Categories
EKONOMI NASIONAL

SST: Harga barangan masih kekal

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Hari pertama pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) hari ini menyaksikan kebanyakan barangan terutama barangan keperluan tidak mengalami peningkatan.

Masih terlalu awal untuk memperkatakan kesan SST terhadap harga barangan kerana peniaga masih menjual barangan stok lama yang tidak dikenakan cukai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), yang telah dimansuhkan sejak tiga bulan lalu, sekaligus pelaksanaannya masih belum memberi impak kepada pengguna setakat ini.

Bagi pengguna mereka mengharapkan agar situasi ini berkekalan kerana SST seharusnya memberi kesan minimum kepada pengguna sambil menggesa pihak berkuasa memantau peniaga.

Di KEDAH, tinjauan Bernama di sebuah kedai makan nasi kandar terkenal di Jitra mendapati tiada kenaikkan harga yang berlaku dan harga makanan dan minuman di premis itu masih kekal sama.

Seorang pekerja kedai makan tersebut berkata sebarang kenaikan harga makanan dan minuman akan dimaklumkan kepada pelanggan terlebih dahulu.

“Buat masa ini semua harga masih pada harga lama kerana bekalan bahan mentah kami beli dengan harga borong sebelum pelaksanaan SST ini. Jika ada kenaikan, kami akan maklumkan kepada pelanggan yang datang ke kedai,” katanya.

Selain itu, tinjauan Bernama di Pasar Besar Jitra juga mendapati para peniaga tidak menaikkan harga barangan bahan mentah.

Berkuatkuasa hari ini, SST dilaksanakan dengan kadar 10 peratus bagi cukai jualan dan enam peratus cukai perkhidmatan, menggantikan GST susulan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan 2018 dan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 diluluskan Parlimen pada 20 Ogos lepas.

Sebelum ini, GST mula dikuatkuasa pada 1 April 2015 dengan kadar sebanyak enam peratus setelah diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu bagi menggantikan SST.

Di PAHANG, situasi sama berlaku apabila tinjauan di sebuah kedai makan di Kuantan, mendapati harga makanan dan minuman yang dijual masih sama seperti semalam, dan rata-rata pelanggan berharap perkara itu dapat dikekalkan pada masa akan datang.

Bagi pekerja swasta Mahidi Ahmad, 49, harga barangan di sebuah kedai runcit di Kuantan masih sama semasa membeli barangan keperluan hari ini.

” Sebenarnya saya bimbang juga jika ada perbezaan harga jika ke pasaraya pada hujung bulan ini untuk membeli barangan dapur selepas gaji… bimbang ada peningkatan ketara dalam jumlah semua pembelian kerana lazimnya beli dalam kuantiti kecil ini tidak begitu terasa,” katanya.

Di NEGERI SEMBILAN, tiada perubahan harga direkodkan bagi harga biskut berdasarkan perbandingan yang dibuat semalam dan hari ini.

Berdasarkan tinjauan di sebuah pasaraya semalam telah merekodkan pembelian sebungkus biskut jenama Hup Seng pada harga RM3.95 dan hari ini harganya masih kekal sama.

Seorang pengguna, Dewi Jidin, 58, berkata harga yang ditawarkan masih masih sama walaupun pelaksanaan SST telah dilaksanakan hari ini.

“Harga masih lagi stabil kerana sebelum ini saya membeli beras dengan yang sama RM13.90 bagi lima kilogram beras, pelaksanaan SST ini masih baru lagi, jadi tidak nampak kenaikan harga di situ,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

KPDNHEP siapkan pelan menyeluruh pelaksanaan SST

BUTTERWORTH 1 SEPT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menyiapkan pelan tindakan menyeluruh berhubung pelaksanaan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) untuk dibentangkan kepada Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara.

Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, majlis tindakan itu yang akan bermesyuarat buat pertama kali pada hujung bulan ini akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

 

“Pelan tindakan itu turut merangkumi jadual penguatkuasaan dan operasi yang dijalankan serta akan dilaksanakan berhubung sistem SST. Kami akan bentangkan semua maklum balas daripada rakyat berhubung punca dan kos sara hidup menerusi beberapa kementerian terutamanya KDPNHEP yang melaksanakan penguatkuasaan dan pemantauan harga barangan.

