Categories
PENDAPAT RENCANA

2020 masa ‘rehat’ bola sepak, jana semangat musim depan

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Tanggal 18 Mac 2020 akan terpahat buat selamanya dalam ingatan peminat bola sepak tempatan sebagai permulaan masa ‘rehat’ sukan nombor satu negara itu.

Pastinya tiada siapa boleh membayangkan permainan paling popular di dunia ini juga akan menjadi mangsa pandemik Covid-19 sehingga memaksa kerajaan Malaysia menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada hari itu.

Pandemik itu yang meragut lebih 1.6 juta nyawa penduduk dunia setakat ini menjejaskan perancangan hampir kesemua kejohanan, baik di peringkat domestik dan pentas luar negara sepanjang tahun, sehingga menyaksikan skuad kebangsaan menutup tirai 2020 tanpa sebarang aksi antarabangsa berbanding 13 perlawanan tahun lepas.

Lebih menyedihkan akibat penularan virus itu, Piala Malaysia, kejohanan bola sepak tertua di Asia Tenggara, buat pertama kalinya dibatalkan sejak 1947 yang pada waktu itu terkesan akibat Perang Dunia Kedua.

Azam Skuad Kebangsaan

Selepas beraksi cemerlang pada 2019, skuad kebangsaan melangkah ke 2020 bersama azam melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023, namun peminat Harimau Malaya terpaksa menunggu lebih lama apabila Covid-19 memaksa pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ditunda ke tahun depan.

Malah, misi skuad bimbingan Tan Cheng Hoe menebus kekecewaan setelah muncul naib juara Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2018, juga terbantut apabila beberapa kali ditangguh sebelum AFF memutuskan menunda kejohanan dwitahunan itu pada tahun ini ke Disember 2021 susulan Covid-19.

Pemain Selangor, Ifedayo Olusegun Patrick Omosyi (kanan) mengawal bola sambil diasak pertahanan PDRM pada aksi perlawanan CIMB Liga Super Malaysia 2020 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 3 Okt 2020. Foto BERNAMA

Di peringkat domestik, keutamaan kerajaan membendung wabak penyakit berjangkit itu menerusi pelaksanaan PKP memaksa kesemua aktiviti bola sepak profesional serta amatur ‘direhatkan’ seketika sebelum beberapa kejohanan akhirnya terpaksa dibatalkan.

Saingan Liga Super dan Liga Premier muncul dua kejohanan yang diberi kebenaran untuk kembali bersambung tanpa kehadiran penonton selepas tertangguh kira-kira lima bulan sejak Mac, sementara atas faktor kekangan masa Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membatalkan Piala FA dan Piala Cabaran.

Johor Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan kejuaraan Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut sementara Pulau Pinang ditabalkan juara Liga Premier selepas kedua-dua saingan itu kembali bersambung pada penghujung Ogos apabila mendapat ‘lampu hijau’ daripada kerajaan.

Impak Covid-19 Jejas Saingan

Namun, impak Covid-19 menyaksikan kedua-dua saingan itu dipendekkan kepada satu pusingan merangkumi 11 perlawanan berbanding format asal mempunyai dua pusingan (22 perlawanan), sementara beberapa kejohanan utama dibatalkan bagi memberi laluan kepada berlangsungnya Piala Malaysia.

Bagaimanapun, satu keputusan mengejut apabila Piala Malaysia pada awalnya mendapat kebenaran juga terpaksa dibatalkan selepas pusingan pertama berjaya dijalankan sedangkan kejohanan berprestij itu hanya berbaki tiga pusingan – suku akhir, separuh akhir dan final.

Senario itu membuktikan betapa agenda keselamatan dan kesihatan rakyat menjadi keutamaan kerajaan dalam memerangi Covid-19 dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berpendapat bola sepak membabitkan sentuhan sesama pemain boleh menyebabkan risiko jangkitan wabak itu.

Jurulatih Sementara Selangor Michael Feichtenbeiner memberikan arahan kepada pemain ketika sesi latihan di Pusat Latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FA Selangor) pada 10 Oktober 2020. Foto: Facebook FA Selangor

Ketegasan kerajaan turut terserlah apabila tidak memberi pelepasan kepada pasukan JDT menyertai saingan Liga Juara-Juara AFC 2020 Zon Timur di Doha, Qatar dari 18 Nov hingga 13 Dis susulan dasar kerajaan yang masih kekal menutup pintu sempadan negara.

