Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Kajian: Tiada data tunjuk adanya konflik Muslim, Kristian

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 25 APR: Tiada unsur konflik antara penganut Islam dengan Kristian walau serangan di Sri Lanka dianggap “tindak balas” insiden tembakan di masjid Christchurch.

Kajian tentang keganasan oleh Universiti Maryland menunjukkan “tiada data menyokong jalan cerita berkembangnya perang antara agama”, lapor CNN kelmarin.

Memetik laporan Konsortium Kebangsaan bagi Kajian Keganasan dan Tindak Balas Terhadap Keganasan (START) di universiti tersebut, portal itu melaporkan hanya 1.45 peratus serangan pengganas di seluruh dunia melibatkan rumah ibadat antara 1970 hingga 2017.


Anggota keselamatan Sri Lanka memeriksa bahagian dalam gereja St. Sebastian di Negombo pada 22 April 2019, sehari selepas serangan bom pengganas. – Foto AFP.

“Apabila anda mengambil kira serangan pengganas terhadap tokoh dan institusi agama, jumlahnya hanya meningkat 1 peratus kepada 2.44 peratus,” lapor stesen TV terkenal itu.

Ia mengulas kenyataan Menteri Pertahanan Sri Lanka, Ruwan Wijewardene, yang mendakwa siri pengeboman di gereja dan hotel pada Ahad lalu akibat serangan di dua masjid New Zealand.

Lebih 350 terbunuh dalam serangan di lapan lokasi sempena sambutan Hari Paskah dan beratus-ratus lagi cedera. Kira-kira 60 orang suspek ditahan setakat ini.

ISIS, kumpulan pengganas yang berpangkalan di Syria, mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut. Sementara ada laporan menyebut Jamaah Tawheed Nasional terlibat.

Pengurus pangkalan data START Erin Miller dilaporkan mengingatkan pelampau Islam turut menyerang penganut agama itu, sekali gus menyanggah tanggapan konflik Muslim dengan Kristian.

“Jadi, walau penganut agama dan ramai lagi terkejut dengan serangan ke atas rumah ibadat, kita wajar meragui penganalisis yang menyebarkan naratif ‘pertembungan perabadan’.

“Data tidak menunjukkan idea (konflik Muslim dengan Kristian) tersebut, sekurang-kurangnya bukan pada saat ini,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Angka korban Sri Lanka meningkat 359 orang

COLOMBO, 24 APRIL: Jumlah kematian akibat beberapa siri letupan bom di Sri Lanka pada Ahad kini meningkat kepada 359 orang, demikian menurut polis pada Rabu.

Lebih 34 warga asing adalah antara yang terbunuh, kata Kementerian Luar Negeri.

Jurucakap Polis Ruwan Gunasekara berkata, 18 lagi suspek ditahan pada Rabu pagi.

Gunasekara berkata polis turut menemui sebuah motosikal dan empat unit walkie-talkie di sebuah rumah di Warakapola, kira-kira 56 km dari ibu kota Colombo.

Setakat ini, 58 suspek ditahan sejak Ahad.

Pada 21 April lalu, letupan terbabit dilaporkan berlaku di seluruh Sri Lanka, ketika ratusan penganut berhimpun di gereja untuk memperingati Hari Easter, kata polis.

Satu letupan berlaku di Gereja St Anthony di Kochchikade manakala letupan kedua di Gereja St Sebastian di Negombo, kedua-duanya terletak di pinggir ibu kota pada Ahad pagi.

Letupan ketiga menggegarkan Gereja Zion di timur bandar Batticaloa.

Beberapa letupan turut menggegarkan tiga hotel lima bintang di Colombo, manakala satu letupan dilaporkan berlaku di sebuah hotel yang terletak bertentangan sebuah zoo di Dehiwala dan satu lagi di sebuah kompleks perumahan di Dematagoda, kedua-duanya di ibu kota.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Tragedi Sri Lanka: Angka korban meningkat 310

 

COLOMBO, 23 APR: Jumlah kematian akibat insiden pengeboman maut di Sri Lanka pada Ahad meningkat kepada 310 orang, lapor agensi berita Xinhua, memetik polis hari ini.