“Maklumat yang diperolehi akan dikaji dan dibentangkan sebelum satu rangka strategi diambil bagi membantu mengurangkan beban rakyat,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan Konvoi Kesedaran Pengguna Sempena Hari Kebangsaan ke-61 di Pangsapuri Ampang Jajar di sini, hari ini.

Konvoi daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melibatkan 30 kenderaan termasuk motosikal berkuasa tinggi yang akan menjelajah sejauh 42 kilometer di Pulau Pinang itu akan berhenti di beberapa kawasan terpilih bagi menyampaikan maklumat mengenai sistem cukai SST kepada pengguna.

Saifuddin Nasution yang juga Anggota Parlimen Kulim-Bandar Bharu berkata pasukan penguatkuasaan KPDNHEP juga akan meneruskan pemantauan dan operasi bagi memastikan peniaga tidak memanipulasi harga barangan serta perkhidmatan.

“Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat dan aduan kepada mana-mana pejabat KPDNHEP di seluruh negara jika mendapati peniaga menaikkan atau memanipulasi harga barangan dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka (peniaga),” katanya.

Katanya KPDNHEP bersama-sama Kementerian Kewangan akan mengadakan jelajah di seluruh negara untuk memberi penerangan lebih jelas mengenai apa yang terkandung dalam SST dan barangan yang dikenakan cukai.

“Kementerian Kewangan menerusi Menterinya Lim Guan Eng telah memulakan jelajah itu dan saya akan menyertainya Isnin ini untuk memberi penerangan berhubung SST dari segi pengguna, penguatkuasaan serta pemantauan yang dijalankan KPDNHEP,” katanya.

Beliau berkata tidak semua barangan dikenakan cukai malah peratusan cukai bagi setiap barangan yang tersenarai juga berbeza iaitu kadar SST adalah kosong peratus, lima peratus, enam peratus dan 10 peratus mengikut barangan.

“Kebanyakan barangan makanan dikenakan cukai dengan kadar lima peratus berbanding barang lain yang dikenakan kadar 10 peratus. Selain itu, orang ramai juga akan memperoleh maklumat bahawa SST dikenakan di peringkat pengeluar atau sumber dan tidak dikenakan kepada pemborong, pengedar dan peruncit,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata pendapatan negara juga akan menurun sebanyak RM2 bilion dengan pelaksanaan SST, namun ia sebenarnya memberi gambaran bahawa rakyat mempunyai lebihan duit untuk berbelanja.

Beliau berkata SST menyumbang kepada pendapatan negara walaupun ia dijangkakan menyumbang RM2 bilion berbanding sistem cukai sebelum ini iaitu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM4 bilion.

“Keberkesanan sesuatu sistem cukai adalah berdasarkan jumlah kutipan yang akan diterima kerajaan dan melalui SST walaupun berlaku penurunan berjumlah RM2 bilion dalam pendapatan negara namun rakyat mempunyai lebihan wang bagi dibelanjakan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Pembeli sifatkan SST bukan cukai asing

KUALA LUMPUR 1 SEPT: Berikutan pengumuman pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berkuatkuasa hari ini, rata-rata pembeli di Selangor menyifatkan mereka telah bersedia menerima pelaksanaan cukai itu yang bakal menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Tinjauan Bernama di beberapa pasar raya dan pusat membeli belah di sini, pada Jumaat mendapati, kebanyakan golongan pengguna dan pembeli berbelanja seperti biasa selain dilihat tidak terburu-buru membeli barangan dalam kuantiti banyak bagi menghadapi kenaikan harga yang dijangka berlaku selepas pelaksanaan SST.

Penjawat awam, Azurun Salamon, 34 tahun, berkata pelaksanaan SST tersebut bukan suatu perkara asing kerana ia pernah dilaksanakan sebelum 2014.