Dalam pada itu, pembangunan di peringkat belia turut menerima kesan akibat Covid-19 ekoran keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membatalkan saingan Piala Belia dan Piala Presiden musim ini.

Malah, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) turut menangguhkan Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) AFC ke Mac 2021, yang mana skuad B-19 negara kendalian Brad Maloney mengintai peluang melakar sejarah menjadi pasukan Malaysia pertama membuat penampilan di pentas Piala Dunia B-20.

Anak Tempatan Bukti Keupayaan

Biarpun Covid-19 memberi tamparan hebat kepada arena bola sepak tempatan, peminat tempatan sebenarnya mempunyai sesuatu untuk dibanggakan serta dikenang pada 2020 apabila dua anak watan berjaya melebarkan sayap menyertai kelab Eropah.

Sejarah tercipta pada 24 Oktober apabila pemain muda negara Luqman Hakim Shamsudin muncul pemain Malaysia pertama membuat penampilan di liga utama Eropah selepas menandatangani kontrak lima tahun bersama pasukan liga profesional Belgium, KV Kortrijk pada Ogos lepas.

Pemain sayap skuad kebangsaan Muhammad Safawi Rasid layak beraksi di pentas liga utama Eropah berdasarkan pengalaman dan kemahiran. Foto: Facebook Sapawi Rasid

Sementara bintang JDT yang juga pemain skuad kebangsaan Muhammad Safawi Rasid menarik minat kelab profesional liga Portugal Portimonense S.C untuk dipinjamkan sehingga penghujung musim.

Dalam pada itu, FAM terus mengorak langkah menjalin kerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) membentuk Skuad Projek FAM-MSN yang bakal dibimbing bekas pemain kebangsaan Yusri Che Lah dan bakal beraksi dalam saingan Liga Premier bermula musim depan.

Langkah itu merupakan usaha mencipta laluan kerjaya produk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) termasuk graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dalam membantu barisan pemain muda negara mengharungi transisi ke pentas senior dan profesional.

Justeru, menjelang musim 2021, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berharap industri bola sepak negara kembali bersinar dengan sokongan semua pihak, selain skuad kebangsaan dapat melakar pencapaian membanggakan dengan layak beraksi pada pentas Piala Asia 2023.

– BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA RENCANA

Rentetan setahun suka duka Malaysia

OLEH HAFIZAN TAIB

Pelbagai peristiwa menarik dan tidak kurang menghadirkan kedukaan dalam kalangan rakyat dapat dirakamkan berlaku di Malaysia sepanjang tahun ini. Antaranya ialah:

JANUARI
1 Januari – Tahun Melawat ASEAN 2017 bermula secara rasmi.

9 Januari – Pemain bola sepak Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri, memenangi Anugerah Puskas untuk gol terbaik di Anugerah Bolasepak FIFA 2016 di Zurich, Switzerland.

FEBRUARI
13 Februari – Pembunuhan Kim Jong-nam:
Kim Jong-nam, abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, dibunuh di Malaysia oleh dua wanita tidak dikenali, spekulasi untuk menjadi ejen Korea Utara, ketika perjalanan
pulang ke Macau di terminal penerbangan tambang murah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Pada 14 Februari, polis Malaysia menahan seorang wanita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Doan Thi Huong, 28, yang memiliki dokumen perjalanan Vietnam dan dua
hari kemudian, warga Indonesia, Siti Aishah, 25, serta rakyat Malaysia, Muhammad Farid Jalaluddin, 26, bagi membantu siasatan.
Seorang rakyat Korea Utara, Ri Jong Chol, 46, turut ditahan bagi tujuan sama, beberapa hari berselang.

18 Februari – Jamilah Anu, balu kepada bekas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, memenangi Pilihan Raya Kecil Tanjong Datu dengan majoriti 6443.

MAC
8 Mac – Ulang tahun ketiga nahas penerbangan MH370 Penerbangan Malaysia.

