Categories
SUKANKINI

Gandingan dua beradik berhasil

IPOH, 19 SEPT: Gandingan dua beradik Muhammad Haris Mohd Rezal dan abangnya, Muhammad Syahmi Mohd Rezal ternyata berhasil apabila mereka berjaya meraih pingat emas buat Selangor dalam acara Terjun 10 meter Platform Seirama Lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA), semalam.

Dalam saingan di Pusat Akuatik Tuanku Zara itu, Haris, 13 dan Syahmi, 17, meraih emas selepas mengumpul 313.68 mata sekali gus mengakhiri penantian mereka memenanginya sejak dua temasya lalu.

Syahmi berkata, mereka berusaha keras menghadapi temasya kali ini dengan menjalani latihan empat jam setiap hari termasuklah Sabtu dan Ahad.

“Biarpun kami sudah bertanding sejak SUKMA Perlis 2014, namun ini adalah kali pertama kami bergandingan dalam acara ini (10m platform seirama),” kata lapor Berita Harian.

Tempat kedua diraih gandingan Sarawak, Bertrand Rhodict-Enrique Maccartney Harold dengan 301.23 mata sementara pasangan Terengganu, Nazzarudy Akhashah Othman-Nur Afiq Daniel Sutoyo memenangi gangsa (216.57).

Dalam dua lagi acara terjun yang dipertandingkan semalam, Selangor menambah satu lagi emas menerusi Adeline Chin dalam acara 1m papan anjal wanita apabila mengumpul 243.15 mata.

Sementara rakan sepasukannya, Erica Pan memenangi perak (240.80 mata) dan penerjun Wilayah Persekutuan, Ong Ker Ying di tempat ketiga (231.45 mata).

Acara 1m papan anjal lelaki pula menyaksikan penerjun pelapis negara, Hanis Nazirul Jaya Surya menepati ramalan apabila menghadiahkan emas buat Wilayah Persekutuan dengan catatan 350.25 mata diikuti perak milik penerjun Selangor, Ikhlas Ahmad Sharol Lail (331.85 mata) dan gangsa diraih Enrique (313.20).

 

Categories
SELANGOR

SUKMA 2016: Nur Afiqah menang angkat berat, Selangor raih emas ke 49

OLEH HAFIZAN TAIB

KUCHING, 29 JULAI: Selangor menambah satu lagi pingat emas dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 menerusi atlet angkat berat, Nur Afiqah Nadhrah dalam acara snatch 75 kilogram (kg).

Beliau menewaskan Jabriella Teo Samuel (Wilayah Persekutuan) serta Elcenta Edward (Sabah) bagi perak dan gangsa.

Emas diraihnya adalah yang ke-49 bagi Selangor dan ia melepasi sasaran 48 emas ditetapkan Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS).

Satu pingat perak turut dimenangi Nur Afiqah dalam acara clean and jerk 75 kg.

-nR-

Categories
SELANGOR

SUKMA: Selangor hantar 433 atlet, sasar 50 emas

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 JAN: Seramai 433 atlet Selangor terpilih ke Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung pada Julai depan di Sarawak.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amiruddin Shari, berkata pihaknya kini berada di fasa terakhir persiapan.

SUKMA 2016 AMIR“Kita sudah mengenal pasti atlet yang layak dan kini dalam proses pendaftaran kontinjen.

“Ada yang cedera disaat akhir dan juga digugurkan. Kita akan hantar 433 atlet dan 88 pegawai ke sukan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan logo SUKMA dan penyerahan insentif atlet Sukan SEA 2015.

Amiruddin berkata pihaknya juga sedang sibuk melaksanakan kem kontinjen secara berfasa.

SUKMA 2016“Kalau dulu kita buat kem kontinjen mengikut kumpulan tetapi kali ini kita pecahkan mengikut keutamaan.

“Ia disebabkan kita mahu fokus secara terus kepada atlet. Bapa angkat kontinjen akan memantau persiapan terakhir ini,” katanya.

Beliau menyasarkan kontijen Selangor memperoleh lebih 50 pingat emas seterusnya menjuarai sukan terbabit.

“Namun, realiti ketika ini, kita menyedari persaingan sengit seperti Sarawak dan Terengganu.

“Bagaimanapun kita akan cuba memperbaiki dan melakukan yang terbaik dikalangan kita dan memperbaiki kelemahan yang lepas,” katanya.

-nR-