“Sebelum ini SST pun telah diguna pakai sebelum GST diperkenalkan pada April 2014, jadi apabila cukai itu diperkenalkan semula, ia bukan satu perkara yang mengejutkan.

“Cuma apa yang diharapkan dengan pengenalan cukai SST 2018 ini, harga barang sedikit murah tidak sepertimana harga barang semasa pelaksanaan GST, ” katanya.

Beliau turut menyifatkan pengenalan SST itu sebagai kayu pengukur ke atas perbezaan harga barangan yang sememangnya dinantikan rakyat.

“Sudah pasti rakyat tidak mahu terbeban dengan kenaikan harga barangan yang mendadak apabila SST dilaksanakan…dari sinilah campur tangan kerajaan diperlukan, sekiranya berlaku juga (kenaikan harga barang) kemungkinan kuasa beli pengguna itu akan menurun,” katanya.

Bagi Harun Akmal, 41 tahun, beliau menolak untuk berbelanja dalam kuantiti besar semata-mata untuk simpanan stok barang, sebelum SST dilaksanakan.

Katanya, walaupun masih belum pasti keberkesanan SST dan kesannya kepada rakyat, beliau juga berharap pengenalan cukai itu tidak akan memberi bebanan kepada pengguna.

“Bagi saya, tidak perlu membeli barang dalam kuantiti banyak semata-mata mahu dapatkan harga murah ketika GST masih berada pada kadar kosong dan sebelum SST dikuat kuasa Sabtu.

“Hari ini saya datang ke pasar raya pun beli barang seperti mana rutin saya sebelum ini, saya sememangnya akan berbelanja dua kali dalam sebulan untuk beli barang basah dan barang makanan.

“Kalau kita nak elak dikenakan cukai ini pun tidak boleh sebab kalau bukan hari ini, hari-hari seterusnya juga pasti kita akan berbelanja,” kata pekerja syarikat binaan itu.

Penuntut kolej swasta N. Khishali, 23 tahun, turut mempunyai pandangan senada dan mengharapkan agensi berkaitan bertindak tegas dalam mengawal sebarang kenaikan harga barangan.

Beliau berkata langkah itu perlu supaya peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barang yang akhirnya akan memberi kesan kepada pengguna.

“Untuk tahun pertama pengenalan SST 2018, agensi berkaitan seperti KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) diharap dapat melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membendung kenaikan harga barangan yang tidak munasabah.

“Kita sebagai penguna dan pembeli tidak mahu jadi mangsa apabila ada peniaga yang cuba ambil kesempatan di atas pelaksanaan cukai ini,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan SST berkuatkuasa 1 Sept, susulan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan 2018 dan RUU Perkhidmatan 2018 telah diluluskan Parlimen pada 20 Ogos lepas.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tiada pembelian panik menjelang pelaksanaan SST

NASIONAL 1 SEPT: Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan bermula hari ini tidak menyebabkan orang ramai di sekitar bandar raya Ipoh melakukan pembelian pelbagai barangan secara panik.

Tinjauan Bernama di beberapa pusat membeli belah di Ipoh mendapati kebanyakan orang ramai tidak membeli sesuatu barangan dalam kuantiti yang banyak sebaliknya hanya berbelanja mengikut keperluan.

Azura Mustapa, 42, berkata pelaksanaan SST tidak akan menyebabkan peningkatan mendadak kerana hanya produk dan perkhidmatan tertentu sahaja yang dikenakan cukai itu sekali gus tidak membebankan pengguna di negara ini.

“Berbanding GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) yang dilaksanakan sebelum ini, banyak harga barangan yang naik kerana kebanyakannya dikenakan cukai.

“Jadi saya fikir, dengan adanya SST ini, ia tidak akan menyebabkan rakyat terbeban dengan kadar cukai tersebut,” katanya yang merupakan seorang pensyarah.

Sementara itu, di Seremban, orang ramai menggunakan cuti sempena Hari Kebangsaan hari ini untuk membeli belah barangan keperluan harian mereka.

Pekerja swasta, Mohd Haizil Zainuddin, 28, berkata beliau turut tidak ketinggalan memanfaat hari terakhir tanpa cukai membeli barangan keperluan sebagai persiapan kemungkinan berlaku kenaikan harga barangan oleh peniaga tidak bertanggungjawab pada hari esok.

