Categories
SELANGOR

IPR: Sebelum penjajaran RM500, kini terima RM6,200

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 25 MAC: Penjajaran yang dilaksanakan terhadap program Insentif Peduli Rakyat (IPR) lebih memberdaya dan memberi lebih manfaat kepada golongan sasaran di Selangor.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, antaranya program Insentif Perkahwinan Belia yang sebelum ini hanya memberi sumbangan RM500 kepada peserta berbanding RM6,200 apabila penjajaran IPR dilaksanakan.

“Untuk makluman, skim Perkahwinan Belia yang kita laksanakan sebelum ini telah mencapai jumlah peruntukan sebanyak RM29.95 juta yang diberikan kepada lebih 63,000 pemohon dan Kerajaan Negeri berpendapat kita perlu masuk ke fasa yang lain iaitu setelah berkahwin di mana fasa kekeluargaan dengan bersetuju agar penjajaran IPR dilaksanakan.

“Kalau dahulu kita beri RM500 bagi setiap peserta tetapi hari ini kita beri RM6,200 kepada keluarga itu selepas penjajaran IPR iaitu melalui program TUNAS, Program Asuh Pintar dan Smart Parenting kesemuanya berjumlah RM6,200,” katanya.

Mohd Khairuddin berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Katanya, penjajaran program ini adalah platform kepada golongan belia berkahwin untuk memperkasakan institusi kekeluargaan.

Mohd Khairuddin berkata, sebagai permulaan program ini akan dibuka kepada penerima Insentif Perkahwinan yang mendaftar pada 2014 hingga tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri akan membuka penyertaan program ini kepada semua golongan belia selepas satu tempoh yang ditetapkan nanti.

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Kadar berpatutan di litar lumba Sungai Tua

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 MAC: Kerajaan Negeri memberi jaminan litar lumba di Sungai Tua akan mengenakan kadar bayaran berpatutan untuk kegunaan semua pihak selepas siap kelak.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, setakat ini, pembangunan projek berkenaan menerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor dalam proses penetapan tanah yang dikendalikan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak.

“Kerajaan Negeri memberi jaminan kemudahan dibina ini akan dijadikan sebagai pusat litar latihan dan terbuka kepada semua kumpulan atau inidvidu khususnya generasi muda.

“Kadar bayaran berpatutan dan akan ditentukan kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan yang dibangkitkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Katanya, tempoh jangkaan siap litar seluas 20 ekar ini akan ditentukan kontraktor bertanggungjawab dan bergantung kepada kriteria pembinaan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dalam ucapan pembentangan Belanjawan’19, 23 November tahun lalu menyatakan litar lumba ini akan mempunyai kemudahan berkapasiti 1,000 penonton dan dilengkapi kemudahan seperti paddock, kafeteria, surau dan gerai jualan.

Bagi memaksimakan penggunaan, litar ini juga boleh digunakan sebagai litar latihan pemanduan bagi jabatan kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis dan Bomba.

Categories
SELANGOR

Bangun kemudahan sukan OKU

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 MAC: Kerajaan Negeri komited membangunkan kawasan sukan dan rekreasi yang inklusif untuk semua golongan termasuk Orang Kelainan Upaya (OKU).

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Khairuddin Othman berkata, usaha itu bagi melahirkan generasi muda yang mempunyai tahap kecergasan fizikal dan kecerdasan minda, aktif dan sihat.

Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diarahkan memberikan kemudahan infrastruktur sukan kepada golongan atlet OKU bagi mereka menjalani latihan persediaan untuk menyertai sebarang kejohanan yang dirancang.

“Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan mengambil berat mengenai kemudahan sukan untuk semua golongan masyarakat.

“Kerajaan Negeri juga sedia maklum mengenai keperluan kemudahan sukan untuk OKU bagi menjamin keselamatan dan keselesaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin di sidang Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Pada masa sama, Khairuddin berkata, empat pusat antaranya Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Shah Alam, Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam dan Kompleks 3K Majlis Perbandaran Subang Jaya menawarkan fasiliti sukan OKU.

Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri peka bagi menyelesaikan masalah itu dan berharap kerjasama semua pihak dalam membantu memberikan pandangan atau cadangan.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memberi inisiatif kemenangan RM100,000 kepada atlet kontinjen negeri Selangor yang berjaya memenangi pingat di PARA SUKMA XIX, Perak 2018.