22 Mac – Google Doodle memberi penghargaan kepada seniman agung, Tan Sri P Ramlee, di laman utama Malaysia untuk meraikan ulang tahun kelahirannya ke-88.

APRIL
13 April – Pelumba trek Malaysia, Azizulhasni Awang membawa pulang pingat emas dalam acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Dunia 2017 di Hong Kong. Beliau menjadi pemenang pingat Asia kedua memenangi pingat emas.

24 April – Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan, Sultan Muhamad V sebagai Yang Di-Pertuan Agong ke-15 di Istana Negara, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

MEI
24 Mei – Proton dan Geely menandatangani perjanjian yang menyaksikan Geely mengambil pegangan 49.9 peratus dalam Proton dan kepentingan mengawal dalam Lotus, pengeluar kereta sport British daripada Proton.

JUN
19 Jun – Hari Al-Quran Dunia diadakan di seluruh negara.
26 Jun – Pembukaan Movie Animation Park Studios di Ipoh, Perak. Ia menjadi taman tema animasi pertama, di Asia.

JULAI
10 Julai – Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, pelajar tahfiz meninggal dunia pada 26 April kerana disyaki dipukul warden hingga mencetuskan kemarahan orang awam. Beliau disahkan mati akibat penyakit bukan dipukul.

OGOS
31 Ogos – Malaysia meraikan ulang tahun ke-60 (Jubli Perak) Hari Kemerdekaan Negara bertema Negaraku Sehati Sejiwa.

SEPTEMBER
4 September – Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-11 menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar.

14 September – 23 pelajar dan dua guru terbunuh dalam kebakaran di sebuah sekolah agama, Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Ia adalah tragedi terburuk sejak kebakaran Madrasah Kedah 1989.

OKTOBER
1 Oktober – Pelumba Belgium dari Red Bull Racing, Max Verstappen, memenangi Grand Prix Malaysia terakhir di Sepang, Selangor, iaitu perlumbaan Formula Satu terakhir negara.

17 Oktober – Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Peter Bellew meletak jawatan dan kembali ke Ryanair sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO).

27 Oktober – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, membentangkan Bajet 2018.

NOVEMBER
5 November – Pulau Pinang dilanda banjir besar akibat hujan lebat sehari sebelumnya. Kejadian berlaku beberapa hari itu mengorbankan tujuh nyawa dan hampir 70,000 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

19 November – Perodua Myvi generasi ketiga dilancarkan secara rasmi.

DISEMBER
6 Disember – Pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, mendapat bantahan antarabangsa termasuk Malaysia yang menolak sekeras-kerasnya cadangan AS itu.

31 Disember – Tahun Melawat ASEAN 2017 secara rasmi berakhir.

 

SUKAN 2017
1. 20 Januari – 21 Oktober – Liga Perdana dan Liga Super Malaysia 2017 (Bola sepak)
2. 5 Februari – 20 Mei – Piala FA Malaysia 2017 (Bola sepak)
3. 4 Julai – 20 Oktober – Piala Malaysia 2017 (Bola sepak)
4. 22 Februari – 1 Mac – Tour de Langkawi 2017 (lumba basikal)
5. 19 – 30 Ogos – Sukan Asia Tenggara 2017
6. 17 – 23 September – Sukan Para ASEAN 2017
7. 29 September – 1 Oktober – Petronas Grand Prix Malaysia 2017 (Formula 1)
8. 27 – 29 Oktober – Shell Grand Prix Motosikal Malaysia 2017 (MotoGP)

BELASUNGKAWA
Sepanjang tahun menyaksikan beberapa kematian membabitkan kerabat diraja, tokoh dan orang kenamaan yang menimbulkan situasi sedih di Malaysia. Antara mendapat tumpuan:
11 Januari — Tan Sri Adenan Satem – Ketua Menteri Sarawak ke-5
18 Januari — Abdul Manan Othman – Ahli politik UMNO
1 Mac — Tan Sri Jins Shamsuddin – Pelakon veteran
24 Mac — Johan Nawawi – Komposer dan penerbit muzik; suami kepada penyanyi Nora
2 Mei — Datuk Seri A Rahman Rosly – Bekas Pengulas Sukan dan Menteri Sukan Terengganu
3 Jun — Rehman Rashid – penulis dan wartawan