Satu lagi letupan kecil berlaku di Kochchikade di ibu kota Colombo petang semalam, bagaimanapun tindakan pantas Skuad Pemusnah Bom berjaya mengawal keadaan menjadi lebih buruk.

Jurucakap Polis, Ruwan Gunasekara berkata, setakat ini 26 suspek telah ditahan dan operasi mencari diteruskan bagi mengesan suspek lain.

Katanya, langkah keselamatan terus dipertingkatkan di seluruh negara dan menggesa orang ramai tidak berhimpun di tempat awam.

Orang ramai juga diminta segera memaklumkan pihak polis jika menemui bungkusan mencurigakan yang ditinggalkan di jalan raya atau di dalam pengangkutan awam.

Jurucakap kabinet Sri Lanka, Rajitha Senaratne, memberitahu pemberita semalam bahawa polis sebelum ini dikatakan menerima maklumat kemungkinan berlaku serangan pengganas, namun tidak mengambil sebarang langkah pencegahan.

Kerajaan akan menyiasat perkara itu dan memohon maaf atas apa yang berlaku, katanya.

Presiden Maithripala Sirisena mengisytiharkan darurat dari tengah malam semalam untuk memastikan keselamatan rakyat dan penyelenggaraan barang keperluan serta perkhidmatan.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Sri Lanka isytihar 23 April hari berkabung

ANKARA, 23 APR: Sri Lanka mengisytiharkan 23 April sebagai hari berkabung nasional selepas beberapa siri pengeboman maut berlaku pada hujung minggu, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik media tempatan, pada Isnin.

Keputusan itu dibuat semasa mesyuarat Majlis Keselamatan Nasional yang dipengerusikan Presiden Sri Lanka, Maithripala Sirisena.

Sirisena juga dijangka bertemu diplomat asing untuk mendapatkan bantuan antarabangsa.

Tiga anak jutawan peruncitan Denmark Anders Holch Povlsen turut terbunuh dalam insiden pengeboman itu.

Povlsen, 46, lelaki terkaya Denmark, merupakan pemegang saham utama dalam syarikat peruncitan fesyen online Britain iaitu Asos dan CEO perniagaan borong fesyen, Bestseller.

“Kami tidak mempunyai sebarang kenyataan lanjut dan kami meminta agar privasi keluarga ini dihormati pada masa ini,” kata Jesper Stubkier, pengurus komunikasi Bestseller, dalam satu kenyataan.

Sekurang-kurangnya 290 maut manakala lebih 500 lagi cedera dalam beberapa siri pengeboman yang menyasarkan gereja serta hotel mewah di tiga bandar di Sri Lanka pada Hari Easter.

Sejumlah 39 warga asing, termasuk dua dari Turki, terbunuh dalam serangan itu.

Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab setakat ini.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Insiden Sri Lanka: Angka kematian meningkat 290

COLOMBO, 22 APRIL: Angka kematian dalam kejadian beberapa siri letupan Sri Lanka, pada Ahad kini meningkat 290 orang, manakala lebih 500 cedera, lapor agensi berita Xinhua, memetik polis pada Isnin.

Laporan sebelum ini menyatakan seramai 228 terkorban dengan 450 cedera dalam sembilan serangan di tiga gereja dan empat hotel di seluruh negara.

Pihak berkuasa Pembangunan Pelancongan Sri Lanka berkata, dalam satu kenyataan pada Ahad petang berkata 32 warga asing antara yang terbunuh.

Jurucakap Polis, SP Ruwan Gunasekara, berkata 24 orang telah ditahan susulan insiden itu dan siasatan masih dijalankan untuk mengesan lebih ramai suspek.

Dua suspek ditahan di Dambulla di wilayah tengah pada Isnin pagi, kata jurucakap itu.

Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe berkata semua yang ditahan adalah warga tempatan.

