada rakyat walaupun sebenarnya ia tidak mempunyai peruntukan namun menerima bantuan sumbangan daripada pihak tertentu.

“Dengan pemilihan ahli jawatankuasa baru, saya merasakan ada nafas dan pengalaman baru yang boleh kita ambil dan kongsi.

“Kita merasakan kita ada pasukan yang bagus,” katanya.