Categories
NASIONAL SELANGOR

Air Selangor Selamat Untuk Digunakan

SHAH ALAM, 22 FEB : Dakwaan kerajaan Selangor akan membekalkan air tidak selamat kepada rakyat negeri ini disifatkan sebagai satu tohmahan berniat jahat dan buruk sangka tanpa usul periksa, kata Dr Xavier Jayakumar.

Dr Xavier berkata demikian sebagai merujuk lapiran media pro-BN bertajuk ‘Air Lombong Tak Selamat’ yang disiarkan pada 17 Februari lepas.

Katanya, kerajaan negeri di sentiasa komited menggunapakai sumber air mentah dari sumber air bawah tanah, bekas lombong, air hujan dan sungai yang dirawat bagi menampung keperluan rakyat di negeri ini.

Tambahnya, sumber air berkenaan perlu dirawat terlebih dahulu sebelum dijadikan air minum berdasarkan piawaian keselamatan dan kesihatan di negara ini.

Katanya, selain Lembaga Air Selangor(LUAS) yang memantau bagi pihak kerajaan negeri. Agensi pusat seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) dan Jabatan Kesihatan juga memantau untuk kepentingan pengguna.

Sementara itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, apa yang lebih penting, sebarang perbahasan mengenai air bekas lombong dan mana-mana sumber air yang berpotensi sepatutnya difokuskan kepada kos dan kelebihannya. Adalah tidak matang untuk menyarankan cadangan-cadangan ini tidak menguntungkan sebelum dijalankan analisis terhadap kos dan manfaatnya.

Mengulas projek penyaluran air mentah Pahang-Selangor Abdul Khalid berkata, projek ini akan membebankan rakyat Selangor dengan kenaikan kadar tariff air jika ia terus dilaksanakan. Oleh itu tidak sebab untuk ia dilaksanakan.

Pertama, Kerajaan Selangor akan dipaksa membelanjakan sejumlah RM8 bilion untuk membina Loji Langat 2. Kedua, Kerajaan Selangor akan dipaksa membayar kepada Kerajaan Pahang untuk air mentah yang disalurkan ke negeri ini.

Oleh itu, dana RM8 bilion itu boleh digunakan untuk memulihara Sungai Klang yang menjadi sumber air mentah tanpa had di Selangor.

Kerajaan Negeri tetap dengan pendirian bahawa projek Langat 2 bukan jalan penyelesaian kepada usaha membaiki mutu perkhdimatan industri air di Selangor dan Lembah Klang.

“Malah, penyelesaian secara holistik adalah perlu bagi memulihkan kegagalan dan kerugian akibat penswastaan industri air di Selangor. Penswastaan ini menyebabkan perkhidmatan air dipecah-pecahkan di mana keuntungan kepada syarikat-syarikat swasta manakala beban kos terpaksa ditanggung oleh Kerajaan Negeri. Ini adalah contoh klasik di mana syarikat swasta mendapat keuntungan manakala rakyat menanggung kerugian.

‘Walaupun Kerajaan Negeri masih terbuka mengadakan rundingan dengan syarikat konsesi dan kerajaan Pusat, tetapi kita sedari rundingan ini melalui jalan yang sukar,”katanya.