Categories
AGENDA NASIONAL

Lelaki didakwa dera isteri, sembilan anak ditahan

GEORGE TOWN, 1 JAN: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung dakwaan dera membabitkan isteri dan sembilan anaknya dalam kejadian di daerah Timur Laut baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Rahimi Ra’ais berkata lelaki berumur 41 tahun dan bekerja sebagai peniaga itu ditahan semalam di negeri ini selepas pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian tersebut daripada isterinya.

“Wanita berusia 31 tahun yang merupakan isteri lelaki itu membuat laporan polis mendakwa dia bersama sembilan anak mereka berumur satu hingga 13 tahun telah menjadi mangsa dera lelaki tersebut.

“Ekoran itu, polis menahan lelaki terbabit bagi membantu siasatan dan dia kini direman bermula hari ini hingga 6 Jan, kes disiasat menurut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata rawatan perubatan dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti berapa ramai anak pasangan itu menjadi mangsa dera namun polis tidak menolak kemungkinan lebih daripada seorang yang mengalami kecederaan.

Ditanya sama ada wanita itu turut didera, Rahimi berkata pihaknya sedang menunggu laporan perubatan mangsa yang merupakan warga asing.

Katanya, beliau meminta kerjasama orang ramai atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menyalurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

Gambar seorang wanita bersama sembilan anaknya yang diselamatkan oleh beberapa individu dengan bantuan NGO di Pulau Pinang selepas menjadi mangsa penderaan fizikal dan mental oleh suami mangsa, tular dalam media sosial.

Berdasarkan gambar itu juga, terdapat kesan kecederaan melibatkan beberapa anak pasangan itu malah wanita tersebut turut mendakwa dia juga didera fizikal dan mental sehingga bertindak meminta bantuan beberapa individu untuk melarikan diri daripada suspek kerana sudah tidak tahan menanggung derita.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Pemandu lori dihukum mati bunuh isteri, bayi tujuh bulan

SHAH ALAM, 19 OGOS: Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang pemandu lori selepas didapati bersalah membunuh isteri dan bayi perempuannya berusia tujuh bulan, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menjatuhi hukuman itu ke atas Satvender Singh, 35, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Satvender didakwa membunuh D Kamaljit, 34, dan bayinya Ishilyn Kaur Sandhu di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Rawang Perdana 2, Rawang antara 3.55 pagi dan 4.15 pagi pada 14 April 2016.

Hakim Mohd Yazid dalam keputusannya berkata alibi tertuduh bahawa dia keluar rumah untuk bersarapan pada 3.55 pagi di sebuah kedai makan selama sejam setengah sebelum sampai ke pejabat pada 5.44 pagi tidak mempunyai kesinambungan.

“Melalui dapatan mahkamah, tertuduh adalah orang terakhir di tempat kejadian dan keluar dari situ selepas 4.30 pagi, selepas membunuh isteri dan bayinya,” katanya.

Hakim juga menolak pembelaan tertuduh bahawa kejadian itu berlaku disebabkan rompakan di rumahnya yang telah dipecah masuk.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Rajpal Singh.

Pada 17 Julai 2020, mahkamah memerintahkan tertuduh membela diri atas pertuduhan membunuh selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap lelaki berkenaan.

Pendakwaan mengemukakan 16 saksi manakala tertuduh memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi.

Bercakap kepada media selepas prosiding, adik mangsa yang hanya dikenali sebagai Riyaa, 36, berkata keluarganya melalui perit getir menunggu keputusan mahkamah yang akhirnya membuktikan tertuduh bersalah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Isteri Misbun Sidek meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Datin Latifah Sidek, isteri kepada legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek meninggal dunia semalam.

Perkara itu disahkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) di laman Facebooknya pada malam tadi.

“Dukacitanya dimaklumkan Datin Latifah telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi. Sama-sama kita panjatkan doa buat Arwah semoga ditempatkan bersama mereka yang disayangiNya jua. Takziah buat Datuk Misbun & keluarga,” menurut entri berkenaan.

Arwah sebelum ini dilaporkan berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 10 Julai.

Misbun, bekas pemain kebangsaan dan jurulatih kebangsaan, yang kini menggalas tanggungjawab sebagai pengarah teknikal Skuad Remaja Negara, berkahwin dengan Latifah pada 1987.

Sementara itu Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga arwah menerusi media sosialnya.

“Marilah kita doakan semoga roh Allahyarhamah sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah serta ditempatkan bersama mereka yang soleh dan beriman,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

16 Jun keputusan kes pemandu lori bunuh isteri, anak

SHAH ALAM, 20 APRIL: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 16 Jun ini sebagai tarikh keputusan kes seorang pemandu lori Satvender Singh, 35, yang didakwa membunuh isteri dan bayi perempuannya berusia tujuh bulan, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa dalam keputusannya berkata beliau menetapkan tarikh itu, selepas mendengar hujahan daripada pihak pembelaan dan pendakwaan, pada akhir kes pembelaan hari ini.

“Saya tetapkan 16 Jun depan tarikh keputusan bagi kes ini,” katanya di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahadhir Mohd Khairudin sementara tertuduh diwakili peguam Datuk Rajpal Singh.

Satvender didakwa membunuh D. Kamaljit, 34, dan bayinya Ishilyn Kaur Sandhu antara 3.55 pagi dan 4.15 pagi di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Rawang Perdana 2, Rawang pada 14 April 2016.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Gara-gara cemburu, lelaki tolak isteri dari tingkat 18 kondominium

GEORGE TOWN, 12 APRIL: Kematian seorang wanita yang mayatnya ditemukan di atas bumbung bilik panel suis elektrik milik Tenaga Nasional Berhad di Kondominium Bukit Awana, Air Itam kelmarin, dipercayai akibat jatuh dari tingkat 18 kondominium itu, disyaki ditolak oleh suaminya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata mayat wanita berusia 35 tahun itu ditemukan orang awam pada 12.06 tengah malam semalam (10 April) dan suspek ditahan polis setengah jam kemudian di rumah pasangan tersebut.

“Mayat mangsa yang bekerja sebagai ejen insurans itu ditemukan oleh penduduk di situ dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah. Hasil soal siasat ke atas suaminya yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah kedai makan, lelaki itu mengaku telah bertindak menolak mangsa setelah berlaku pergaduhan.

“Pasangan itu bergaduh di rumah mereka di tingkat 18 selepas suspek mengesyaki mangsa menjalinkan hubungan dengan lelaki lain,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya ujian air kencing ke atas lelaki itu turut mendapati suspek positif dadah dan dia kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kerana membunuh.

Mengulas kes lain, Soffian berkata pihaknya turut menerima laporan mengenai penemuan seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di hadapan pejabat Persatuan Perkembangan Kesihatan Keluarga Pulau Pinang di Jelutong kira-kira 7.40 malam kelmarin.

Menurutnya, bayi lelaki yang masih bertali pusat itu ditemukan oleh seorang lelaki berusia 43 tahun yang datang ke premis berkenaan.

“Turut ditemukan bersama-sama bayi lelaki itu ialah satu nota bertulis ‘tolong jaga budak ini’,” katanya.

Beliau berkata bayi itu dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk tindakan selanjutnya dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat di talian 019-473 5105 atau melaporkan di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

-BERNAMA