Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

(TERKINI) Tragedi Sri Lanka: Letupan kelapan ragut nyawa polis

COLOMBO, 21 APRIL: Satu lagi letupan dilaporkan berlaku di Sri Lanka berhampiran kompleks perumahan di Dematagoda yang mengorbankan tiga anggota polis.

Letupan kelapan itu susulan beberapa siri letupan di tiga gereja dan empat hotel di Colombo, pagi tadi, yang meragut lebih 150 nyawa dan mencederakan beberapa individu lain dalam tempoh sehari.

Insiden letupan itu dilaporkan berlaku antara jam 8.30 hingga 9 pagi waktu tempatan, ketika penganut Kristian menyambut Hari Easter.

Hotel dan salah sebuah gereja itu berada di Colombo, manakala sebuah lagi gereja terletak di Negombo, utara bandar berkenaan.

Sumber polis memaklumkan, salah satu letupan terbabit berlaku di Gereja St Anthony di Kochcikade.

Angka korban dan cedera itu dijangka akan terus meningkat dari semasa ke semasa selepas pihak berkuasa mengemaskini jumlah terkini mereka yang terbabit.

 

Categories
GLOBAL

Sri Lanka isytihar perintah berkurung

COLOMBO, 21 APRIL: Kerajaan Sri Lanka mengisytiharkan perintah berkurung berkuat kuasa serta-merta, susulan beberapa siri letupan gereja dan hotel di Colombo, pagi ini.

Memetik laporan Astro Awani, kerajaan negara itu turut menutup akses ke media sosial dan perkhidmatan pesanan ringkas utamanya.

Terdahulu, beberapa siri letupan dilaporkan berlaku di tiga gereja dan empat hotel di Colombo, menyebabkan lebih 150 orang terbunuh dan lebih 400 lagi cedera.

Letupan itu berlaku antara kira-kira 8.30 hingga 9 pagi Ahad, ketika penganut Kristian menyambut Hari Easter.

Hotel dan salah sebuah gereja terbabit berada di Colombo, manakala sebuah lagi gereja terletak di Negombo, utara bandar berkenaan.

Sumber polis memaklumkan, salah satu letupan itu berlaku di Gereja St Anthony di Kochcikade.

 

Categories
GLOBAL

44 bekas ahli parlimen keluar parti

COLOMBO 12 NOV: Perdana Menteri Baharu Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa dan 44 bekas pembuat dasar meninggalkan parti diketuai Presiden Maithripala Sirisena.

Perkembangan mengejut itu berlaku dua minggu selepas Presiden melantik Rajapaksa sebagai Perdana Menteri.

Sirisena membubarkan parlimen, malam Jumaat lalu dan menetapkan pilihan raya pada 5 Januari depan. Tindakan itu dikritik komuniti antarabangsa dan dijangka memburukkan krisis politik negara terbabit.

Sejak dua minggu lalu, perebutan kuasa sengit berlaku di Sri Lanka, susulan pemecatan mengejut Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe dan pelantikan bekas pemimpin Rajapaksa menggantikan beliau.

Rajapaksa dan 44 bekas ahli parlimen daripada parti Sirisena meninggalkan Parti Kebebasan Sri Lanka (SLFP), semalam dan menyertai parti Sri Lanka Podujana Peremuna (SLPP) yang dibentuk adik Rajapaksa yang juga bekas menteri ekonomi, Basil pada 2016.

Sumber SLPP berkata, 65 daripada 82 bekas ahli parlimen SLFP akan menyertai parti baharu itu.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

PRU Sri Lanka 5 Januari 2019

COLOMBO, 10 NOV: Pilihan Raya Umum Sri Lanka bakal berlangsung pada 5 Januari 2019 selepas presidennya, Maithripala Sirisena membubarkan Parlimen, malam tadi.

Langkah yang dilihat bakal mengeruhkan lagi kemelut politik, di negara itu dan dijangka dicabar di mahkamah diumumkan dalam pekeliling rasmi ditandatangani Sirisena sendiri, malah beliau turut menetapkan tarikh persidangan Parlimen, pada 17 Januari 2019.

Keputusan itu berlaku selepas ketegangan politik sejak dua minggu lalu yang menyaksikan pemecatan mendadak Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe dan pelantikan pemimpin pro China, Mahinda Rajapaksa sebagai ganti.

Susulan pemecatan, Sirisena turut menggantung sidang Parlimen yang disifatkan Wickremesinghe sebagai cubaan menghalang beliau daripada mencabar keputusan berkenaan secara perundangan.

Sirisena kemudiannya bersetuju menggerakkan semula Parlimen, pada 14 November, namun keadaan itu tidak mungkin berlaku.

Wickremesinghe terdahulu enggan meninggalkan kediaman rasmi Perdana Menteri dan menegaskan, beliau dipilih secara sah mengikut majoriti Parlimen.

Sirisena sebelum menandatangani pembubaran Parlimen bertindak melantik beberapa sekutu termasuk Rajapaksa untuk memegang jawatan dalam kabinet.

Pakar perundangan bebas memberitahu, Parlimen hanya boleh dibubarkan awal tahun 2020 iaitu 4 1/2 tahun dari tarikh persidangan Parlimen sedia ada.

Satu-satunya cara yang sah untuk tindakan berkenaan adalah menerusi referendum atau perkenan daripada 2/3 penggubal undang-undang. – BHOnline/Reuters

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Isu China: Malaysia bakal senasib Sri Lanka, Zimbabwe?

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 31 JAN: Malaysia berisiko menerima nasib seperti Sri Lanka dan Zimbabwe yang terpaksa menyerahkan kepentingan strategik mereka kepada China ekoran kegagalan negara itu membayar pinjaman masing-masing.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, hal ini boleh berlaku sekiranya Kerajaan Malaysia gagal menjana keuntungan daripada projek Landasan Pantai Timur (ECR) untuk membayar hutangnya kepada China.

“Apa yang berlaku di negara seperti Sri Lanka adalah kerana hutang tak mampu dibayar dan perkara sama juga boleh berlaku kepada Malaysia.

“Maknanya, kita berhutang dengan China, hutang itu untuk menjalankan projek itu tetapi katakanlah jika keuntungan Landasan Pantai Timur (ECRL) ini tidak cukup untuk membayar hutang, China kata sebab kamu tak mampu bayar aku ambil projek ini. Kita terpaksa serahkan kepada China.

“Ini berlaku bukan sahaja di Sri Lanka tetapi juga di negara-negara Afrika dan negara-negara Caribbean,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, kepentingan strategik Sri Lanka iaitu Pelabuhan Hambantota di selatan negara itu yang merentangi laluan perkapalan timur-barat tersibuk di dunia, terpaksa dipajak selama 99 tahun kepada China.

Katanya, pelabuhan laut dalam itu dibuat bagi membolehkan Sri Lanka membayar hutang mereka kepada China.

=EZY=