Categories
AGENDA NASIONAL

Syarikat korporat digalak ambil bekas atlet sebagai pekerja

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Sektor korporat dalam negara digesa mengambil bekas atlet-atlet negara bagi meneruskan kehidupan mereka dengan karier baharu, selepas mereka bersara daripada bidang sukan masing-masing.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong yang membuat gesaan itu berkata, badan-badan korporat itu boleh mengambil mereka untuk bekerja sama ada sebagai jurulatih bidang sukan berkaitan yang sesuai, atau sebagai pekerja biasa.

Beliau berkata, kejohanan-kejohanan liga korporat adalah platform terbaik untuk penerusan karier bekas atlet-atlet kebangsaan ini selepas mereka bersara daripada bidang sukan.

Dengan merujuk kepada Kejohanan Badminton Korporat Senheng Purple League 2019 sebagai contoh, beliau berkata, kejohanan itu membantu bekas pemain-pemain badminton kebangsaan untuk terus bermain badminton secara aktif walaupun telah bersara.

“Lebih penting lagi, kita mahukan program ini menjadi tempat pertemuan antara sektor korporat dan atlet-atlet kita supaya diharapkan ada antara mereka yang dapat mengiktiraf jaguh-jaguh seperti Ong Ewe Hock (bekas pemain badminton negara), yang telah memberikan sumbangan besar kepada negara,” katanya semasa berucap di majlis penutup kejohanan, dan penyampaian hadiah kepada pemenang di Arena Sukan Lee Chong Wei, di sini semalam.

Syarikat peralatan elektrik dan perabut untuk isi rumah, LionMas mengungguli kejuaraan sulung kejohanan selepas menewaskan syarikat Top Glove 9-4 dalam perlawanan akhir, dan membawa pulang hadiah berupa tunai RM50,000, trofi kejuaraan dan juga pingat, manakala Top Glove menerima hadiah tunai RM25,000 dan pingat.

Syarikat telekomunikasi red ONE (redPHOENIX) memenangi perlawanan klasifikasi ketiga/keempat dengan menewaskan syarikat insurans AIG, 10-4, dan meraih hadiah tunai RM15,000, manakala AIG membawa pulang tunai RM10,000.

Lapan syarikat korporat mengambil bahagian dalam edisi sulung kejohanan ini, yang terdiri daripada Pensonic, LionMas, red ONE (redPHOENIX), SenQ, OPPO, Top Glove, AEON Credit Service dan AIG.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL SUKANKINI

Pemegang taruh sukan perlu lebih berani luah masalah

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Setiap pemegang taruh dalam arena sukan tempatan diseru tampil lebih berani berinteraksi berhubung permasalahan dihadapi, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong.

Beliau berkata, menerusi kaedah itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat mengetahui lebih mendalam berhubung cabaran didepani setiap pemegang taruh sepanjang perjalanan mereka dalam mengharumkan nama negara.

Katanya, sesetengah pihak terutama atlet sebelum ini lebih gemar meluahkan masalah menerusi kiriman teks berbanding meluahkan masalah secara bersemuka, namun trend itu berubah dalam tempoh terdekat.

“Tanggungjawab KBS adalah mewujudkan satu ekosistem di mana atlet, pegawai, jurulatih termasuk persatuan boleh berfungsi dengan optimum. KBS sentiasa sedia mendengar apa sahaja masalah kerana ia mungkin faktor yang mempengaruhi prestasi mereka.

“Tetapi kita orang Timur kadang-kadang segan nak bercakap depan-depan. Kita sedang menggalakkan lebih keterbukaan serta ketelusan dan kita nampak atlet dan pegawai semakin berani menyuarakan isi hati mereka. Itu satu perkembangan yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau latihan atlet dan pertemuan dengan Persatuan Hoki Dalam Air Malaysia di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, semalam.

Sim meluangkan lebih satu jam meninjau latihan skuad akuatik di Jungle Gym, MSN, sebelum pertemuan hampir satu jam bersama atlet hoki dalam air dengan beliau diterangkan berhubung sukan terbabit dan bagaimana ia dimainkan.

Sementara itu, Sim berkata beliau dan KBS komited dalam menyelami masalah dihadapi setiap pemegang taruh.

“Tujuan kita hanya ingin memberi motivasi kepada bukan sahaja atlet tetapi juga jurulatih dan yang lain…kita juga ingin mendengar sama ada wujud apa-apa cabaran dihadapi yang mungkin akan menjejaskan prestasi mereka.

“Adakah ada sesuatu isu yang menghalang untuk mencapai prestasi lebih baik? Dengan itu kita boleh cuba untuk menyelesaikan masalah mereka,” katanya.

Pada masa sama, Sim berkata dirinya sentiasa terbuka menerima kehadiran atlet mahupun individu terbabit dalam menjayakan sukan negara yang ingin meluahkan keluhan.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

KBS cadang perkenal modul budaya Malaysia kepada atlet, sukarelawan

BEIJING, 18 MEI: Bagi melahirkan atlet berkualiti yang membawa nama baik negara, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bercadang memperkenalkan modul budaya Malaysia sebagai pengetahuan tambahan kepada atlet negara.

