Categories
NASIONAL

SST vs GST: Pemimpin Umno bercanggah?

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR,19 JULAI: Pemimpin pembangkang turut mengakui Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mengutip lebih banyak wang daripada poket rakyat, berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sebelum ini, Ahli Parlimen Rembau, Mohd Khairy Jamaluddin menerusi Twitter mencadangkan Kerajaan menurunkan kadar GST ke paras sama dengan SST.

“Kenyataan Yang Berhormat Rembau jelas bercanggah dengan kenyataan Yang Berhormat Pekan bahawa SST lebih membebankan daripada GST.

“Jelas sekali satu-satunya pihak yang mempolitikkan isu ini adalah Umno,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Guan Eng berkata, ini membuktikan dalam Umno sendiri terdapat dua pendapat bercanggah dengan satu pihak memburukkan dasar kerajaan Pakatan Harapan, manakala satu pihak lagi mengakui SST adalah kutipan cukai lebih rendah kepada rakyat.

Katanya, Kementerian Kewangan sebelum ini terkejut apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Umno mengeluarkan kenyataan mengelirukan dengan mendakwa rakyat akan terbeban jika GST dimansuhkan dan SST diperkenalkan semula.

“SST yang kita perkenalkan nanti adalah sistem percukaian yang ditambahbaik berbanding dahulu,” katanya.

Categories
EKONOMI NASIONAL

SST kembalikan RM23 bilion aliran tunai rakyat

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperkenalkan semula pada September ini dijangka menambah aliran tunai RM23 bilion setahun untuk kegunaan rakyat dalam pasaran.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, hal itu ekoran SST hanya mengutip RM21 bilion setahun, berbanding Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM44 bilion setahun yang dikutip daripada poket rakyat.

“Setakat ini, Yang Berhormat Pekan masih belum memberikan jawapan, bagaimana SST akan lebih membebankan rakyat berbanding GST jika kutipan yang dijangkakan daripada SST hanyalah RM21 bilion untuk tempoh setahun, sementara GST dijangka mengumpul RM44 bilion bagi 2018.

“Rakyat Malaysia masih belum menerima maklum balas bagaimana GST dikatakan lebih baik berbanding SST, walaupun GST memerah kutipan cukai yang lebih tinggi sebanyak RM23 bilion,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Guan Eng berkata, RM23 bilion yang dikembalikan kepada rakyat akan merangsang permintaan pengguna swasta dan meningkatkan keyakinan pelabur serta menjana pertumbuhan ekonomi lebih rancak.

Katanya, barangan yang dikenakan cukai SST juga lebih sedikit iaitu hanya 38 peratus daripada bakul barangan dan perkhidmatan Indeks Harga Pengguna (CPI), berbanding 60 peratus bakul barangan dan perkhidmatan CPI bagi GST.

“Kerajaan Pakatan Harapan tidak menafikan rakyat mungkin akan terkesan daripada segi kewangan susulan pelaksanaan SST tetapi hampir separuh ringan berbanding GST,” katanya.