“Ramai yang mengatakan barangan akan naik dan masyarakat kita ketika ini memang akan mengikut apa yang orang katakan… sebelum harga barangan naik, saya tidak akan lepaskan peluang untuk membeli barangan keperluan,” katanya kepada Bernama ketika tinjauan di Giant Senawang hari ini.

Bagaimanapun bagi seorang penjawat awam Mohd Fattah Luqman, 43, pula berpendapat cukai SST tidak menjadi masalah baginya memandangkan sebelum ini masyarakat juga pernah dikenakan cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan Ain Arjuna Aziz Zaman ketika dihubungi berkata setakat ini pihaknya tidak mendapat sebarang laporan pembelian panik berlaku di seluruh pasaraya di negeri itu.

“Setakat ini keadaan terkawal… saya akan update sekiranya berlaku situasi tidak terkawal,” katanya.

Di Mydin Bukit Mertajam, tinjauan bernama menunjukkan rata-rata pengguna kelihatan tenang dan bersedia menghadapi sebarang perubahan yang mungkin berlaku.

Seorang juruaudit, Nur Anna Imani Tan Abdullah, 48, berkata apa yang penting adalah pengguna seharusnya mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan berhubung jenis-jenis cukai dan memahami konsep cukai tersebut supaya tidak mudah melatah.

“Apa yang kita tahu bahawa SST mempunyai ‘hidden charge’ yang orang lain mungkin tidak nampak antara pihak pengeluar dengan kerajaan. Tetapi, bagi saya kerajaan terdahulu sepatutnya melaksanakan kadar cukai GST pada kadar tiga peratus buat permulaan.

“Ini kerana ia tidak memberi kesan mendalam kepada pengguna berbeza dengan enam peratus sebelum ini selaras dengan pendapatan rata-rata rakyat di dalam negara yang berstatus negara membangun ini,” katanya kepada Bernama.

SST akan dilaksanakan bermula hari ini bagi menggantikan GST yang telah dimansuhkan.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan SST berkuat kuasa 1 Sept, susulan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan 2018 dan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 telah diluluskan Parlimen

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

SST: Tiada banyak perbezaan bagi sektor perkhidmatan

KUALA LUMPUR, 31 OGOS: Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai Sabtu ini dijangka tidak membawa perbezaan ketara bagi harga perkhidmatan.

Pakar cukai Norsa’adah Ahmad berkata ini kerana cukai enam peratus yang dikenakan untuk perkhidmatan seperti hotel, insurans dan takaful serta penyediaan makanan dan minuman adalah sama dengan nilai cukai yang dikenakan semasa pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini.

“Sepatutnya (harga perkhidmatan) tidak banyak berbeza dengan yang sebelum ini… kebanyakannya akan kekal seperti biasa.

“Berbanding kesannya (SST) terhadap harga barang, yang menjadi tumpuan orang ramai mahu lihat sama ada harga turun atau naik, harga perkhidmatan dijangka tidak mendatangkan kesan ketara,” katanya kepada Bernama.

Namun, Norsa’adah yang juga anggota Institut Akauntan Malaysia (MIA) tidak menolak kemungkinan berlaku caj berganda pada harga makanan dan minuman yang dijual di sesebuah restoran.

Menurutnya harga sesuatu produk seperti minuman tin dikenakan cukai jualan 10 peratus pada peringkat pengeluaran dan tidak mustahil bagi pihak restoran untuk menaikkan harga bagi menampung kos cukai perkhidmatan.

Antara perkhidmatan yang turut dikenakan SST adalah kelab malam, kelab persendirian, kelab golf, kasino, loteri, telekomunikasi, televisyen berbayar, guaman, perakaunan, ejen kastam, arkitek, jurutera, penilai, keselamatan, parkir, kereta sewa, pengiklanan, perkhidmatan domestik, perkhidmatan teknologi maklumat, kad kredit dan elektrik.