Timbalan Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, ini kerana setiap atlet yang mewakili negara merupakan duta kecil Malaysia.

“Sebagai contoh, sekiranya mereka (atlet) mewakili negara di temasya sukan antarabangsa, pasti akan ada rakan atlet negara luar yang bertanya mengenai Malaysia, jadi dengan adanya pengetahuan asas ini, mereka tidak kekok untuk menerangkannya.

“Selain itu, ia menjadi salah satu platform yang baik untuk mempamerkan budaya Malaysia yang penuh dengan kesantunan dan kepelbagaian budaya kepada negara luar,” katanya kepada Bernama selepas sesi ramah mesra bersama pelajar Malaysia di Beijing pada majlis berbuka puasa di Kedutaan Malaysia, malam ini.

Majlis yang dihadiri 100 pelajar itu turut disertai wakil kedutaan Malaysia di China.

Ketika ditanya antara initipati modul itu, Sim berkata pihaknya akan berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan agensi berkaitan bagi memperincikan inisiatif tersebut.

“Selain atlet, kita turut merancang memperkenal modul ini kepada kumpulan sukarelawan MYCorps di bawah KBS.

“Aktiviti sukarelawan MYCorps bukan hanya tertumpu dalam negara sahaja, tetapi ia meliputi negara luar. Jadi dengan membekalkan modul ini kepada anak muda kita, mereka pasti akan membawa identiti Malaysia, terutamanya budaya kita ke seluruh dunia,” katanya.

Sim dalam rangka lawatan kerja enam hari ke Beijing bermula Selasa, bagi mewakili kerajaan pada ‘Persidangan mengenai Dailog Ketamadunan Asia’ yang bertemakan ‘Pertukaran dan Pembelajaran Bersama Dalam Kalangan Tamadun Asia dan Komuniti Dengan Masa Hadapan Bersama’.

Dalam lawatan itu, beliau turut melawat Sekolah Sukan Beijing Shi Cha Hai dan Litar Goldenport Park Beijing, yang antara lain bagi meneroka kerjasama dalam bidang kesukanan dan membina perkongsian baharu. – BERNAMA

Categories
NASIONAL SUKANKINI

Atlet mampu capai prestasi terbaik di Olimpik 2020 – KBS

BUKIT MERTAJAM, 14 APR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) percaya kontinjen negara mampu mencapai prestasi terbaik pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 setelah penstrukturan semula program latihan sukan berprestasi tinggi.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata, kementerian melalui Majlis Sukan Negara (MSN) sentiasa memberi sokongan penuh kepada atlet kebangsaan, malah peruntukan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 sudah dipertingkatkan agar kontinjen negara dapat mencapai matlamat tersebut.

“Melalui penstrukturan semula ini, apa kita mahu ialah peningkatan prestasi atlet. Kemudian, kita tidak berhenti memberi fokus pada Sukan Olimpik Tokyo sahaja. Kita mahu menjalankan strategi jangka panjang untuk bersedia menghadapi temasya sukan seterusnya,” katanya.

Beliau ditemui Bernama selepas merasmikan program Semai Harapan di Taman Eko Rimba di sini hari ini.

Steven berkata, KBS sentiasa menggalakkan dan akan memberi sokonggan kepada persatuan sukan tempatan untuk terus berusaha menganjurkan pelbagai kejohanan sukan peringkat antarabangsa di negara ini.

“Sebagai contoh, Le Tour de Langkawi (LTDL) berjaya membuktikan Malaysia mampu menjadi hab sukan pelancongan antarabangsa. Oleh itu kita menggalakkan agar lebih banyak temasya sukan antarabangsa diadakan di Malaysia,” katanya.

Terdahulu pada majlis itu, program Semai Harapan anjuran Pejabat Parlimen Bukit Mertajam dengan kerjasama Junior Chamber International (JCI) bertujuan untuk menanam 1,000 pokok setahun dalam jangka masa lima tahun.

“Program menanam pokok pada kali ini memfokuskan penglibatan daripada kanak-kanak untuk memupuk semangat cintakan negeri dan negara, mengajar anak-anak mengenai kepentingan pembangunan yang seimbang.

“Selain itu, ia juga untuk mengajar generasi muda melabur pada masa hadapan, tidak hanya boleh fikirkan kepentingan dalam jangka pendek,” katanya.

Program itu disertai kira-kira 100 murid berumur sekitar tujuh hingga 12 tahun daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Juara, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Beng Teik dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bukit Mertajam.

Steven berkata, inisiatif itu turut dibantu Jabatan Perhutanan Pulau Pinang yang bertanggungjawab menyediakan benih serta peralatan penanaman benih serta Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang bertanggungjawab menempatkan anak-anak pokok daripada penanaman benih hari ini di kawasan-kawasan sekitar Bukit Mertajam.

SUMBER: BERNAMA