Categories
NASIONAL

Selangor Sedia Memberikan Bantuan Sukan Kepada Penganut Sikh

PETALING JAYA, 7 JUN : Kerajaan Selangor bersedia untuk menyediakan peruntukan bagi penganut agama Sikh di negeri ini bagi menjalankan aktiviti sukan.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Selangor mempunyai peratus kumpulan belia tertinggi di Malaysia dan memperuntukkan RM67 juta untuk pembangunan sukan di negeri ini.

“Sukan adalah penting untuk mengelakkan belia terlibat dengan pelbagai gejala negatif,” katanya ketika merasmikan Festival Sukan Sikh Piala Gurdwara ke-61 di Stadium MBPJ semalam.

Turut hadir di majlis itu adalah Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman, Presiden Persatuan Sukan Sikh Malaysia-Singapura, Datuk Sohan Singh Randhawa dan Presiden Persatuan Sikh Selangor, Amarjeet Singh.

Sementara itu, festival sukan ini melibatkan 2,000 peserta dari 11 negeri di Malaysia serta negara jiran Singapura.

Festival in adalah untuk menggalakkan dan mempromosi sukan di kalangan penganut agama Sikh di Malaysia dan Singapura.

Amarjeet Singh berkata, mulai tahun akan datang, acara sukan lain akan ditambah dengan syarat minimum empat negeri akan menyertai acara sukan tersebut.

“Kebanyakan peserta dahulu yang mengambil bahagian dalam sukan ini berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa seperti sukan hoki, bola sepak dan balapan seperti Datuk Santokh Singh dan Serbegeth Singh.

Festival sukan ini berlangsung selama empat hari mulai hari ini dan antara acara sukan yang dipertandingkan adalah bola sepak, bola jaring, badminton, hoki dan golf.