Penggiat industri perhotelan turut menjangka tiada kenaikan harga bilik dengan pelaksanaan SST kecuali kenaikan biasa pada musim puncak seperti cuti sekolah disebabkan permintaan tinggi.

Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) Shaharudin M.Saaid berkata sekiranya mekanisme pelaksanaan cukai itu sama seperti SST sebelum ini, pihaknya menjangka kadar bayaran bilik lebih murah.

“Sekiranya mekanisme sama seperti SST 1.0 sebelum GST dilaksanakan, harga bilik sepatutnya jadi lebih murah kerana SST 1.0 tidak mengenakan enam peratus cukai pada caj perkhidmatan,” katanya.

Menurutnya semasa GST dilaksanakan, cukai enam peratus itu turut dikenakan ke atas caj perkhidmatan yang menyebabkan kenaikan harga bilik dan perkhidmatan lain.

Bagaimanapun, Shaharudin berharap mekanisme pelaksanaan SST yang baharu itu akan segera dijelaskan kepada pihak hotel untuk mengelakkan sebarang kekeliruan.

“Kami sedang menunggu penjelasan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI

Perodua akan bayar balik pelanggan Myvi terlepas pengecualian cukai

KUALA LUMPUR 29 OGOS: Pengeluar kereta nasional, Perodua, akan membayar balik 3,100 pelanggan Myvi yang terlepas peluang mendaftar kereta mereka sebelum 1 Sept disebabkan penangguhan sementara pengeluaran ekoran gangguan bekalan vendor.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Datuk Dr. Zahari Husin berkata, kakitangan syarikat itu akan menghubungi para pelanggan yang telah menempah kereta Myvi yang sepatutnya didaftarkan sebelum 1 September untuk memanfaatkan harga tanpa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Kami ingin menawarkan pelanggan bernilai kami rebat tunai selepas pendaftaran kenderaan mereka, sebagai pampasan terhadap kesulitan yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zahari berkata, syarikat itu juga akan memaklumkan kepada pelanggan perkembangan terkini serahan Myvi kepada mereka.

GST berkadar sifar bermula 1 Jun yang membawa kepada pengecualian cukai selama tiga bulan telah meningkatkan permintaan terhadap kenderaan, dengan pembeli berebut-rebut untuk mendaftarkan kenderaan mereka sebelum 1 September apabila Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperkenalkan semula.

Pada 20 Ogos, Perodua mengumumkan pengeluaran Myvi tertangguh disebabkan gangguan bekalan vendor.

SUMBER: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

SST dapat perkenan Yang di-Pertuan Agong

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 OGOS: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng merafak sembah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V atas perkenan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), pada 24 Ogos lalu.

Beliau dalam kenyataan berkata, perkenan itu membolehkan SST bdikuat kuasa bermula 1 September ini untuk menggantikan GST yang sudah dimansuhkan.

“Kementerian Kewangan ingin menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V kerana memperkenan pelaksanaan SST yang selari dengan komitmen Kerajaan Pakatan Harapan dalam mendukung janji manifesto, pada pilihan raya lalu.

“Dengan pelaksanaan SST yang bakal diwartakan sebelum 30 Ogos ini, kerajaan berharap ia dapat meringankan beban rakyat memandangkan kerajaan hanya mengutip RM21 bilion, berbanding RM44 bilion di bawah GST pada 2019,” katanya.

Katanya, kerajaan juga berharap pengusaha perniagaan dapat mematuhi peraturan dan mendaftarkan perniagaan mereka dengan SST.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) akan memantau dan mengambil tindakan ke atas akiviti pencatutan (profiteering).

“Ini bagi memastikan tiada pengusaha mengambil kesempatan dan sebagai langkah kerajaan mengekang kenaikan harga yang boleh mengakibatkan tekanan kepada rakyat,” katanya.

Cadangan pemansuhan GST yang digantikan dengan SST mendapat kelulusan Dewan Rakyat, pada 9 Ogos lalu dan 20 Ogos lalu oleh Dewan Negara.

