Categories
AGENDA NASIONAL

KKM benar suami temani isteri di bilik bersalin

KUALA LUMPUR, 27 SEPT: Suami yang lengkap menerima dos vaksin Covid-19 akan dibenar menemani isteri yang bakal melahirkan anak dalam bilik bersalin, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata selain itu suami juga perlu negatif ujian Covid-19 sebelum dibenarkan menemani isteri mereka.

“Saya telah minta Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) untuk membenarkan bakal bapa yang lengkap divaksinasi dan menjalankan ujian Covid-19 dan negatif, untuk menemani isteri mereka dalam bilik bersalin,” katanya dalam entri terbaru di laman Twitter rasminya hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab permintaan seorang pengguna media sosial itu yang memohon agar golongan bapa yang lengkap divaksinasi dan keputusan ujian Covid-19 negatif, dibenarkan menemani isteri dalam bilik bersalin.

Entri Khairy itu kemudian dibalas oleh Dr Noor Hisham yang menyatakan: “Ya, akan laksanakan apa yang diperlukan.”

Sebelum ini hospital kerajaan tidak membenarkan suami untuk menemani isteri dalam bilik bersalin sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas akibat penularan wabak Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gara-gara cemburu, lelaki tolak isteri dari tingkat 18 kondominium

GEORGE TOWN, 12 APRIL: Kematian seorang wanita yang mayatnya ditemukan di atas bumbung bilik panel suis elektrik milik Tenaga Nasional Berhad di Kondominium Bukit Awana, Air Itam kelmarin, dipercayai akibat jatuh dari tingkat 18 kondominium itu, disyaki ditolak oleh suaminya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata mayat wanita berusia 35 tahun itu ditemukan orang awam pada 12.06 tengah malam semalam (10 April) dan suspek ditahan polis setengah jam kemudian di rumah pasangan tersebut.

“Mayat mangsa yang bekerja sebagai ejen insurans itu ditemukan oleh penduduk di situ dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah. Hasil soal siasat ke atas suaminya yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah kedai makan, lelaki itu mengaku telah bertindak menolak mangsa setelah berlaku pergaduhan.

“Pasangan itu bergaduh di rumah mereka di tingkat 18 selepas suspek mengesyaki mangsa menjalinkan hubungan dengan lelaki lain,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya ujian air kencing ke atas lelaki itu turut mendapati suspek positif dadah dan dia kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kerana membunuh.

Mengulas kes lain, Soffian berkata pihaknya turut menerima laporan mengenai penemuan seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di hadapan pejabat Persatuan Perkembangan Kesihatan Keluarga Pulau Pinang di Jelutong kira-kira 7.40 malam kelmarin.

Menurutnya, bayi lelaki yang masih bertali pusat itu ditemukan oleh seorang lelaki berusia 43 tahun yang datang ke premis berkenaan.

“Turut ditemukan bersama-sama bayi lelaki itu ialah satu nota bertulis ‘tolong jaga budak ini’,” katanya.

Beliau berkata bayi itu dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk tindakan selanjutnya dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat di talian 019-473 5105 atau melaporkan di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

-BERNAMA