Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Elak stigma negatif terhadap pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 17 JAN: Masyarakat dinasihatkan supaya tidak mewujudkan stigma negatif terhadap pesakit Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata golongan berkenaan bukan penjenayah sebaliknya memerlukan perhatian orang ramai.

“Mereka memerlukan bantuan dan doa dari masyarakat. Bersama kita cegah dan lawan virus Covid-19,” katanya menerusi Twitter.

Beliau turut menasihatkan individu yang disahkan positif wabak mengikuti langkah penjagaan ditetapkan sewaktu menjalani kuarantin di rumah.

“Pastikan anda duduk di bilik berasingan yang mempunyai pengudaraan yang baik serta tandas sendiri serta aturkan supaya makanan dihantar ke depan pintu bilik.

“Jaga kebersihan diri dan guna perkakas mandian sendiri, pakai pelitup muka dan kekalkan jarak dua meter sekiranya perlu berkomunikasi dengan individu lain,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan pesakit Covid-19 tahap satu dan dua menjalani rawatan serta kuarantin di rumah.

Namun ia dilakukan dengan pemantauan ketat oleh petugas kesihatan berkuatkuasa 1 Januari lalu.