Categories
EKONOMI NASIONAL

Beri kepercayaan kepada kerajaan, jangan cuba elak bayar SST – Guan Eng

PETALING JAYA 19 OGOS: Peniaga diminta memberikan kepercayaan kepada kerajaan dalam melaksanakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan tidak cuba mengelak daripada membayar cukai berkenaan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata jika peniaga merasakan mereka layak mendapat pengecualian cukai, mereka terlebih dahulu perlu membuat permohonan dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang akan menentukan kelayakan mereka.

“Sebagai contoh ada antara peniaga yang terlibat dalam perkhidmatan, tidak pasti dikenakan SST atau tidak, oleh itu mereka perlu membuat permohon supaya syarikat itu dikecualikan.

“Selepas itu (permohonan) kita akan siasat dan jika mereka tidak layak dikecualikan, maka mereka kena bayar, tapi kalau mereka layak dikecualikan, maka mereka akan dikecualikan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Taklimat SST bersama Menteri Kewangan di Subang Jaya di sini, semalam.

Katanya ini merupakan pendekatan mesra yang dipratik kerajaan untuk menggalakkan peniaga mendaftarkan peniagaan mereka untuk sistem percukaian itu yang akan dikuat kuasa mulai 1 September.

Sementara itu, Lim berkata dalam taklimat bersama peniaga dan wakil persatuan peniagaan itu, beberapa perkara dibincangkan termasuk kekeliruan mengenai pengecualian SST terhadap susu berperisa untuk kanak-kanak.

Katanya memandangkan produk itu penting untuk tumbesaran dan kesihatan kanak-kanak, kerajaan bersetuju untuk mengecualikan produk itu daripada dikenakan SST.

“Hari ini baru saya tahu mengenai perkara itu (bahawa susu berperisa dikenakan SST), dan saya akan kecualikan susu berperisa daripada dikenakan cukai.

Sementara itu pada sidang media berasingan, Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata sebanyak 77,451 perniagaan telah didaftarkan di bawah SST sehingga Khamis lalu (16 Ogos), melalui pemindahan automatik daripada sistem GST kepada sistem SST.

Katanya daripada jumlah itu sebanyak 32,577 merupakan pendaftar bagi cukai jualan dan 44,874 lagi pendaftar bagi cukai perkhidmatan.

“Jumlah ini bagaimana pun bukan bermaksud kesemuanya dikenakan SST kerana peniagaan yang layak boleh membuat permohonan pengecualian, dan kami menganggarkan sekitar 10,000 lagi syarikat belum mendaftar ke dalam sistem SST,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Harga kereta tidak naik selepas pelaksanaan SST

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 14 OGOS: Pasaran kenderaan dijangka tidak mengalami kenaikan apabila Cukai Perkhidmatan dan Jualan (SST) dilaksanakan, pada 1 September ini.

Pengarah Eksekutif Go Auto Group, Datuk SM Azli SM Nasimuddin Kamal berkata, sebaliknya harga kenderaan pasaran tempatan akan kembali seperti ketika Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan sebelum ini.

“Apabila SST dilaksanakan nanti, harga kenderaan bukan naik tetapi kembali kepada harga asal sama seperti sebelum GST dimansuhkan.

“Cuma pada masa sekarang, pembeli kenderaan sedang menikmati harga lebih rendah sepanjang tempoh ‘tax holiday’ dengan GST dimansuhkan dan SST pula belum dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Menandatangani Memorandum Persefahaman antara SIRIM dan Go Automobile Manafacturing Sdn Bhd, di Bangunan SIRIM, di sini, hari ini.

SM Azli berkata, beliau menjangkakan pengedar kenderaan akan memberi pelbagai tawaran menarik seperti rebat bagi menarik minat pembeli.

“Pengedar kenderaan akan bersaing secara sihat untuk industri automobil negara,” katanya.

Categories
NASIONAL

Tanpa GST, Kerajaan tetap bantu Kumpulan B40

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 OGOS: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membidas mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang terus mempertahankan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan mendakwa ia hanya dikenakan ke atas golongan kaya serta usahawan besar dan dengan ketiadaan GST ini, golongan terbabitlah paling beruntung.