Presiden Maithripala Sirisena, yang berada di luar negara ketika kejadian berlaku, memanggil mesyuarat Majlis Keselamatan Negara pada awal Isnin.

Gunasekara berkata perintah berkurung di seluruh negara yang dikuatkuasakan pada Ahad petang ditarik balik Isnin pagi dan sistem pengangkutan awam juga kembali seperti biasa. Bagaimanapun, sekolah masih ditutup pada Isnin dan Selasa.

Tahap keselamatan di seluruh negara terus diperketatkan dan polis mengingatkan orang ramai lebih berhati-hati.

Bom paip yang ditemui berhampiran lapangan terbang utama di Colombo pada Ahad berjaya dimatikan pasukan udara Sri Lanka pada Isnin, kata polis.

Serangan itu bermula Ahad bagi di Gereja St. Anthony di Kochchikade di ibu kota Colombo dan di Gereja St. Sebastian di Negombo, di pinggir ibu kota manakala letupan ketiga dilaporkan di Gereja Zion di timur bandar Batticaloa.

Beberapa letupan turut menggegarkan tiga hotel lima bintang di Colombo manakala pada petang Ahad, satu letupan dilaporkan berlaku di sebuah hotel yang terletak bertentangan dengan sebuah zoo di Dehiwala manakala satu lagi di sebuah kompleks perumahan di Dematagoda, kedua-duanya di ibu kota.

Serangan itu merupakan insiden berdarah terkini di Sri Lanka sejak perang saudara berakhir 10 tahun lalu. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Agong kutuk serangan keganasan di Sri Lanka

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini mengutuk sekeras-kerasnya pelaku serangan keganasan di beberapa lokasi di Sri Lanka, semalam.

Seri Paduka turut menzahirkan perasaan dukacita yang amat mendalam atas kehilangan nyawa dan kecederaan yang berlaku.

“Seri Paduka juga mengucapkan takziah dan simpati yang tidak terhingga kepada mangsa-mangsa jenayah tidak berperikemanusiaan dan tidak bertamadun itu, yang disasarkan kepada orang tidak berdosa semasa sambutan perayaan Easter, iaitu ketika penganut Kristian sedang berkumpul untuk berdoa dan merayakan sambutan itu.

“Seri Paduka turut menyatakan sokongan dan solidariti Malaysia dengan mangsa-mangsa, keluarga mereka dan rakyat Sri Lanka,” menurut kenyataan dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya DiRaja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, hari ini.

Yang di-Pertuan Agong juga amat yakin rakyat Sri Lanka akan terus bersabar mempertahankan kekuatan dan kemanusiaan mereka dalam menghadapi tragedi yang amat mengerikan itu.

Satu siri letupan menggegarkan beberapa lokasi iaitu Gereja Kochikade, Gereja Katuwapitiya, Shangri-La Hotel, Cinnamon Grand Hotel dan Gereja St Barnabas di Batticaloa di Colombo pada 8.30 pagi waktu tempatan, mengorbankan lebih 200 orang.

Terdahulu, pada Ahad, Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata tiada rakyat Malaysia menjadi mangsa dalam kejadian itu. -BERNAMA

Categories
GLOBAL

Sri Lanka tarik semula perintah berkurung

COLOMBO, 22 APRIL: Pihak berkuasa Sri Lanka menarik balik perintah berkurung di negara itu hari ini, sehari selepas 290 orang terbunuh dan kira-kira 500 lain cedera dalam siri serangan bom yang memusnahkan gereja dan hotel mewah Hari Easter, semalam.

Menurut BH Online yang memetik laporan asal Reuters, tiada pihak mengaku bertanggungjawab dalam serangan dua gereja dan empat hotel di dalam dan sekitar ibu kota ini, serta gereja ketiga di pantai timur laut negara itu.

Sumber kerajaan berkata, Presiden Maithripala Sirisena, yang berada di luar negara ketika serangan berlaku, memanggil mesyuarat Majlis Keselamatan Nasional awal hari ini.

Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe akan hadir mesyuarat berkenaan, kata sumber.

Ada kebimbangan serangan itu mungkin mencetuskan keganasan rakyat terbaharu, dengan polis melaporkan lewat semalam, berlaku serangan bom petrol ke atas masjid di barat laut Sri Lanka dan kebakaran dua kedai milik penduduk Islam di barat.

Perintah berkurung di negara kepulauan itu ditarik balik awal hari ini walaupun lalu lintas lengang di ibu kota yang biasanya sibuk.

Tentera bersenjatakan senapang automatik berkawal di luar hotel terkenal dan Pusat Dagangan Dunia di daerah perniagaan, di mana empat hotel menjadi sasaran semalam, menurut saksi Reuters.

Sejumlah besar penduduk yang terkandas di lapangan terbang utama mula pulang ketika sekatan ditarik balik.

Kerajaan turut menyekat akses media sosial dan mesej termasuk Facebook dan WhatsApp, menjadikan maklumat sukar sampai.

Majoriti rakyat Sri Lanka maut dalam serangan walaupun pegawai kerajaan berkata 32 rakyat asing turut terbunuh termasuk Britain, Amerika Syarikat, Turki, India, China, Denmark, Belanda dan Portugis.

Categories
GLOBAL

Insiden Sri Lanka: UNAOC kutuk serangan pengganas

NEW YORK, 22 APRIL: Miguel Moratinos, wakil tinggi bagi Pakatan Ketamadunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNAOC) mengutuk sekeras-kerasnya beberapa siri serangan pengganas di Sri Lanka, lapor agensi berita China Xinhua memetik satu kenyataan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan jurucakapnya Nihal Saad, Moratinos menegaskan bahawa “serangan pengganas yang keji itu tidak seharusnya menghalang kita daripada mengambil satu pendirian kolektif terhadap keganasan dalam semua bentuk.”

Beliau berjanji meneruskan usaha membangunkan Pelan Tindakan bagi melindungi tapak keagamaan untuk memberi jaminan kepada penganut bahawa mereka boleh melakukan ibadat dengan selamat atas semangat keamanan dan belas kasihan.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres pada 22 Mac meminta Moratinos membangunkan satu pelan tindakan bagi melindungi tapak keagamaan dengan lebih baik susulan beberapa serangan pengganas ke atas tapak terbabit.

Beberapa siri serangan ke atas gereja dan hotel di Sri Lanka pada Ahad telah meragut lebih 200 nyawa serta mencederakan lebih 450 orang setakat ini. -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor kutuk tindakan keganasan di Sri Lanka

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 22 APRIL: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan tidak berperikemanusiaan di Sri Lanka yang mengorbankan lebih 160 orang, termasuk warga asing.

“Saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga mereka, ingatan dan doa saya adalah untuk mereka.

“Tambah menyedihkan apabila insiden itu berlaku ketika penganut agama Kristian menyambut Easter Sunday sehingga ia mencemari hari kegembiraan mereka,” tulis Amirudin menerusi twitternya, semalam.

Semalam, dunia dikejutkan dengan beberapa siri kejadian letupan termasuk di Kochikade Church, Katuwapitiya Church, Shangri-La Hotel, Cinnamon Grand Hotel dan Gereja St Barnabas di Batticaloa, Colombo pada 8.30 pagi waktu tempatan.

Kementerian Luar turut mengesahkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terbunuh dalam kejadian berkenaan dan pada masa sama menasihati rakyat Malaysia yang berada di kawasan berdekatan supaya berhati-hati.

Kementerian luar turut meminta warganegara Malaysia di sana mengikuti perkembangan terkini menerusi laporan berita tempatan dan pihak berkuasa tempatan.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Colombo sedang memantau rapi situasi terbabit.

 

 

Categories
GLOBAL

Tragedi Sri Lanka: Polis tahan 13 inidividu

COLOMBO, 22 APRIL: Seramai 13 individu ditahan susulan beberapa siri letupan yang meragut 228 nyawa di seluruh negara pulau itu, lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan.

