Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

ADN diminta tumpu kepentingan rakyat selaras titah Sultan

SHAH ALAM, 23 OGOS: Speaker Ng Suee Lim berharap semua Ahli Dewan Negeri (ADN) dapat memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat selaras dengan titah Sultan Selangor.

Beliau berkata titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj itu sangat jelas di mana Baginda tidak mahu perebutan kuasa dalam kalangan ahli politik merebak ke negeri ini sehingga memberi kesusahan kepada rakyat.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diiringi oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika hadir untuk merasmikan Dewan Negeri Selangor (DNS) yang bermula hari ini sehingga 6 September di Bangunan Annex pada 23 Ogos 2021. Foto RADIN WAZIR

“Saya harapkan ADN di Selangor tidak terlibat dengan perkara berkenaan dan beri tumpuan dengan menjaga kepentingan rakyat. Kurangkan berpolitik, beri fokus bagaimana mahu pastikan rakyat memperoleh vaksin.

“Ini agenda utama kita, yang mana mahu bergaduh biarkan mereka bergaduh tetapi di Selangor kita kekal terus beri perhatian kepada pemulihan ekonomi dan juga fokus nyah Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Ke-14 di Bangunan Annex di sini, hari ini.

Sementara itu, Suee Lim berpuas hati dengan tahap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dalam kalangan ADN yang hadir dan berharap ia kekal sehingga berakhir persidangan.

Katanya, demi memastikan tahap keselamatan Dewan Negeri Selangor terjaga dan bebas Covid-19 semua wakil rakyat telah diberikan kit ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) Covid-19.

“Mereka boleh lakukannya sendiri di rumah kerana pergerakan ADN ini sentiasa berhubung dengan rakyat jadi kit ujian ini bagi memastikan mereka negatif sebelum ke dewan,” katanya.

Pada 9 Julai, Dato’ Menteri Besar berkata persidangan itu mengikut format biasa meliputi soal jawab dan perbahasan, bukan sekadar sidang khas.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diiringi oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berangkat selepas merasmikan Dewan Negeri Selangor (DNS) yang bermula hari ini sehingga 6 September di Bangunan Annex pada 23 Ogos 2021. Foto NAZIR KHAIRI

Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan sidang dewan dibuat dengan pematuhan ketat tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Semua individu termasuk pengamal media disyaratkan lengkap dua dos vaksin, malah saringan menggunakan kit saliva dibuat setiap hari sebelum persidangan bermula.

Siaran langsung perbahasan wakil rakyat boleh diikuti menerusi https://selangortv.my/ dan https://www.facebook.com/MediaSelangor. Laporan ucapan dan perbahasan pula boleh diikuti melalui portal selangorkini.my.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan titah istiadat perasmian Dewan Negeri Isnin ini dibuat ringkas

SHAH ALAM, 20 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menitahkan perasmian istiadat pembukaan Dewan Negeri Selangor (DNS) Isnin depan dibuat ringkas susulan peningkatan kes Covid-19.

Speaker Ng Suee Lim berkata istiadat hanya membabitkan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj manakala kawalan kehormatan tentera dan sesi bergambar Baginda bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) dibatalkan.

Jelasnya kehadiran pada majlis itu juga dihad kurang 200 orang manakala ADN tidak perlu mengenakan pakaian rasmi istiadat memadai baju kebangsaan bagi wakil rakyat beragama Islam manakala sut lounge serta bersongkok bagi bukan Islam.

“Langkah ini membolehkan kita mengawal tatacara operasi piawai (SOP),” katanya pada sidang media di Bangunan Annex di sini, hari ini.

Suee Lim berkata semua ADN, pegawai kerajaan dan pengamal media perlu membuat ujian calitan wabak sebelum menghadiri persidangan DNS yang berlangsung sembilan hari hingga 6 September.

“Kita juga bekalkan kit ujian kendiri kepada semua ADN untuk mereka lakukan saringan sekurang-kurangnya dua hari sekali, ini bagi memastikan persidangan lancar dan penularan seperti di Parlimen tidak berlaku di sini,” katanya.

Selangor negeri pertama mengadakan sidang tersebut. Sebelum ini, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang dijadual bermula pada 12 Ogos ditangguh kepada 22 Ogos.

Siaran langsung perbahasan wakil rakyat boleh diikuti menerusi https://selangortv.my/ dan https://www.facebook.com/MediaSelangor.

Laporan ucapan dan perbahasan pula boleh diikuti melalui portal http://selangorkini.my.