Dalam kenyataan beliau berkata, Najib lupa bahawa GST telah memberi kesan terhadap rakyat Malaysia di segenap lapisan, terutamanya golongan miskin dan tidak berkemampuan yang mana golongan ini tidak dikenakan cukai sebelum ini.

Keadaan ini sekaligus meletakkan bebanan kewangan berterusan ke atas rakyat sehinggakan mereka melakukan perubahan pada PRU-14 lalu.

“Kerajaan Malaysia Baharu sudah menunaikan janji dengan menghapuskan GST. Amaran kerajaan sebelum ini yang menyatakan Malaysia akan jatuh muflis dengan ketiadaan GST tidak benar sama sekali.

“Bahkan bayaran BR1M (kini dikenali sebagai Bantuan Sara Hidup atau BSH), masih lagi diteruskan meskipun tanpa kewujudan GST. BSH disasarkan kepada golongan kumpulan B40.

“Bagaimana pula Najib boleh mendakwa golongan miskin ini tidak dibantu sedangkan bayaran terakhir BSH tahun ini akan diagihkan bermula 15 Ogos, seminggu sebelum Hari Raya Aidiladha?

“Sebanyak 4.1 juta rakyat akan menerima BSH yang menelan anggaran kos RM1.6 bilion,” katanya.

Guan Eng berkata, Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) terus membantu Kumpulan B40 dibantu dengan menstabilkan harga petrol walaupun Kerajaan Barisan Nasional hanya membuat apungan berdasarkan harga pasaran.

Menurutnya, walaupun harga minyak antarabangsa meningkat sebanyak 42 peratus daripada Bajet 2018 dengan anggaran USD52 setong ke USD74 setong, harga RON95 serta diesel tetap kekal pada masing-masing RM2.20 dan RM2.28 seliter.

Langkah ini membabitkan subsidi petrol kira-kira 30 sen seliter berjumlah RM3 bilion yang ditanggung kerajaan sehingga penghujung tahun 2018.

“Najib terbukti salah apabila menyatakan GST adalah bagus dan menuduh kerajaan baharu ini tidak fokus dalam membantu golongan B40.

“Najib sewajarnya tidak melepaskan kekecewaannya atas kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum yang lepas kepada Pakatan Harapan dan kegagalannya dalam menyandang kedudukannya sebagai Perdana Menteri kepada Tun Dr Mahathir,” katanya.

Categories
NASIONAL

Hanya 43.5% jumlah perkhidmatan dikenakan cukai SST – Guan Eng

KUALA LUMPUR 8 OGOS: Kerajaan akan hanya mengenakan cukai kepada 43.5 peratus jumlah perkhidmatan pada kadar enam peratus dalam pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September ini, berbanding 64.8 peratus jumlah perkhidmatan di bawah cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam pembentangan Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan 2018 bagi bacaan kali kedua berkata, pelaksanaan cukai perkhidmatan yang baharu akan mengekalkan model dan skop kenaan berasaskan Akta Cukai Perkhidmatan 1975 yang sudah dimansuhkan selaras pengenalan GST pada tahun 2014.

Namun begitu katanya, beberapa penambahbaikan kepada model dan skop kenaan sedia ada perlu dibuat bagi memudahkan pentadbiran cukai, mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan meminimakan kelemahan yang terdapat di dalam sistem percukaian seperingkat.

“Antara penambahbaikan yang akan dilakukan adalah, nilai ambang jualan tahunan atau nilai had jualan perniagaan bagi tujuan pendaftaran cukai perkhidmatan juga akan diseragamkan kepada RM500,000 setahun bagi semua perkhidmatan bercukai.

“Bagi perkhidmatan restoran seluruh negara, katanya kerajaan akan diberikan kelonggaran dan dicadangkan akan dikenakan cukai perkhidmatan hanya apabila jualan tahunan mereka mencecah RM1 juta setahun,” jelasnya.

Bagi penambahbaikan Skop Kenaan Cukai Perkhidmatan, Guan Eng berkata, kepelbagaian layanan cukai adalah bercanggah dengan prinsip ketelusan dan berpotensi menjadi kelemahan yang boleh dimanipulasi bagi tujuan pengelakan cukai selain merumitkan proses pentadbiran cukai.