Polis berkata, kesemua suspek ditahan di ibu kota Colombo dan 10 daripada mereka tdiserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah.

Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe berkata, kesemua yang ditahan adalah warga Sri Lanka dan operasi pencarian sedang dijalankan untuk memburu lebih ramai suspek.

Beliau berkata, sejumlah 228 orang maut manakala 450 lagi cedera dalam lapan insiden letupan pada Ahad.

Presiden Maithripala Sirisena turut melantik satu suruhanjaya khas untuk menyiasat serangan itu.

Letupan terbabit dilaporkan berlaku di seluruh Sri Lanka, semalam ketika ratusan penganut berhimpun di gereja untuk memperingati Hari Easter, kata polis.

Jurucakap polis SP Ruwan Gunasekara berkata, satu letupan berlaku di Gereja St Anthony di Kochchikade manakala letupan kedua di Gereja St Sebastian di Negombo, kedua-duanya terletak di pinggir ibu kota pada Ahad pagi.

Letupan ketiga menggegarkan Gereja Zion di timur bandar Batticaloa.

Beberapa letupan turut menggegarkan tiga hotel lima bintang di Colombo, manakala satu letupan dilaporkan berlaku di sebuah hotel yang terletak bertentangan sebuah zoo di Dehiwala dan satu lagi di sebuah kompleks perumahan di Dematagoda, kedua-duanya di ibu kota. -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia sedia hulur bantuan kepada Sri Lanka

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Malaysia bersedia untuk menghantar bantuan kepada kerajaan Sri Lanka bagi kerja pemulihan di kawasan terjejas ekoran serangan bom terancang yang menggegarkan beberapa lokasi di negara pulau itu, dan mengorbankan ratusan orang, semalam.

Menteri Luar  Datuk Saifuddin Abdullah berkata demikian dalam kenyataan ringkas yang dimuat ke dalam akaun Facebook beliau malam tadi.

Saifuddin berkata beliau sudah bercakap dengan rakan sejawatannya dari Sri Lanka, Tilam Marapana untuk menyampaikan takziah daripada kerajaan Malaysia kepada mangsa dan keluarga yang terjejas dalam insiden serangan yang tidak masuk akal serta kejam itu.

“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan ini dan menggesa supaya pelakunya dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Satu siri letupan menggegarkan beberapa lokasi iaitu  Gereja Kochikade, Gereja Katuwapitiya, Shangri-La Hotel, Cinnamon Grand Hotel dan Gereja St Barnabas di Batticaloa di Colombo pada 8.30 pagi waktu tempatan, mengorbankan ratusan nyawa, termasuk sembilan warga asing.

Semalam, Wisma Putra menerusi satu kenyataan mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang menjadi mangsa dalam insiden itu. -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Tragedi Sri Lanka: Angka kematian meningkat 207 orang

COLOMBO, 21 APRIL: Angka kematian dalam lapan siri letupan di Sri Lanka hari ini meningkat kepada 207 orang, manakala 450 cedera, menurut BH Online yang memetik laporan AFP.

Jurucakap polis, Ruwan Gunasekera berkata, setakat ini tiga orang sudah ditahan berhubung serangan yang mensasarkan hotel mewah di ibu negara, selain gereja.

Katanya, polis juga sedang menyiasat sama ada penyerang bom nekad terbabit dalam semua letupan itu.

Insiden letupan itu dilaporkan berlaku antara jam 8.30 hingga 9 pagi waktu tempatan, ketika penganut Kristian menyambut Hari Easter.

Hotel dan salah sebuah gereja itu berada di Colombo, manakala sebuah lagi gereja terletak di Negombo, utara bandar berkenaan.

Sumber polis memaklumkan, salah satu letupan terbabit berlaku di Gereja St Anthony di Kochcikade.

Angka korban dan cedera itu dijangka akan terus meningkat dari semasa ke semasa selepas pihak berkuasa mengemaskini jumlah terkini mereka yang terbabit.