Sehubungan itu, katanya bagi tujuan pelarasan, dicadangkan beberapa jenis perkhidmatan bercukai dibuat penambahbaikan dan penyeragaman.

Antaranya, perkhidmatan penginapan (hotel) diluaskan meliputi penginapan dan sarapan (bed and breakfast) (B(amp)B), penginapan berkongsi, pangsapuri perkhidmatan dan inap desa.

Restoran diluaskan meliputi perkhidmatan penyediaan makanan minuman katering, bawa pulang, trak makanan dan penyediaan makanan minuman di kedai runcit.

Perkhidmatan insurans dan takaful kepada perniagaan (B2B) diluaskan meliputi perlindungan insurans am yang ditawarkan kepada individu (B2C) tetapi tidak meliputi insurans perubatan.

“Selain itu, cukai turut diluaskan kepada semua jenis perkhidmatan yang disediakan di kelab malam, kelab persendirian dan kelab golf/lapang sasar, perkhidmatan sewa-pandu meliputi semua penyewaan kenderaan serta semua bentuk perkhidmatan telekomunikasi.

“Beberapa perkhidmatan baharu juga akan dikenakan cukai perkhidmatan enam peratus, seperti aktiviti perjudian yang terdiri daripada nombor ramalan, kasino, kelab, loteri dan lumba kuda; perkhidmatan penerbangan serta catar kapal terbang (termasuk helikopter) domestik dan juga perkhidmatan teknologi maklumat,” katanya lagi.

Di samping itu, menurut Guan Eng, kadar cukai perkhidmatan bagi kad kredit dan kad caj akan dikenakan pada kadar spesifik RM25 setahun bagi kedua-dua kad utama dan kad tambahan.

Beliau turut menyentuh berkenaan kemudahan di bawah cukai perkhidmatan terdahulu iaitu sistem kontra yang mana akan dikekalkan.

Melalui kemudahan ini, penyedia perkhidmatan boleh menolak cukai perkhidmatan di dalam penyata bayaran bagi perkhidmatan yang dibatalkan, ditamatkan atau apa-apa sebab yang lain seperti mengurangkan premium atau diskaun, jelasnya.

Dengan penurunan beban cukai ini, Kerajaan Persekutuan berharap kekayaan negara akan dapat dikongsi dengan lebih meluas lagi di pelbagai lapisan masyarakat, khususnya bagi golongan kurang berkemampuan dan juga kelas menengah, katanya.

Beliau menambah, jumlah barangan dan perkhidmatan yang tidak dikenakan cukai SST adalah 10 kali ganda lebih besar dan sebanyak RM17 bilion dari segi kutipan cukai dijangka akan dipulangkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada rakyat pada tahun ini melalui perubahan sistem cukai ini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Proses tuntutan semula GST tidak efisien

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Walaupun pembekal di setiap peringkat boleh membuat tuntutan semula pembayaran Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), namun ia jelas gagal menghalang kenaikan berganda harga barangan di peringkat pengguna.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, hal ini ekoran proses tuntutan yang mengambil masa panjang memberi masalah besar aliran tunai operasi peniaga.

“Akibatnya, kos perniagaan meningkat dan kos ini akan terpaksa ditanggung pengguna dalam bentuk harga barangan dan perkhidmatan yang lebih tinggi.

“Saya akan mendedahkan pada masa akan datang berkenaan punca sebenar di sebalik kegagalan kerajaan terdahulu melakukan pembayaran balik GST kepada rakyat dengan cepat serta tepat pada masanya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) hanya dikenakan pada satu peringkat iaitu pengeluar sahaja.

Katanya, Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) amat komited mencari jalan terbaik bagi mengurangkan beban kewangan rakyat khususnya mereka yang terkesan dengan kos sara hidup tinggi.

“Dengan melaksanakan SST yang sudah ditambah baik, kerajaan PAKATAN mengembalikan semula jumlah kutipan cukai sekitar RM23 bilion kepada rakyat,” katanya.